Adakah Ramli bersedia untuk bekerjasama dalam menjayakan usaha menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai pilihan raya terbersih dalam sejarah negara dengan mendedahkan setiap hari perbelanjaan pilihan raya dan menjemput SPR dan NGO untuk memantau aktiviti kempen?

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor semalam berkata, jika beliau menang PRK ini, ia bukan disebabkan oleh amalan rasuah.

Saya memuji dan menyambut baik kenyataan oleh calon BN berkenaan, kerana terdapat usaha terancang untuk mengalihkan perhatian terhadap punca sebenar mengapa Naib Presiden MIC, C. Sivaraajh diarahkan mengosongkan kerusi Parlimen Cameron Highlands yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018; sehingga membawa kepada berlakunya PRK di kawasan itu, serta penglibatan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelai, Wan Rosdy Wan Ismail dalam kegiatan politik wang, membeli undi dan amalan rasuah semasa pilihan raya umum lalu, yang mana telah dibangkitkan oleh mahkamah pilihan raya, malah menyaksikan Wan Rodsy tidak berani untuk tampil menjadi saksi bagi menafikan dakwaan itu meskipun prosiding mahkamah pilihan raya ditangguhkan sebanyak tiga kali bagi memberi ruang untuk Wan Rosdy memberi keterangan.

Sebenarnya, kegiatan politik wang, membeli undi dan amalan rasuah pada PRU14 bukan hanya terhad berlaku di Cameron Highlands, sebaliknya berlaku dalam kebanyakan kempen BN.

Bezanya, Cameron Highlands mempunyai 12 “hero integriti” - sebelas orang daripadanya adalah Orang Asli - yang sanggup memberi keterangan di mahkamah mengenai kegiatan politik wang, membeli undi dan amalan rasuah yang dilakukan BN di Cameron Highlands pada PRU lepas!

Amat mengejutkan apabila Pakatan Harapan dan Warisan mampu memenangi PRU14 dan membentuk Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun pihak lawan terlibat dalam kegiatan politik wang, membeli undi dan amalan rasuah.

Jika pilihan raya di seluruh kawasan yang dipertandingkan dilaksanakan secara adil dan bersih pada pilihan raya umum lalu, BN tidak mungkin akan menang 79 kerusi Parlimen - 54 Parlimen dimenangi oleh UMNO (kini hanya tinggal 37 kerusi).

Antara cubaan untuk mengalihkan perhatian terhadap sebab mengapa PRK Cameron Highlands diadakan adalah dengan tuduhan terhadap DAP dan Pakatan Harapan kononnya terlibat dalam kegiatan membeli undi dalam PRK kali ini. Pemimpin BN cuba mencalarkan imej Pakatan Harapan dengan menyebarkan beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan beberapa individu yang memakai baju-T Pakatan Harapan Cameron Highlands menerima wang. Laporan polis telah dibuat oleh pihak BN atas dakwaan berlakunya kegiatan membeli undi.

Hakikatnya, ini adalah sebahagian daripada perbelanjaan Pakatan Harapan. Petugas kempen hanya membuat bayaran balik sebanyak RM20 setiap seorang kepada kira-kira 60 sukarelawan Orang Asli yang menaiki motosikal dari kawasan Jelai ke Tanah Rata pada hari penamaan calon, Ahad lalu.

Adakah Ramli bersedia untuk mendedahkan kepada umum jumlah yang telah dibelanjakan BN pada hari penamaan calon tersebut?

Saya yakin, apa yang belanjakan DAP dan Pakatan Harapan pada hari penamaan calon amat sedikit jika dibandingkan dengan BN.

BN turut mencipta helah untuk menutup kaitan peranan Wan Rodsy dalam kegiatan politik wang, membeli undi dan aman rasuah di Cameron Highlands pada PRU lalu.

Semua pihak yang berminat dengan isu ini perlu membaca penghakiman Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Hakim Azizah Nawai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 November 2018.

Jika Ramli sukar untuk mendapatkan salinan penghakiman tersebut, saya bersedia untuk memberikan beliau satu salinan.

Dalam Perenggan 26 hingga 33 penghakiman tersebut, Sivaraajh dan Wan Rosdy dikatakan tiba di Sekolah SK Sinderut di Pos Sinderut menaiki helikopter pada 30.4.2018 kira-kira jam 2 petang, Tok Batin diberitahu supaya “Harus ingat siapa pemimpin… dan mereka harus mengundi BN” dan Tok Batin yang hadir diberikan wang sebanyak RM200 setiap seorang sebagai “duit rokok”. Hakim Mahkamah Pilihan Raya mendapati hakikatnya wang sebanyak RM200 telah diberikan kepada Tok Batin telah bejaya dibuktikan.

Dari perenggan 34 hingga 41, Sivarrajh dan Wan Rosdy dikatakan menaiki helikopter untuk melawat Pos Lenjang pada 6.5.2018. Hakim mendapati Tok Batin telah diberikan wang sebanyak RM25,000 untuk diagihkan kepada semua pengundi di setiap kampung dan setiap Tok Batin telah menerima wang sebanyak RM200.

Dari perenggan 45 hingga 48, Hakim berpuas hati yang Sivarrajh dan Wan Rosdy pada hari yang sama turut bertemu Tok Batin di Kampung Tual, Janggap, Regang, Sinderut, Cempian, Kabang dan Belau. Mereka diberikan wang sebanyak RM300 setiap seorang.

Terdapat juga dakwaan yang Tok Batin diberikan wang dengan jumlah yang besar untuk diagihkan kepada penduduk Orang Asli bagi memujuk mereka mengundi BN.

Wan Rosdy benasib baik kerana tiada petisyen pilihan raya yang dikemukan di DUN Jelai yang dimenanginya, kerana sudah tentu kerusi tersebut akan diisytiharkan kosong dan beliau perlu meletak jawatan sebagai Menteri Besar Pahang.

Wan Rosdy melanggar akta pilihan raya pada PRU14 dan tidak harus terlibat dalam PRK Cameron Highlands.

Satu acara istimewa perlu diadakan bagi meraikan dan memberi penghormatan kepada Orang Asli yang menjadi saksi dalam petisyen pilihan raya Cameron Highlands, kerana mereka telah mecatatkan satu standard integriti dan kejujuran bukan sahaja di kalangan Orang Asli di Cameron Highlands, juga di kalangan rakyat Malaysia.

Adakah Ramli akan hadiri acara istimewa ini?

Saya berani kata, jika tidak berlaku kegiatan politik wang, membeli undi dan amalan rasuah, Pakatan Harapan mempunyai peluang yang cerah untuk menang PRK Cameron Highlands.

Ini sebab mengapa saya menyambut baik kenyataan Ramli dan menyeru beliau untuk sama-sama menjadikan PRK Cameron Highlands sebagai satu contoh untuk semua pilihan raya umum dan pilihan raya kecil akan datang, dengan mendedahkan perbelanjaan pilihan raya setiap hari kepada umum.

Terdapat 30 daerah pengundian di kawasan Parlimen Cameron Highlands, iaitu Pos Terisu, Pos Telanuk, Pos Lemoi, Pos Mensun, Lembah Bertam, Bandar Ringlet, Habu, Ladang Boh 1, Ladang Boh 2, Kea Farm, Tanah Rata, Berinchang, Ladang Sungai Palas, Ladang Blue Valley, Kampung Raja, Kuala Terla, Teringkap, Pos Lanai, Kuala Medang, Tanjung Gahai, Bukit Kota, Kampung Keledek, Lubuk Kulit, FELDA Sungai Koyan Satu, FELDA Sungai Koyan Dua & Tiga, Pos Betau, Pos Sinderut, Pos Lenjang, Pos Titum.

Adakah Ramli bersetuju dengan cadangan untuk calon BN dan PH mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya bagi setiap daerah pengundian setiap hari?

Saya ingin mencadangkan lebih lagi: Jemput Suruhanjaya Pilihan Raya dan wakil NGO, termasuk Bersih dan NGO pemantau pilihan raya lain, untuk memantau aktiviti kempen setiap calon pada setiap hari, dan wajibkan pusat operasi pilihan raya BN dan PH untuk menghantar jadual harian aktiviti mereka, bagi membolehkan NGO dan SPR membuat pantauan.

Dengan cara itu, termasuk menghantar setiap hari laporan perbelanjaan oleh setiap calon, saya yakin kita akan mencipta satu amalan pilihan raya yang bebas, bersih dan adil bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia!

Adakah Ramli bersetuju dan akan memberikan maklum balas dalam beberapa jam akan datang dalam era di mana maklumat bergerak sepantas kelajuan cahaya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri