Lima rancangan Najib untuk jadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai batu loncatan untuknya buat “comeback” politik dan kembali semula menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi “menghalalkan” semua kesalahan membabitkan skandal 1MDB dan pentadbiran kleptokratiknya sebelum ini.
Pindaan kepada jadual kempen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Cameron Highlands dari dua hari menjadi empat hari memberi dua tanda:
- Pertama: Keyakinan yang begitu tinggi di kalangan pemimpin Barisan Nasional (BN) untuk menang besar pada PRK Cameron Highlands selepas mempertaruhkan bekas pegawai kanan polis, Ramli Mohd Nor, yang merupakan calon Orang Asli pertama dalam sejarah BN;
- Kedua: Rancangan terang-terangan oleh Najib untuk menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai batu loncatan untuknya buat “comeback” politik dan kembali semula menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 bagi “menghalalkan” skandal 1MDB dan skandal lain seperti FELDA, Felcra, MARA, dan Tabung Haji serta pentadbiran kleptokratiknya sebelum ini.
Terdapat sekurang-kurangnya lima faktor dalam rancangan Najib untuk membuat “comeback” politik, seperti berikut:
- Pemilihan calon Orang Asli pertama dari BN bagi PRK Cameron Highlands yang akan berlangsung pada 26 Januari;
- Jadual kempen Najib dipinda dari dua hari (18 dan 19 Januari) kepada empat hari (17 hingga 20 Januari);
- Komitmen yang ditunjukkan MCA dan MIC pada PRK kali ini meskipun terpaksa bekerjasama dengan PAS, dan walaupun MCA secara terbuka meminta agar BN dibubarkan sementara MIC terpaksa melepaskan kerusi tradisinya di Cameron Highlands dan duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan MCA yang mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Parlimen;
- Kemunculan orang kuat Najib dalam kempen PRK Cameron Highlands. Antaranya adalah bekas Menteri Pertahanan Datuk Hishamuddin Hussein, yang tiba-tiba muncul di Cameron Highlands semalam, setelah enam bulan memencilkan diri dari arena politik, selepas UMNO/BN tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018; dan
- Sokongan yang ditunjukkan oleh kepimpinan PAS yang diketuai Datuk Seri Hadi Awang selaku presidennya, yang akan turun padang pada Ahad serta pengesahan daripada Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, bahawa pemimpin PAS lain termasuk Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin; Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden PAS dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob, Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar and Setiusaha Agung PAS Takiyuddin Hassan akan turut berkempen untuk calon BN atas dasar semangat “penyatuan ummah”!
Malah, BN dilihat begitu yakin dapat menarik 14.74 peratus atau 3,587 undi yang diperoleh PAS di Cameron Highlands pada PRU lepas.
Najib yang berhadapan dengan 39 tuduhan jenayah membabitkan kesalahan rasuah, penggelapan wang dan salah guna kuasa, sebenarnya sedang merancang untuk melambat-lambatkan pendakwaan terhadapnya dengan pelbagai peringkat rayuan sehingga PRU15 yang akan berlangsung pada tahun 2023.
Jika BN berjaya menawan semula Putrajaya pada PRU15 dan Najib kembali menjadi Perdana Menteri, maka ia akan menguburkan sama sekali peluang untuk melihat beliau meringkuk di Penjara Sungai Buloh atas skandal 1MDB dan jenayah kleptokrasi global sepanjang tempoh pentadbirannya.
PRK Cameron Highlands merupakan percubaan pertama Najib untuk kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas PRU15, yang mana akan memberikan beliau imuniti dan membebaskannya daripada skandal 1MDB, dan inilah sebab mengapa MCA dan MIC terpaksa menjadi pak turut dan berganding bahu dengan PAS dalam PRK ini - Walaupun Hadi Awang sebelum ini ada berkata yang orang Islam korup lebih baik daripada orang bukan Islam yang jujur serta patuh kepada agamanya!