Tiga sebab mengapa pengundi di Semenyih harus memilih calon Pakatan Harapan pada 2 Mac
Terdapat tiga sebab mengapa pengundi di Semenyih harus memilih calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali pada Sabtu, 2 Mac, 2019.
Bekas Menteri UMNO mempersoalkan pelantikan Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim dari kalangan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam dalam satu ceramah semalam.
Kenyataan tersebut jelas berbaur ekstrimis, bertentangan dengan semangat Perlembagaan Malaysia serta prinsip pembinaan negara.
Pelantikan Menteri Kewangan, Peguam Negara atau Ketua Hakim dari kalangan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam bukanlah perkara baharu di Malaysia.
Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin pernah menjadi Menteri Kewangan sehingga tahun 1974. Lim Guan Eng adalah Menteri Kewangan dari kalangan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam pertama sejak 44 tahun lalu. Pada awal pembentukan Malaysia, jawatan Peguam Negara dan Ketua Hakim pernah disandang oleh orang bukan Melayu dan bukan Islam.
Adakah salah untuk seseorang yang bukan Melayu dan bukan Islam memegang jawatan Menteri Kewangan, Peguam Negara atau Ketua Hakim?
Perlembagaan Malaysia secara jelas menyatakan bahawa jawatan tersebut terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang berkelayakan dan diyakini cekap untuk menjalankan tanggungjawab tersebut.
Pengundi Semenyih harus menggunakan undi yang ada pada mereka dalam pilihan raya kecil Sabtu ini bagi menyatakan penolakan terhadap pendirian ekstrim bekas Menteri UMNO yang mempersoalkan pelantikan Menteri Kewangan, Peguam Negara dan Ketua Hakim dari kalangan pemimpin bukan Melayu dan bukan Islam.
Kedua, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kini sedang cuba melakukan “comeback” politik dan - seperti dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin - kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia menerusi kempen “Malu Apa Bossku”!
Ramai di kalangan rakyat Malaysia kecewa apabila Najib - yang telah banyak membawa keburukan kepada Malaysia ekoran skandal berkaitan 1MDB serta skandal-skandal lain yang melibatkan Felda, Felcra, MARA dan Tabung Haji, malah menyebabkan Malaysia dijadikan bahan jenaka dunia dengan gelaran kleptokrasi global - masih tidak dihukum di penjara Sungai Buloh atas jenayah dan amalan rasuahnya, tetapi sebaliknya dibiarkan bebas mendabik dada mengusung kempen “Malu Apa Bossku” di seluruh negara.
Walaupun Malaysia Baharu komited kepada agenda mengembalikan kedaulatan undang-undang, rakyat Malaysia harus bersabar dan memberi ruang kepada proses perundangan berjalan supaya penjenayah dan pihak yang bertanggungjawab ke atas skandal-skandal terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan.
Pun begitu, PRK pada 2 Mac nanti memberikan peluang keemasan kepada pengundi di Semenyih untuk menolak secara lantang dan jelas sama langkah “comeback” politik yang dibawa Najib untuk menobatkan dirinya sekali lagi sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Sebab ketiga mengapa pengundi Semenyih harus memilih Pakatan Harapan adalah untuk menjadikan ia sebagai satu manifestasi sokongan berterusan terhadap agenda Pakatan Harapan untuk membina Malaysia Baharu, di mana negara kita menjelma daripada kleptokrasi global kepada negara yang berintegriti di mata dunia; di mana semangat demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik dikembalikan; di mana Malaysia boleh menjadi sebuah negara bertaraf dunia dalam pelbagai bidang usaha manusia, sama ada menjadi contoh kepada dunia dengan memanfaatkan aset dan kualiti pertembungan pelbagai kaum, agama, bahasa dan budaya di Malaysia, dan melihat ia sebagai kekuatan serta aset negara, dan bukan sebaliknya.
Pakatan Harapan berjanji untuk membuat perubahan dalam struktur dan institusi bagi mewujudkan sebuah Malaysia Baharu, namun tidak mudah untuk memperbetulkan segala masalah yang terjadi selama 60 tahun dalam tempoh masa 100 hari, satu atau dua tahun, apatah lagi dalam satu kitaran pilihan raya.
Kita harus membentuk visi Gambaran Besar dan kekal komited kepada perspektif jangka masa panjang terhadap agenda pembaharuan struktur dan institusi, namun ia harus bergerak seiring dengan peningkatan sokongan kepada setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau kawasan, supaya pembaharuan struktur dan instittusi ini boleh menjadi sebahagian penting daripada proses pembinaan negara.