Najib tentu berada dalam keadaan yang begitu selesa dan bahagia sekarang sejak kehilangan kuasa sebagai Perdana Menteri keenam Malaysia secara mengejut lapan bulan lalu

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini kelihatan begitu selesa dan bahagia sejak kehilangan kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam secara mengejut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei 2018 - di mana beliau yakin Barisan Nasional akan memperoleh kemenangan mudah, malah optimis akan berjaya memperoleh dua pertiga majoriti Parlimen yang gagal diperolehi mereka sejak 10 lalu.

Ini adalah sebab kenapa beliau bertanya kepada saya mengapa saya begitu obses dengannya kerana kerap mengeluarkan kenyataan mengenainya walaupun kini sudah tidak lagi bergelar Perdana Menteri atau Presiden UMNO.

Beliau memuat naik gambar di Facebook dan berkata bahawa beliau di Cameron Highlands “hanya untuk membeli strawberi”.

Siapa yang akan percaya dengan Najib?

Saya tidak obses dengan Najib, namun saya fikir adalah tidak wajar untuk tidak ambil peduli terhadap rancangan seorang individu yang ketika menjawat jawatan Perdana menteri keenam, dengan tangannya sendiri, telah menghancurkan reputasi yang telah dibina oleh rakyat Malaysia serta bapa pengasas Malaysia, termasuk bapanya sendiri Tun Abdul Razak, sehingga menyebabkan Malaysia dikutuk oleh warga dunia sebagai kleptokrasi global dan rakyat Malaysia berasa begitu malu untuk mengaku mereka adalah warganegara Malaysia ketika berada di luar negara.

Namun Najib seolah-olah terjumpa cahaya di hujung terowong, kerana percaya yang PRK Cameron Highlands akan membuka laluan untuk beliau membuat “comeback” politik dan kembali menjadi Perdana Menteri pada PRU15 bagi “menghalalkan” segala kesalahannya temasuk 39 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan skandal 1MDB - jika beliau berjaya melambatkan-lambatkan perbicaraan terhadapnya untuk empat tahun setengah akan datang dan mengelak daripada dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh sebelum PRU15.

Ini adalah sebab mengapa saya fikir Najib di Cameron Highlands bukan sekadar untuk membeli strawberi, tetapi sebaliknya untuk berkempen secara aktif bagi memastikan kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands.

Hanya ada seorang individu yang mampu menganyam strategi rumit dan kompleks BN pada PRK Cameron Highlands, yang terdiri daripada lima elemen berasingan, iaitu:

  1. Pemilihan calon Parlimen dari kalangan Orang Asli pertama dalam sejarah BN dan bukan ahli gabungan itu, Ramli Mohd Nor, untuk bertanding pada PRK Cameron Highlands 26 Januari;
  2. MIC akur untuk lepaskan kerusi tradisi di Cameron Highlands, sekali gus mempunyai jumlah wakil rakyat yang sama dengan MCA di Parlimen, iaitu satu kerusi;
  3. Komitmen yang diberikan MCA pada PRK Cameron Highlands walaupun kepimpinan MCA mendesak agar BN dibubarkan;
  4. Sokongan kepimpinan PAS yang diketuai Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, untuk kempen BN pada PRK Cameron Highlands;
  5. Kesepakatan yang ditunjukkan oleh MCA, MIC, UMNO dan PAS dalam kempen BN pada PRK Cameron Highlands, walaupun UMNO sebenarnya mahu ia dilihat sebagai “Penyatuan Ummah” untuk pengundi Melayu dan Islam.

Tidak ada seorang pun kecuali Najib, ekoran pengaruhnya sebagai bekas Perdana Menteri, mampu menyatukan parti-parti yang rumit dan kompleks itu, lebih-lebih lagi selepas pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, sebelum hari penamaan calon PRK Cameron Highlands pada 12 Januari bahawa orang Islam yang korup lebih baik daripada orang bukan Islam yang jujur dan bersih.

Seperti yang dikatakan Najib dalam kempen di Cameron Highlands hari ini, kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands akan menjadi permulaan untuk kebangkitan BN susulan kekalahan pada PRU14.

Walaupun Najib dikenakan 39 tuduhan rasuah, penggelapan wang dan salah guna kuasa, beliau boleh menangguhkan keputusan mahkamah dan hukuman penjara terhadapnya sehingga PRU15 yang akan berlangsung pada 2023, bagi membolehkan dirinya dibebaskan daripada segala tuduhan jika Putrajaya berjaya ditawan semula oleh BN pada PRU15 dan beliau kembali menjadi Perdana Menteri.

Nampaknya, rancangan beliau untuk mengelak daripada dipenjarakan di penjara Sungai Buloh atas skandal 1MDB dan jenayah kleptokrasi semasa pentadbirannya sedang berjalan lancar.

Adakah PRK Cameron Highlands ini akan membuka laluan untuk Najib melaksanakan rancangannya untuk kembali menduduki kuasa sebagai Perdana Menteri Malaysia pada PRU15 bagi menghalakan skandal 1MDB dan adakah ini sebabnya UMNO, MCA, MIC dan PAS bersatu dalam PRK Cameron Highlands?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri