Najib salah besar apabila mendakwa Mahkamah Pilihan Raya telah mengisytiharkan bayaran balik “duit petrol” sebanyak RM20 adalah rasuah, namun persoalan yang lebih penting adalah: apakah motif Najib membuat dakwaan pelik seumpama itu?

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak salah besar apabila mendakwa Mahkamah Pilihan Raya telah mengisytiharkan bayaran balik “duit petrol” sebanyak RM20 adalah rasuah, namun persoalan yang lebih penting adalah: apakah motif di sebalik dakwaan pelik tersebut?

Adakah ia untuk mewujudkan budaya baharu berlandaskan integriti dan toleransi sifar terhadap rasuah di Malaysia atau ia sebenarnya helah untuk mengekang usaha berkenaan?

Kita harus mengagumi tindakan Najib yang cuba menutup skandal RM50 bilion 1MDB dan 39 pertuduhan jenayah yang dihadapinya dengan dakwaan bahawa bayaran balik “duit petrol” sebanyak RM20 itu kononnya adalah salah satu bentuk rasuah.

Malah, Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sendiri sudah termakan umpan, seperti yang dapat dilihat dalam sesi dialog dengan calon Barisan Nasional, Ramli Mohd Nor di Brichang pada Ahad lalu.

Pada acara itu, Wee kelihatan beria-ria mengatakan yang bayaran balik sebanyak RM20 setiap seorang kepada 60 Orang Asli yang menunggang motosikal untuk ke Tanah Rata pada hari penamaan calon sebagai suatu bentuk rasuah, sedangkan beliau sendiri menutup sebelah mata terhadap skandal rasuah RM50 bilion 1MDB dan skandal pengubahan wang haram membabitkan Najib.

Ingin saya ingatkan Wee bahawa bayaran balik berjumlah RM20 kepada kira-kira 60 Orang Asli yang membuat perjalanan jauh dari kampung mereka ke Tanah Rata pada hari penamaan calon adalah sah dan tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya, sebaliknya skandal RM50 bilion 1MDB itulah yang merupakan amalan rasuah terang-terangan!

Suka juga untuk saya beritahu Wee bahawa jumlah RM50 bilion itu adalah 2.5 bilion kali ganda daripada nilai sekeping nota RM20 - hakikat yang enggan difahami MCA sehingga menyebabkan parti itu kini menjadi parti nyamuk yang hanya mempunyai seorang wakil rakyat di Parlimen.

Benarkah Mahkamah Pilihan Raya ada memutuskan yang bayaran balik “duit minyak” merupakan suatu bentuk rasuah?

Amat malang bagi Najib kerana tidak pernah mendalami bidang undang-undang, atau jika beliau mempelajarinya sekali pun, sudah tentu beliau gagal dalam peperiksaan undang-undang ekoran gagal memahami logik mudah dalam penghakiman dan hujah undang-undang.

Najib telah salah tafsir dan memutarbelitkan penghakiman Hakim Azizah Nawawi yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu terbatal dengan mendakwa Hakim dalam penghakimannya menyatakan bahawa “duit” sama ada dalam bentuk “duit rokok” atau “duit minyak” adalah sebahagian daripada rasuah.

Hakim Azizah tidak pernah membuat penghakiman sebegitu.

Sebaliknya, beliau berkata seperti berikut dalam penghakimannya:

“62. Terdapat contoh pemberian duit kepada pengundi, semasa tempoh genting sebelum pilihan raya, yang bagi saya bermaksud untuk memujuk pengundi untuk mengundi. Duit itu diberikan semasa Responden (bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands C. Sivarraajh) dan Dato’ Wan Rosdy sedang aktif berkempen di kawasan berkenaan di bawah bendera BN. Tambahan pula, bukti daripada PW10 dan PW11 menunjukkan yang mereka telah menerima duit bersama-sama slip undi dengan logo BN, dan ini disahkan oleh saksi Responden, RW3 yang mana mengakui bahawa BN ada mengagih-agihkan slip berkenaan. Bagi saya, adalah jelas bahawa wang tersebut diberikan untuk memujuk pengundi untuk mengundi.

“63. Justeru itu, tidak kira sama ada Responden mengatakan bahawa wang yang diberikan itu adalah ‘duit rokok’ atau elaun perjalanan untuk Tok Batin menghadiri mesyuarat dengan Responden dan Dato’ Wan Rosdy, kerana ia hanyalah cara untuk menyembunyikan niat sebenar bagi memberi duit sebelum pilihan raya.”

Apa yang dikatakan oleh Hakim berkenaan sangat jelas. Namun, Najib dan para kroninya buat-buat tidak faham.

Hakim Azizah berkata duit yang digunakan untuk memujuk pengundi untuk mengundi mana-mana parti politik adalah satu bentuk rasuah, sekalipun ia dianggap sebagai “duit rokok” atau “duit petrol”, namun begitu, ia sah jika digunakan tanpa niat untuk memujuk pengundi untuk mengundi.

Pada Mei 2018, Sivaraajh dan Wan Rosdy melawat Pos Lenjang pada 6.5.2018 dengan menaiki helikopter dan mengagihkan RM25,000 kepada Tok Batin untuk kemudiannya diagih-agihkan kepada semua pengundi di setiap kampung, sementara setiap Tok Batin menerima RM200 setiap seorang.

“Duit rokok” apa agaknya yang memakan jumlah begitu besar!

Mengapa agaknya Najib mereka-reka cerita bahawa Hakim kononnya memutuskan bahawa bayaran balik “duit petrol” sebanyak RM20 sebagai rasuah?

Terdapat tiga sebab:

Pertama, untuk mengalihkan perhatian terhadap punca sebenar PRK Cameron Highlands diadakan. Seperti semua sedia maklum, ia diadakan kerana wujud kegiatan politik wang dan amalan rasuah.

Kedua, bagi mengalihkan perhatian pengundi daripada kempen Barisan Nasional bagi memudahkan mereka melakukan kegiatan politik wang dan rasuah untuk menang PRK Cameron Highlands.

Ketiga, untuk menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai landasan untuk mengabsahkan pentadbiran kleptokratik Najib dan membersih skandal antarabangsa 1MDB.

Tiba-tiba, PRK Cameron Highlands bukan sahaja menjadi sesuatu yang penting di peringkat negara, malah di persada dunia, kerana Najib kini mahu menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai satu referendum untuk menentukan sama ada beliau pencuri dan seorang kleptokrat ataupun tidak!

Ingin saya katakan di sini, jika Najib mahu menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai referendum, adalah baik kiranya untuk beliau terlebih dahulu menjelaskan secara tuntas mengenai skandal 1MDB dan skandal serupa 1MDB yang melibatkan FELDA, Felcra, MARA dan Tabung Haji.

Bekas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum PRU13 berkata, Najib pada mesyuarat Ahli Jawatankuasa Tertinggi Barisan Nasional memaklumkan bahawa BN akan membiayai semua parti komponennya dalam pilihan raya berkenaan.

Kata Chua: “Saya perlu akui, semasa mesyuarat ahli jawatankuasa tertinggi BN menjelang pilihan raya umum 5 Mei, beliau (Najib) atas kapasitinya selaku Perdana Menteri dan pengerusi BN, mendedahkan bahawa dalam pilihan raya tersebut, BN akan membiayai kewangan komponen parti.

“Saya masih ingat, saya adalah orang pertama yang mengucapkan terima kasih kepada beliau.

“Saya kata saya telah berkecimpung di dunia politik selama lebih 20 tahun dan telah menempuh lima pilihan raya umum, tidak pernah sekalipun (kami) menerima sesen pun daripada BN sebelum ini.

“Jadi mereka bersetuju dan ramai yang mengucapkan terima kasih kepada beliau. Tiba hari pilihan raya, beliau tunai janji - beliau mengagihkan beberapa peruntukan (kepada parti komponen).”

Adalah wajar sekiranya Najib menjelaskan berapakah jumlah yang telah diberikan oleh beliau kepada setiap ahli politik dan parti komponen BN untuk kegunaan menghadapi PRU13.

Dalam rencana bertajuk “A different type of ‘Operasi Lalang’?”, kolumnis Malaysiakini Nathaniel Tan menulis yang beliau “agak kecewa melihat seseorang berkedudukan tinggi seperti Lim Kit Siang yang berkomited terhadap nilai integrity” berkata bahawa beliau telah bertanyakan kepada pemimpin DAP lain yang hadir pada dialog dengan Orang Asli di mana Senator PKR Bob Manolan membuat kenyataan kontroversi tersebut, dan mengesahkan bahawa tiada tindakan mengugut Tok Batin jika mereka tidak mengundi Pakatan Harapan.

Naib Presiden PKR Tian Chua sudah memohon maaf bagi pihak partinya di atas “kenyataan cuai yang tidak disengajakan” yang dibuat oleh Bon Manolan, malah Bob Manolan sendiri sudah memohon maaf atas kenyataannya yang dilihat “berlebihan”.

Mengapakah saya menghubungi pemimpin DAP yang hadir pada dialog tersebut, antaranya Ahli Parlimen Raub yang juga merupakan Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji; Ahli Parlimen Bentong, Wong Tak; Senator Adrian Lasimbang dan Adun Ketari, Young Syefura untuk mendapat gambaran sebenar situasi tersebut?

Dan jika benar terdapat ugutan terhadap Tok Batin, mengapa hadirin yang terdiri daripada Orang Asli tepuk tangan apabila Bob Manolan berucap?

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan Lim Guan Eng dengan pantasnya telah menegaskan bahawa tidak ujudnya paksaan dalam demokrasi, dan Tok Batin akan tetap menerima elaun mereka.

Bob membuat kenyataan “cuai yang tidak disengajakan itu” bukan semasa beliau memberikan ucapan, tetapi dalam sesi soal jawab ketika beliau ditanya siapa yang membayar gaji Tok Batin, kerana mereka difahamkan oleh Menteri Besar Pahang bahawa gaji Tok Batin dibayar oleh kerajaan negeri dan bukannya oleh kerajaan persekutuan, dan justeru itu mereka diminta akur kepada arahan kerajaan negeri.

Pengundi Orang Asli wajar diberikan kebebasan untuk mengundi parti yang menjadi pilihan mereka, sama ada Tok Batin atau penduduk kampung - apa yang kami mahu adalah untuk mewujudkan suasana pilihan raya yang adil, bebas dan bersih untuk Orang Asli turut serta.

Namun ia tidak berlaku, pengundi Orang Asli masih dimomokkan dengan politik wang dan ketakutan yang dimainkan oleh Barisan Nasional - sehinggakan hanya empat daripada 18 Tok Batin hadir pada acara dialog bersama-sama pemimpin Pakatan Harapan di Pos Betau.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri