Kronisme telah membantutkan potensi pertumbuhan FELDA
Peneroka FELDA telah diabaikan sejak berdekad lamanya di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional yang sebelum ini mempergunakan mereka semata-mata untuk meraih undi.
Generasi pertama peneroka FELDA, yang kebanyakannya terdiri daripada golongan miskin luar bandar, dihantar untuk membangunkan tanah di sekitar kawasan desa untuk diusahakan menjadi ladang tanaman komoditi tanpa diberikan sebarang latihan, selain untuk menjadi seorang petani.
Ini mengingatkan kita kepada dasar Pentadbiran Penjajah British yang mahu mengekalkan orang Melayu sebagai petani dengan memberikan anak-anak mereka pendidikan yang hanya memadai untuk menjadi seorang petani dan tidak lebih daripada itu.
Oleh yang demikian, kita kerap mendengar peneroka FELDA mempunyai masalah dalam pengurusan kewangan, tidak menyimpan bonus yang diterima untuk masa hadapan dan terus-menerus bergantung kepada bantuan daripada kerajaan untuk kelangsungan kehidupan.
Pengabaian pendidikan dan kronisme telah membantutkan potensi pertumbuhan ekonomi peneroka FELDA. Itulah sebabnya mengapa penempatan FELDA kini hanya menjadi kawasan ladang tanaman komoditi tanpa mempunyai aktiviti industri yang lain.
Saya diberitahu oleh seorang anak peneroka FELDA bahawa agensi itu jarang meluluskan sebarang rancangan peneroka untuk membangunkan perusahan selain daripada pertanian tanaman komoditi.
Peneroka tidak dibenarkan menanam tanaman atau melakukan aktiviti ekonomi lain di atas tanah yang diberikan tanpa kebenaran FELDA, sekali gus mengurangkan peluang mereka untuk mengembangkan aktiviti ekonomi mereka. Sejak sekian lama, peneroka meminta kebenaran FELDA untuk membenarkan mereka menanam tanaman lain di atas tanah yang diberikan kepada mereka, namun permohonan ini tidak dilayan agensi tersebut.
Oleh kerana semua tanah dalam lingkungan penempatan dimiliki oleh FELDA, tiada aktiviti perindustrian boleh bertapak di kawasan penempatan FELDA. Pelabur tidak boleh memasuki kawasan penempatan untuk mengakses sumber manusia yang tersedia ekoran monopoli tanah. Ini menghasilkan situasi di mana generasi kedua peneroka terpaksa memilih sama ada keluar sehelai sepinggang dari FELDA atau terus menjadi petani, jika mereka mewarisi ladang daripada bapa mereka.
Sepatutnya, peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan dalam membantu peneroka untuk membangunkan ladang mereka menghasilkan aktiviti ekonomi sekunder seperti kedai runcit, bengkel jentera pertanian, dan perusahaan kecil bagi menjana ekosistem ekonomi tempatan.
Namun, semua itu gagal untuk menjadi kenyataan berikutan amalan pengurusan FELDA yang memberikan kontrak perkhidmatan tersebut kepada kroni Barisan Nasional - menghalang generasi pertama dan kedua peneroka untuk terlibat sama dalam sistem ekonomi setempat.
Perkhidmatan penyelenggaraan jentera pertanian dimonopoli oleh syarikat kroni UMNO, yang dibawa dari luar sistem berkenaan tanpa niat atau inisiatif langsung untuk melibatkan masyarakat setempat. Sebarang bentuk persaingan disekat demi menjaga kepentingan kroni.
Rejim Barisan Nasional pernah cuba untuk membaiki kekurangan kemahiran di kalangan generasi peneroka kedua FELDA dengan memberikan mereka biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam pelbagai bidang. Bagaimanapun, kebanyakan biasiswa itu gagal menghasilkan pekerjaan atau mewujudkan aktiviti ekonomi sekunder ekoran kekangan yang dinyatakan di atas.
Sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pengurusan FELDA, kerajaan Pakatan Harapan akan membuka pasaran ekonomi sekunder kepada peneroka FELDA, bagi membolehkan mereka untuk turut serta dan membangunkan komuniti mereka, mempelbagaikan dan mewujudkan komuniti mapan yang melibatkan semua peneroka.
Dengan menyingkirkan kronisme dan rasuah dalam FELDA, dapatlah kita merealisasi potensi sebenar FELDA sebagai sebuah program sosial yang bertujuan untuk mengeluarkan penduduk miskin luar bandar daripada kepompong kemiskinan dan pada masa yang sama mewujudkan komuniti peneroka yang berdaya saing dan mampan.