Kembalikan tatasusila, prinsip moral dan integriti dalam politik dan hal ehwal awam di Malaysia
Adakah pembohongan, seperti kisah rekaan terbaharu bahawa kononnya terdapat usaha untuk menumbangkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi undi tidak percaya oleh Ahli Parlimen Pakatan Harapan dalam sidang Parlimen akan datang, sebuah pembohongan yang mematuhi syariah?
Senarai 101 Ahli Parlimen yang dikatakan kononnya telah bersetuju untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Tun Dr Mahathir beredar di media sosial, dengan perincian setiap kawasan, iaitu lapan Ahli Parlimen dari Kedah, 10 dari Pulau Pinang, 14 dari Perak, 17 dari Selangor, 7 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dua dari Melaka, lima dari Negeri Sembilan, 12 dari Johor, empat dari Pahang, satu dari Terengganu, satu dari Kelantan, lapan dari Sabah dan 12 dari Sarawak - sedangkan ia hanyalah cerita rekaan dan bohong.
Adakah ini pembohongan mematuhi syariah yang kedua?
Sebuah laman sesawang yang pakar dalam menyebarkan kepalsuan dan pembohongan, menyiarkan satu artikel semalam dengan memaparkan gambar saya bersama tajuk "DAP may have to leave Pakatan Harapan if the rot continues”.
Adakah ini pembohongan mematuhi syariah yang ketiga?
Politik Malaysia dan hal ehwal semasa telah tercemar dengan pembohongan dan kepalsuan, dengan percubaan kreatif mewajarkannya dengan penggunaan istilah 'pembohongan patuh syariah' yang baru dicipta.
Setelah Malaysia mendapat malu akibat digelar sebagai kleptokrasi global di bawah pentadbiran terdahulu, adakah rakyat Malaysia mahu pula dikenali dunia sebagai penyumbang kepada istilah "pembohongan patuh syariah"?
Sudah tiba masanya untuk kita mengembalikan tatasusila, prinsip moral dan integriti dalam politik dan hal ehwal awam di Malaysia.
Sesiapapun yang membaca afidavit Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer berhubung amalan rasuah, perbuatan songsang dan salah laku dalam badan kehakiman tentu akan bersetuju bahawa jika tatasusila, prinsip moral dan integriti menjadi amalan dalam badan berkenaan, keadaan yang terjadi seperti hari ini sudah tentu tidak mungkin akan berlaku.