Kini tiba masanya peneroka Felda bangkit semula dalam PRK Cameron Highlands bagi memulakan era Malaysia Baru yang adil, makmur dan sejahtera untuk semua rakyat Malaysia

Sebelum ini, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan perbuatan pemimpin mencuri wang rakyat, iaitu kleptokrasi, pada era Datuk Seri Najib Razak telah menyebabkan rakyat sengsara di bawah tekanan ekonomi.

Seperti yang dinyatakan dalam Manifesto Pakatan Harapan untuk pilihanraya umum ke-14 pada 2018 yang lalu:

“FELDA telah dirompak oleh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional yang tamak haloba. Harta milik FELDA ditukar milik dengan sewenang-wenangnya. Tadbir urus FELDA sebagai sebuah syarikat milik kerajaan adalah amat memalukan, sehingga Ahli Lembaga Pengarah berlepas diri dengan mengatakan mereka tidak tahu apa yang berlaku.

“Tatkala berbilion-bilion ringgit harta milik FELDA hilang ke tangan orang lain dan kroni-kroni hidup kaya raya, nasib peneroka FELDA dan ahli keluarga mereka semakin tidak terbela. Jumlah hutang mereka meningkat hingga beratus-ratus ribu ringgit akibat kegagalan pengurusan FELDA itu sendiri.

“Generasi kedua dan ketiga FELDA kini merasakan sukar untuk hidup di kawasan FELDA kerana peluang pekerjaan yang tidak menentu dan prasarana yang tidak mencukupi. Cabaran gejala sosial pula semakin berleluasa di kalangan anak-anak muda.”

Apabila pengundi termasuk peneroka Felda dan anak-anak serta cucu mereka memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan yang baru dalam PRU14, sudah sampai masanya kita tunaikan semua janji pilihanraya.

Namun, berlaku kejutan kerana kerajaan PH sendiri tidak sangka beban hutang dan masalah kewangan yang ditinggalkan oleh bekas kerajaan UMNO-BN amat besar. Hutang pentadbiran Najib mencecah RM1 trilion! Keadaan itu menyebabkan segala usaha PH untuk menunaikan janji terpaksa diperlahankan bagi memulihkan keadaan ekonomi negara.

Dalam pada itu, keutamaan tetap diberikan kepada peneroka Felda serta keluarga mereka. Seawal Hari Raya Puasa pada Jun 2018, kerajaan PH telah memperuntukkan sumbangan Aidilfitri bernilai RM50.68 juta untuk lebih 112,000 peneroka di seluruh negara.

Jika kerajaan lama memperuntukkan RM160 juta sahaja untuk projek pembangunan dalam kawasan Felda pada 2018, kerajaan PH telah meningkatkan jumlahnya - RM100 juta untuk menaiktaraf jalan, RM160 juta menyediakan bekalan air, RM35 juta membina dan menaiktaraf bangunan serta pemasangan lampu jalan.

Terbaru, kerajaan PH seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan pada Disember lalu, telah memperuntukkan RM77 juta sebagai sumbangan khas bagi membantu peneroka Felda menyelesaikan bayaran dan hutang tertunggak mereka, khususnya 38,000 peneroka, untuk tahun lalu.

Bantuan itu disediakan dalam tiga bentuk pembayaran, iaitu:

  1. Bayaran tunggakan RM43 juta kepada Felda Technoplant Sdn Bhd untuk kerja-kerja pembangunan ladang peneroka.
  2. Bayaran sara hidup dan wang pendahuluan RM32.8 juta untuk tanaman semula.
  3. Bayaran khairat kematian RM1.2 juta melibatkan waris 120 peneroka yang telah meninggal dunia.

Memang bantuan ini tidak dapat menyelesaikan segala masalah kewangan peneroka tetapi ramai yang bersyukur kerana selama ini tekanan yang mereka hadapi tidak dipedulikan oleh bekas kerajaan BN.

Kini saya yakin kerajaan PH akan meneruskan usaha untuk memenuhi janji-janji Menifesto walau pun perlu ada sedikit-sebanyak perubahan dan penyusunan semula. Namun semuanya itu untuk kebaikan peneroka.

Setelah berjaya membela nasib peneroka Felda dengan mengurangkan bebanan hutang mereka, saya yakin kerajaan PH akan terus memastikan:

  • Penyelewengan dalam Felda di semua peringkat dihentikan.
  • Penyusunan semula tadbir urus Felda.
  • Pemodenan dan usaha menaiktaraf kawasan-kawasan Felda.
  • Peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka Felda.

Tindakan undang-undang juga telah dan sedang dilaksanakan. Ini termasuk kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad yang telah dihadapkan ke mahkamah pada 14 Disember lalu atas tuduhan pecah amanah dan menerima rasuah.

Jadi, apa beza dengan janji PH sebelum dan selepas PRU14? Jawapannya mudah sahaja. Kini PH memegang teraju kerajaan. Dan ia merupakan kerajaan rakyat untuk rakyat demi rakyat. Ia tidak akan melakukan penyelewengan, salah guna kuasa dan salah urus seperti dahulu. Tidak sampai 9 bulan menjadi kerajaan, janji-janji awal kepada peneroka Felda sudah pun ditunaikan.

Ini adalah jaminan kerajaan PH untuk peneroka Felda. Semoga warga Felda termasuk generasi ketiganya tidak mudah terpengaruh dengan dakyah perkauman daripada bekas-bekas pemimpin kerajaan BN yang telah melakukan pelbagai penyelewengan yang menyebabkan warga Felda hidup tersiksa selama ini.

Jika sebelum PRU14, masyarakat Malaysia mudah diancam oleh politik perkauman, kini telah terbukti isunya adalah masalah ekonomi dan kos sara hidup rakyat. Kerajaan PH telah membuktikan ia mampu menyelesaikan masalah kewangan dan beban hutang peneroka Felda. Ini bererti era politik perkauman untuk menutup kejahatan dan penyelewengan pemimpin sudah berakhir.

Mari kita sama-sama mulakan hidup baru dalam era baru bersama PH yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang disokong penuh oleh PPBM, PKR, Amanah dan DAP serta jutaan rakyat Malaysia pelbagai kaum yang mahukan kehidupan yang lebih adil, sejahtera dan makmur.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri