Chef Wan, yang merupakan chef selebriti terkenal di peringkat antarabangsa, harus dijadikan contoh ikutan kepada peneroka muda FELDA dan bukannya mengikut contoh yang salah sehingga menjadi raja kleptokrasi atau troll
Chef Wan atau nama sebenarnya Redzuawan Ismail, yang merupakan chef selebriti terkenal, harus dijadikan contoh ikutan kepada peneroka muda FELDA dan bukannya mengikut contoh ikutan yang salah sehingga menjadi raja kleptokrasi atau "troll".
Kepulangan Chef Wan ke Felda Sungai Koyan untuk membantu beberapa siri kempen Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands seharusnya menjadi perkara paling penting dalam kempen di kawasan tersebut, yang berbeza sama sekali dengan lawatan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan ceramah oleh Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang yang dilihat penuh dengan kepura-puraan.
Chef Wan berhasrat untuk melakukan sesuatu yang memang telah lama orang Melayu idam-idamkan - iaitu untuk menampar muka bekas Perdana Menteri kerana telah memusnahkan Felda.
"Macam mana kamu (Najib) boleh biarkan Felda disalah urus begitu? Come on!
"Kamu letak Isa Samad (bekas pengerusi Felda) di situ dengan tahu ada bermacam hal dia buat sebelumnya.
"Kalau dia (Isa) ada di sini I tampar muka dia," katanya Chef Wan.
Chef Wan berang apabila ditanya mengenai dakwaan Najib bahawa peneroka FELDA mengecapi "zaman emas" semasa BN mentadbir, hanya kerana mereka mendapat bonus dan gaji yang tinggi.
Chef Wan adalah individu yang seharusnya menjadi contoh ikutan kepada anak muda FELDA dan generasi baharu rakyat Malaysia, bukan Najib.
Lahir dalam keluarga besar dengan tujuh adik beradik, Chef Wan amat meminati bidang masakan, dan meneruskan impiannya dalam bidang tersebut, sekali gus meninggalkan kerjayanya sebagai seorang akauntan dan menjadi chef selebriti terkenal di peringkat antarabangsa.
Sebelum ini saya ada menyebut mengenai tiga kegagalan terbesar Najib semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia:
- Skandal pengubahan wang haram dan rasuah melibatkan 1MDB, yang dikutuk oleh seluruh dunia sebagai kleptokrasi global, malah calon Orang Asli pertama Barisan Nasional, Ramli Mohd Noor sendiri tidak berani untuk mengaku dan seboleh-bolehnya meletakkan jarak antara dirinya dan Najib sehinggalah bekas Perdana Menteri itu memberikan penjelasan mengenai skandal klpetokrasi terbesar di dunia.
- kegagalan beliau membawa 200,000 Orang Asli di negara ini masuk ke dalam arus perdana pembangunan negara selepas enam dekad Merdeka. Keadaan daif kampung pedalaman Orang Asli di Cameron Highlands seharusnya membangkitkan rasa malu dan marah bukan sahaja rakyat Malaysia, malah Najib sendiri, kerana selama 60 tahun negara mengalami proses pembangunan, Orang Asli masih tidak diberikan perkara asas membabitkan infrastruktur, sama ada jalan yang baik, air bersih, bekalan elektrik serta pendidikan, kesihatan, perumahan dan peluang pekerjaan dan hal berkaitan tanah adat.
- Pengkhianatan Najib terhadap FELDA yang diasaskan bapanya, Tun Razak. "Zaman Emas" Felda adalah semasa pentadbiran singkat Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Perdana Menteri seterusnya, namun Najib telah mengkhianati visi dan kepentingan generasi pertama, kedua dan ketiga peneroka Felda ekoran kegagalan agensi itu menjadi "penjana ekonomi untuk memangkin pendapatan yang tinggi kepada peneroka Felda" hasil daripada pentadbiran kleptokratiknya.
Adakah Ramli Mohd Nor akan memuji Najib dan mempertahankan tiga kegagalan tersebut jika beliau dilantik menjadi Ahli Parlimen Cameron Highlands?
Adakah itu yang dimahukan oleh pengundi Cameron Highlands?
Walaupun pentadbiran Najib terpalit dengan pelbagai skandal, Pakatan Harapan tetap akan menempuh laluan yang sukar untuk menang PRK Cameron Highlands yang akan diadakan pada Sabtu, 26 Januari.
Seramai 247 orang, yang merupakan pegawai polis, akan mengundi awal esok (Selasa), sementara 122 lagi undi pos telah dikeluarkan oleh pegawai pengurus Datuk Ishak Md Napis pada 13 Januari.
Walaupun sukar untuk Pakatan Harapan memenangi PRK Cameron Highlands, tidak mustahil jika kemenangan itu berlaku, ia akan menjadi detik bermakna untuk bukan sahaja untuk pengundi Cameron Highlands, malah semua rakyat Malaysia yang telah menyumbang kepada peristiwa bersejarah 9 Mei 2018 yang menyaksikan perubahan kuasa secara aman dan demokratik untuk pertama kali dalam sejarah negara sejak enam dekad lalu.
Saya sendiri tidak menjangka bahawa peralihan secara aman dan demokrasik di Putrajaya mampu berlaku, walaupun saya berharap ia akan berlaku sepanjang lima dekad lalu.
Jika ada yang bertanya kepada saya pada 9 Mei 2018, sebelum undi dikira, saya tidak berani untuk jamin yang Pakatan Harapan akan mampu menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan menumbangkan UMNO dan BN.
Saya bertanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir sama ada beliau menjangkakan yang Pakatan Harapan akan menang pada malam 9 Mei 2018, beliau hanya menggelengkan kepala.
Najib Razak sebaliknya ketika itu begitu yakin boleh menang dengan majoriti dua pertiga yang gagal diperolehi mereka pada 2008.
Adakah peristiwa 26 Januari 2019 akan menjadi sejarah yang lebih besar dan bermakna daripada peristiwa 9 Mei 2018?
Ia bukanlah sesuatu yang mudah, namun rakyat Malaysia yang mengimpikan Malaysia Baharu harus mempunyai impian yang tinggi untuk menang pada PRK 26 Januari ini.
Namun tidak dinafikan yang ia sukar dicapai, kerana tidak mungkin kita mampu memperoleh kesemua undi yang kita perolehi pada PRU14 untuk PRK 26 Januari ini.
Terdapat 32,009 pengundi berdaftar di Cameron Highlands, terdiri daripada 33.5 peratus Melayu, 29.48 peratus Cina, India 14.91 peratus; Orang Asli (Semenanjung Malaysia) 21.56 peratus; Bumiputera Sabah 0.12 peratus; Bumiputera Sarawak 0.06 peratus; lain-lain 0.37 peratus.
Sambutan Tahun Baharu Cina akan berlangsung 10 hari selepas PRK. Adakah pengundi Cina akan menyahut seruan untuk pulang mengundi pada 26 Januari nanti? - di mana mereka perlu pulang sebanyak dua kali dalam tempoh 10 hari, mengambil kira perbelanjaan yang terpaksa ditanggung?
Peratusan keluar mengundi kaum Cina adalah 83.5%, dan 87.3% daripada pengundi Cina memilih M Manogaran yang merupakan calon Pakatan Harapan pada PRU14. Adakah undi ini akan kekal dimiliki Pakatan Harapan 26 Januari nanti?
Sama juga dengan pengundi India, saya difahamkan bahawa terdapat 800 pengundi India yang bekerja di luar kawasan. Adakah mereka akan turun mengundi? 70% kaum India keluar mengundi pada PRU14 dan 60% pengundi dari kaum itu mengundi Manogaran. Adakah jumlah pengundi India ini akan kekal?
Persoalan seterusnya, sama ada Pakatan Harapan boleh menarik lebih banyak undi Orang Melayu dan Orang Asli.
Satu kajian menunjukkan Pakatan Harapan memperolehi tiga peratus undi Melayu dan 11 peratus undi Orang Asli pada PRU14. Mampukah Pakatan Harapan meningkatkan sokongan pengundi Melayu dan Orang Asli pada 26 Januari nanti?
Semua ini akan menjadi faktor penentu keputusan PRK Cameron Highlands pada 26 Januari.
Persoalan paling penting adalah sama ada pengundi Cameron Highlands sendiri akan memujuk pengundi di keluar kawasan untuk balik mengundi pada 26 Januari nanti.
Walaupun sukar untuk menang, saya percaya keajaiban boleh berlaku, sepertimana 9 Mei 2018 merupakan suatu keajaiban besar untuk rakyat Malaysia, PRK Cameron Highland akan menjadi suatu PRK yang bersejarah!
Pada 9 Mei 2018, Manogaran tewas kepada Naib Presiden MIC C. Sivarrajh yang memperoleh majoriti 597 undi.
Sementara calon lain, Mahadir bin Wan Mahmud (PAS) mendapat 3,587 undi, Suresh Kumar a/l Balasubramaniam (PSM) 680 undi and Mohd Tahir bin Haji Kassim (Berjasa) 81 undi.
Adakah Manogaran mampu untuk menewaskan BN pada PRK 26 Januari nanti?