Semua institusi pengajian tinggi di Malaysia harus mempunyai matlamat untuk melahirkan warganegara yang patriotik dan berguna serta memenuhi ciri-ciri masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif, malah mempunyai integriti dan menghormati hak asasi manusia

Saya percaya bahawa semua institusi pengajian tinggi di Malaysia harus mempunyai matlamat untuk melahirkan warganegara yang patriotik dan berguna serta memenuhi ciri-ciri masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif, malah mempunyai integriti dan menghormati hak asasi manusia.

Atas dasar ini, semua institusi pengajian tinggi harus mengikut secara dekat perkembangan isu yang beraspirasikan perkara ini didalam negara.

Salah satu perkembangan tersebut adalah pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) bagi membendung gejala rasuah di negara ini sepanjang tempoh lima tahun akan datang oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Pelan berkenaan, dibangunkan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC), yang mengandungi 115 inisiatif anti rasuah merangkumi enam sektor iaitu politik, perolehan awam, penguatkuasaan undang-undang, pentadbiran sektor awam, perundangan dan kehakiman serta tadbir urus korporat.

Saya percaya NACP harus dibahaskan dan dibincang secara aktif oleh pelajar-pelajar kita yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi, bukan untuk menyerap mereka ke dalam politik kepartian, sebaliknya bagi membolehkan mereka memupuk bukan sahaja minat terhadap perkara berkenaan, malah menyemai semangat pemilikan dan kenegaraan di kalangan mereka terhadap perkembangan yang berlaku di negara ini.

Saya berpandangan jika kita serius tentang integriti dalam hal ehwal awam, untuk mentrasformasi Malaysia daripada kletokrasi global kepada negara terkemuka dalam soal integriti, maka NACP harus dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan seterusnya diterapkan, supaya ia benar-benar menjadi pelan antirasuah untuk negara bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pada hari sama Perdana Menteri melancarkan NACP, Transparency International (TI) mengeluarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2018, yang menunjukkan Malaysia kekal mendapat 47 mata sejak 2017, namun kedudukan negara meningkat satu anak tangga kepada 61 daripada 180 negara.

Ketika saya mengetahui kedudukan dan skor Malaysia dalam TI CPI 2018, saya berasa agak kecewa, kerana dalam tempoh tujuh bulan setelah peristiwa bersejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, banyak peristiwa manis dan sebelum ini tidak pernah berlaku terjadi - antaranya peristiwa bekas Perdana Menteri didakwa dengan 42 pertuduhan di mahkamah atas kesalahan jenayah dan rasuah.

Saya melahirkan rasa kecewa tersebut kepada pemerhati trend rasuah berpengaruh di Malaysia, dan beliau mengeluarkan kenyataan yang tepat bahawa tanpa peristiwa bersejarah 9 Mei 2018, kedudukan dan skor Malaysia akan menjadi lebih teruk berbanding tahun lalu, malah mungkin jatuh menjunam ke tahap yang paling teruk dalam sejarah Malaysia sejak laporan itu pertama kali dikeluarkan pada 1995.

Jelas beliau, kedudukan dan skor TI CPI 2018 ditentukan berdasarkan kepada 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar, yang mana dikumpulkan daripada pelbagai institusi dan kebanyakannya dilakukan sebelum Mei 2018.

Beliau meramalkan yang kedudukan Malaysia akan bertambah lebih baik dalam TI CPI 2019.

Kami mahu ia direalisasikan, dan atas sebab itu NACP tidak harus menjadi sebuah acara yang dilancarkan oleh Perdana Menteri semata-mata, sebaliknya harus dibentangkan di Parlimen untuk diterapkan supaya ia menjadi pelan nasional yang mana semua pihak berkepentingan, termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, kolej serta universiti di negara ini dapat sama-sama terlibat dalam menjayakannya.

Ini memberikan hala tuju tepat kepada negara untuk membentuk Malaysia Baharu seperti yang diidam-idamkan kita selepas PRU-14.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri