Budaya kebergantungan telah menular di kalangan peneroka FELDA sehingga membantutkan pertumbuhan komuniti mereka
Peneroka FELDA tidak diberikan sebarang latihan dalam bidang pengurusan kewangan. Namun begitu, mereka perlu menanggung beban pinjaman yang besar dengan jadual pembayaran yang tidak sekata, bersama dengan kadar faedah yang ditetapkan.
Dasar pemberian pinjaman mudah oleh regim Barisan Nasional terdahulu adalah perkara yang disengajakan bagi mengikat peneroka FELDA kepada kehidupan berhutang, yang mana akan juga diwarisi oleh generasi peneroka yang akan datang, sekali gus mewujudkan kebergantungan terhadap bantuan kerajaan.
Ini adalah salah satu sebab utama jentera kempen pilihanraya Pakatan Harapan menghadapi kesukaran untuk memasuki penempatan FELDA sepanjang kempen pilihan raya umum yang lalu. Para peneroka berasa risau mengenai keberlangsungan elaun sara hidup mereka jika mereka membenarkan jentera kempen Pakatan Harapan memasuki kampung mereka.
Ada ketikanya, peneroka FELDA dianugerahkan wang dengan jumlah yang besar, misalnya ketika hasil penyenaraian FELDA Global Venture Berhad (FGV) di Bursa Saham Kuala Lumpur dan semasa harga komoditi memuncak. Namun, disebabkan tahap celik pengurusan kewangan yang rendah di kalangan para peneroka, sukar untuk mereka menguruskan wang yang diperoleh dengan bijak untuk simpanan masa hadapan.
Justeru itu, kerajaan Pakatan Harapan, sebagai sebahagian daripada agenda reformasi FELDA akan memasukkan elemen latihan dan pendidikan, khususnya yang melibatkan pengurusan kewangan, bagi melatih generasi akan datang dengan pendidikan yang lebih holistik, sekali gus membawa mereka keluar daripada kepompong budaya kebergantungan.