Najib berusaha keras untuk menyelamatkan BN daripada tewas buat kali pertama di Cameron Highlands yang merupakan penentu kepada “hidup dan mati” karier politiknya

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berusaha keras dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands seolah-olah ia adalah penentu kepada kelangsungan politik beliau.

Ini jelas apabila Najib selaku ketua kempen BN bagi PRK Cameron Highlands dilihat menenggelamkan peranan calon BN Ramli Mohd Nor, pemangku Presiden UMNO, Mohamad Hasan dan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam PRK berkenaan. Najib meletakkan agenda peribadinya dalam PRK berkenaan - kekalahan kali pertama BN di Cameron Highlands (BN tidak pernah tewas di Cameron Highlands sebelum ini) akan mematikan langkah beliau untuk beraksi semula di pentas politik, apatah lagi kembali untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan menghalalkan segala skandal membabitkan 1MDB.

Idea berkenaan, sudah tentu bermain-main di fikiran Najib atas dua sebab, iaitu:

Pertama, jika Tun Dr Mahathir Mohamad boleh kembali menjadi Perdana Menteri, mengapa tidak beliau?

Kedua, kembali menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 akan membuka ruang dan peluang untuknya membebaskan diri daripada tuduhan jenayah membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Ini dapat dilihat menerusi tindakan peguamnya yang sengaja mahu menangguhkan proses perbicaraan ke atas Najib dan mengelakkan anak guamnya itu daripada dihumban ke Penjara Sungai Buloh sebelum cita-cita politiknya tercapai.

Inilah sebabnya mengapa Najib bermati-matian berkempen di Cameron Highlands - kerana keputusan pada Sabtu nanti akan menentukan “hidup dan mati” karier politiknya.

Pun begitu, adakah Najib bersedia untuk belajar daripada chef selebriti Malaysia Redzuawan Ismail (Chef Wan), individu yang saya anggap sebagai contoh ikutan terbaik buat peneroka Felda berbanding Najib.

Chef Wan memohon maaf kepada Najib atas penggunaan bahasa kasar terhadap bekas Perdana Menteri itu. Anak kelahiran Felda Sungai Koyan itu sebelum ini dilaporkan mahu menampar muka Najib ekoran masalah kewangan yang menyelubungi Felda ketika ini.

Kata Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya: “To DS Najib pagi ini saya memohon maaf secara terbuka kerana bahasa yang kasar saya telah gunakan di waktu saya merasa amat marah!

“Tetapi jika kita buat kesalahan yang besar kita mesti telan maruah diri kita untuk mengaku kesilapan diri kita as i have done this morning. Yes saya mengaku saya silap bila dirasuk syaitan dan naik marah!”

Adakah Najib bersedia untuk membuat permohonan maaf secara terbuka seperti mana Chef Wan, atas tiga kegagalan terbesar beliau semasa menjadi Perdana Menteri keenam, iaitu pertama, skandal 1MDB dan akibat terpaksa ditanggung oleh Malaysia ekoran digelar oleh masyarakat dunia sebagai kleptokrasi global, kedua, pengkhianatan terhadap visa Felda yang diasaskan bapanya Tun Razak serta kepentingan peneroka Felda dan ketiga, kegagalan beliau untuk membawa 200,000 Orang Asli ke dalam arus perdana pembangunan negara sejak 60 tahun merdeka?

Inilah sebabnya mengapa kumpulan generasi kedua peneroka Felda menyatakan sokongan terhadap Pakatan Harapan pada PRK Cameron Highlands dan merasakan ia adalah satu-satunya cara untuk menamatkan segala ugutan BN terhadap peneroka Felda sejak bertahun-tahun lamanya.

Kumpulan berkenaan, yang diketuai oleh Mohd Nor Afandi Daud, 54, bersama-sama 14 yang lain, menggesa agar generasi kedua peneroka Felda untuk turut serta dalam perjuangan mereka, malah menyakinkan mereka bahawa taktik menakut-nakutkan kerajaan terdahulu tidak akan lagi menjejaskan periuk nasi mereka.

Apa pandangan Najib tentang aspirasi generasi kedua peneroka Felda ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri