Setakat tengah hari menjelang hari pengundian esok, Barisan Nasional dilihat mempunyai kelebihan untuk menang PRK Cameron Highlands, kecuali jika pengundi yang berada di luar kawasan pulang beramai-ramai untuk mengundi Pakatan Harapan
Tidak ada seorang pun penganalisis politik yang meramalkan kemenangan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands esok.
Malah, setakat tengah hari menjelang hari pengundian esok, Barisan Nasional dilihat mempunyai kelebihan untuk menang PRK Cameron Highlands, kecuali jika pengundi yang berada di luar kawasan pulang beramai-ramai untuk mengundi Pakatan Harapan.
Najib nampaknya begitu pintar dan licik memilih Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, dan bukannya empat PRK sebelum ini, untuk dijadikan batu loncatan buatnya melancarkan kempen “Selamat Najib” yang bertujuan untuk melunaskan cita-cita politiknya, iaitu kembali ke Putrajaya sebagai Perdana Menteri.
Beliau membuat keputusan itu kerana tahu Barisan Nasional akan sekali lagi memperolehi kemenangan di kawasan itu.
Jika 5,000 pengundi Cameron Highlands yang berada di luar kawasan tidak pulang mengundi esok, tidak mustahil objektif “Selamatkan Najib” akan tercapai dan bekas Presiden UMNO itu akan kembali menjadi Perdana Menteri semula.
Sudah terang lagi bersuluh, Najib adalah ketua kempen BN dalam PRK Cameron Highlands. Beliau adalah individu yang mengarahkan supaya MIC memberi laluan kepada Ramli Mohd Noor untuk bertanding di Cameron Highlands, walaupun kerusi itu secara tradisinya ditandingi oleh MIC. Najib juga mengikat sokongan Presiden PAS, Hadi Awang, semata-mata untuk untuk meraih sokongan daripada pengundi parti Islam itu.
Tidak boleh dinafikan, jika BN tewas di Cameron Highlands, segala impian dan cita-cita Najib untuk kembali ke arena politik tanah air akan hancur lebur, dan beliau akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pentas politik Malaysia.
Nasib Najib serta rancangan “Selamatkan Najib” bergantung kepada pengundi luar kawasan Cameron Highlands.
Hari ke-14 kempen PRK Cameron Highlands dicemari dengan politik toksik dan jahat berbaur pembohongan, ketakutan, kebencian, perkauman dan keagamaan yang dimainkan oleh UMNO dan PAS.
UMNO dan PAS menggunakan peristiwa kematian tragis wira, Mohd Adib, sebagai modal untuk menyerang calon Pakatan Harapan M Manogaran. Mereka menyebarkan risalah bertajuk “DAP Hindu/Hindraf bunuh Adib” untuk menuduh dan memfitnah Manogaran sebagai kononnya pembunuh anggota bomba tersebut.
Menerusi mesej yang tersebar di Whatsapp, saya juga dituduh kononnya mahu “mengusulkan di dalam Dewan Rakyat supaya perkataan Islam dan Melayu digugurkan dalam Perlembagaan”. Ini adalah fitnah berniat jahat kerana selama 45 tahun saya menghadiri sidang di Dewan Rakyat sejak 1969, tidak pernah sekalipun saya membawa usul seumpama itu.
Serangan terbaharu terhadap saya meletus di Jelai, di mana saya dituduh kononnya berkata bahawa Orang Asli bukan warganegara Malaysia, sedangkan saya mengiktiraf yang Orang Asli adalah penduduk asal negara ini. Saya hanya membangkitkan persoalan bagaimana Orang Asli boleh dianggap sebagai warganegara penuh Malaysia, sedangkan mereka dinafikan kemudahan asas seperti jalan yang baik, bekalan air bersih, bekalan elektrik; ditambah kekurangan keperluan asas seperti pendidikan, kesihatan, penjagaan kesihatan, perumahan serta peluang ekonomi, dan paling penting, dinafikan hak ke atas tanah adat mereka!
Terbaharu muncul pula tuduhan tidak berasas yang mendakwa Manogaran kononnya membayar saksi dari kalangan Orang Asli untuk memberi keterangan di Mahkamah Pilihan Raya, yang pada beberapa bulan lalu mengisytiharkan bahawa kemenangan Timbalan Presiden MIC, C Sivarrajh di Cameron Highlands dalam PRU14 adalah terbatal kerana terdapat unsur rasuah.
Manogaran menafikan sekeras-kerasnya pembohongan dan fitnah tersebut. Bagaimana boleh timbul tuduhan seperti ini, sedangkan saksi Orang Asli sendiri dipujuk dengan percutian percuma ke Golok oleh Tok Batin sebagai balasan untuk tidak memberi keterangan di mahkamah.
Kemenangan BN akan memberi tamparan hebat terhadap pembentukan dan objektif Malaysia Baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai negara yang disengani dunia, setelah mendapat malu dengan gelaran kleptokrasi global ekoran pelbagai skandal yang melanda negara di bawah pentadbiran Najib, termasuk skandal 1MDB, Felda, Felcra, Tabung Haji dan MARA.
Apa pun yang terjadi, rakyat Malaysia di seluruh pelosok negara menanti-nantikan keputusan PRK Cameron Highlands dan ingin melihat sama ada Najib mampu melancarkan kempen “Selamatkan Najib” yang bertujuan untuk melunaskan cita-citanya, iaitu kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.