Cadangan untuk Kerajaan Negeri Johor bersama dengan Kerajaan Persekutuan mengadakan satu Persidangan Isu Alam Sekitar selepas kejadian tiga bencana alam sekitar melanda negeri ini

Bersama dengan Ahli Dewan Undangan Negeri DAP untuk kawasan Skudai, Tan Hong Pin, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Saudara Tan Chen Choon, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Negeri Johor, dan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk taklimat mengenai kebakaran yang telah memusnahkan 16 hektar hutan di Kampung Pekajang di Jalan Tanjong Kupang.

Saya puji pegawai dan kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk dedikasi dan usaha mereka dalam mengawal dan memadamkan kebakaran ini sepanjang minggu yang lalu.

Sepanjang beberapa bulan yang lepas, kawasan Selatan Johor telah mengalami tiga bencana alam sekitar. Bermula dengan pencemaran toksik di Sungai Kim Kim yang berlaku pada 7 Mac 2019 disebabkan oleh pembuangan bahan kimia haram. Pembuangan bahan kimia secara haram ini telah menyebabkan pelepasan wasap toksik yang menjejaskan kesihatan 6,000 individu dan menyebabkan 2,775 individu dihospitalkan. Kebanyakan mangsa adalah pelajar sekolah memandangkan terdapat 110 buah sekolah yang ditutup di sekitar kawasan sungai tersebut.

Bencana alam sekitar yang kedua ialah pencemaran udara di Pasir Gudang pada bulan Jun 2019 yang telah menyebabkan ramai individu yang tinggal berdekatan dengan kawasan kilang terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas terhidu wasap toksik.

Ketiga ialah kebakaran hutan yang berlaku selama seminggu di Kampong Pekajang di Iskandar Puteri yang telah menyebabkan penutupan dua buah sekolah yang berdekatan.

Ketiga-tiga bencana alam sekitar yang terjadi di negeri Johor dalam masa 5 bulan tahun ini mestilah diambil serius oleh kedua-dua Kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Masanya telah tiba untuk alam sekitar di Johor diberikan keutamaan dan atas sebab ini, saya telah memberitahu kepada Chen Choon untuk mencadangkan penganjuran bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor untuk satu Persidangan Isu Alam Sekitar untuk mengetengahkan isu-isu alam sekitar di Johor dan membuka jalan untuk menyediakan rancangan untuk menjaga kualiti alam sekitar di negeri Johor.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri