Kenapa Ramli dan Barisan Nasional (BN) mendiamkan diri terhadap cabaran untuk menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara?
Sebelum kewujudan Internet, media sosial dan elektronik, masa yang diberikan untuk membalas cabaran politik di seluruh dunia adalah satu hari kerana tempoh masa 24 jam diperlukan untuk media cetak menyiarkan cabaran tersebut pada hari berikutnya.
Media sosial dan elektronik telah memusnahkan peraturan 24 jam tersebut, kerana kita kini berada di era komunikasi moden, di mana maklumat bergerak pada kelajuan cahaya.
Saya yakin calon BN bagi PRK Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor sedar akan kenyataan saya yang mencabar beliau untuk turut sama menjadikan PRK tersebut sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara dengan setiap calon yang bertanding mendedahkan setiap hari perbelanjaan pilihan raya dan menjemput Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan NGO untuk memantau kempen mereka setiap hari.
Kenyataan saya dikeluarkan pada jam 9.57 pagi, dan ia dilaporkan oleh Malay Mail Online selepas 11 pagi dan kenyataan penuh disiarkan oleh Malaysiakini di laman webnya pada 12.13 tengah hari, rangkaian komunikasi media BN sudah tentu memaklumkan Ramli mengenai kenyataan saya.
Mengapa Ramli - yang dilihat mahu menitik beratkan integriti dalam kempen di Cameron Highlands apabila berkata yang jika beliau menang PRK tersebut, ia bukanlah disebabkan oleh amalan rasuah - masih berdiam diri terhadap cabaran berkenaan?
Adakah kenyataan Ramli bahawa beliau tidak akan terlibat dengan rasuah tidak selari dengan pendirian BN? - menjadi sebab mengapa tidak ada sebarang respons daripada beliau terhadap cabaran untuk menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara?
Malaysiakini melaporkan hari ini BN tidak menjemput media ke sebarang acarannya, sedangkan calon Pakatan Harapan, M Manogaran terpaksa membahagikan masa untuk berkempen di kawasan Tanah Rata dan Jelai.
Mengapa jadi begini. Mengapa wujud kelompongan dalam jadual kempen calon BN? Adakah mereka merancang aktiviti tanpa mahu diketahui oleh orang awam, termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya dan NGO yang memantau pilihan raya?
Apa yang cuba disorokkan oleh jentera pilihan raya BN daripada pengetahuan umum?
Adakah ini antara sebab mengapa Ramli tidak memberikan sebarang respons terhadap cabaran saya untuk bekerjasama menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara?
Perjalanan kempen sepanjang tiga hari lalu dipenuhi dengan lawak jenaka - dimulai dengan ucapan ahli jawatankuasa tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar, yang menyeru pengundi tidak menjual undi mereka, tetapi menasihati mereka agar jangan menolak sebarang pemberian termasuk beras, duit atau gula.
Ini adalah ucapan pemimpin BN dan bukan PH - kerana PH tidak akan membeli undi, sama ada daripada pengundi Melayu, Cina, India atau Orang Asli.
Malah, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, mengadakan sidang media yang mengundang tawa, apabila mendedahkan mengenai apa yang didakwa mereka sebagai kegiatan membeli undi, sedangkan ia hanya bayaran balik wang sebanyak RM20 kepada kira-kira 60 Orang Asli yang menunggang motosikal ke hari penamaan calon, tetapi beliau menutup sebelah mata terhadap amalan rasuah 1MDB dan skandal pengubahan wang haram melibatkan Datuk Seri Najib Razak!
Ingin saya ingatkan Wee bahawa bayaran balik sebanyak RM20 itu tidak menyalahi akta pilihan raya, sebaliknya skandal RM50 bilion 1MDB terang-terangan salah dan merupakan rompakan di siang hari.
Adakah Wee sedar yang RM50 bilion adalah 2.5 bilion ganda lebih besar daripada nilai sekeping not RM20? Ekoran sikap berdiam diri MCA terhadap skandal 1MDB, parti itu kini menjadi parti nyamuk yang mempunyai hanya seorang wakil rakyat.
Adakah Ramli berpegang kepada integriti dan kejujuran, kerana sehingga kini, setelah tiga kali saya bertanya, beliau masih tidak menjawab sama ada beliau akan mengutuk skandal 1MDB dan kleptokrasi Najib yang memalukan negara di mata dunia?
Ini kali keempat saya meminta Ramli untuk menyatakan pendiriannya - atau pengundi Cameron Highlands terpaksa menganggap beliau tidak akan mengutuk skandal 1MDB dan skandal pengubahan wang haram melibatkan Najib, sebaliknya menerima Najib sebagai model pemimpin yang turun padang berkempen di Cameron Highlands pada Jumaat hingga Ahad lalu.