Tanggungjawab kita semua sebagai rakyat Malaysia untuk terus menyokong penggiat seni dan sastera negara bagi memelihara kekayaan budaya negara ini
Sebagai pembuka kata, saya dan Pak Samad mengalu-alukan kehadiran anda semua ke Rumah Terbuka Aidilfitri Penggiat Sastera dan Seni ini. Kami amat berbesar hati atas kesudian anda semua hadir pada malam ini.
Ini adalah kali pertama saya dan Pak Samad menganjurkan majlis seumpama ini. Sekiranya ada salah dan silap dalam penganjuran, kamj memohon maaf.
Mungkin ada yang bertanya, mengapa tiba-tiba seorang wakil rakyat DAP seperti saya mahu meraikan Aidilfitri bersama dengan penggiat seni dan sastera?
Apatah lagi kalau ikut dakyah seteru politik kami, sayalah bencana yang paling besar dalam negara buat orang Melayu.
Mengapa saya, yang dikatakan musuh orang Melayu, mahu meraikan mereka yang bergiat dalam seni dan sastera Melayu pula?
Jawapannya mudah. Kami dalam parti DAP tidak pernah memusuhi atau membenci orang Melayu mahupun budaya Melayu.
Kami menjunjung apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan bahasa Melayu sebagai kebangsaan. Pada masa yang sama, kami juga junjung hak mana-mana orang untuk mengajar dan belajar bahasa-bahasa lain. Inilah asas negara kita. Ini yang kami pegang teguh.
Mana-mana bahasa, tanpa sastera dan seni, akan menjadi bahasa yang layu dan lama-lama mati. Sastera dan seni menjadikan sesuatu bahasa itu indah dan kaya.
Keindahan dan kekayaan bahasa Melayu terbit daripada karya-karya yang dihasilkan sejak zaman-berzaman.
Kita rakyat Malaysia perlu memberi sokongan kepada sastera dan seni untuk memastikan ia terus mekar.
Kerajaan dan parti politik juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini.
Dengan kesedaran ini, saya dan parti menyokong penuh keputusan Kerajaan untuk memberi pengiktirafan sewajarnya kepada para Sasterawan Negara baru-baru ini.
Kami juga berharap Kerajaan akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada penggiat seni dan sastera dalam pelbagai bentuk selepas ini. Usaha memartabatkan seni dan sastera Melayu tidak wajar terhenti di sini.
Ini tanggungjawab kita bersama dalam membina sebuah negara bangsa Malaysia.
Saya benar-benar berharap malam ini menjadi titik permulaan kepada hubungan yang lebih rapat di antara pihak kami dengan penggiat seni dan sastera seperti anda semua.
Akhir sekali, saya ingin mengakhiri ucapan ini dengan lafaz Salam Aidilfitri kepada anda semua, dan selemat menjamu selera.
Sekian, terima kasih.