Mampukah Pakatan Harapan memenangi Pilihanraya Umum ke-15 pada tahun 2023?
Persoalan “Mampukah Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun 2023” akan menimbulkan jawapan yang berbeza daripada kumpulan yang berbeza.
Bagi perintis perikatan klepto-teokrasi yang pertama di dunia dalam tempoh yang terdekat, dengan setiap satu daripada dua parti komponennya mengheret sekali parti bawahannya, sama ada MCA dan MIC yang diheret UMNO atau Ikatan dan Berjasa yang diheret PAS, jawapan yang kedengaran sudah tentu “Tidak”, kerana perikatan UMNO-PAS berangan-angan untuk menjadi Kerajaan Malaysia pada PRU15 dan menubuhkan negara klepto-teokrasi pertama seumpamanya di dunia.
Tetapi, mereka tidak akan bersetuju dengan hakikat yang PRU15 akan dilaksanakan pada tahun 2023, kerana mereka sangat mengharapkan supaya PRU15 dijalankan lebih awal!
Saya belum mengajukan persoalan ini kepada pemimpin-pemimpin lain parti komponen PH. Namun, jawapan saya kepada persoalan ini adalah; ya.
Pendapat ini menongkah arus persepsi umum semasa mengenai kerajaan PH, kerana terdapat beberapa kumpulan yang mempunyai pandangan bahawa kerajaan PH akan disingkirkan dari Putrajaya sekiranya pilihan raya umum diadakan sekarang -- seperti mana mereka meramalkan bahawa kerajaan PH akan runtuh dan berpecah beberapa bulan selepas pertukaran kerajaan, dan kini mereka berharap yang kerajaan PH tidak akan berjaya mentadbir sepenuh penggal, sebaliknya akan tersungkur dan berpecah sebelum tahun 2023.
Mereka yang skeptikal terhadap PH pasti akan terkejut jika kerajaan PH mampu mentadbir sepenuh penggal pertama ini dan hanya melaksanakan PRU15 pada tahun 2023 dan bukan lebih awal dari itu!
Malaysia kini sedang memasuki fasa politik kelima sejak peristiwa bersejarah rakyat menukar tampuk pentadbiran kerajaan secara aman dan demokratik dalam PRU14 pada 9 Mei 2018. Empat fasa terawal tersebut ialah:
- Dari 9 Mei 2018 sehingga hujung tahun 2018, ketika euforia perubahan dapat dirasakan dan PH kelihatan berada pada kedudukan yang teguh -- dan pusingan semula seperti ratifikasi ICERD boleh dilakukan tanpa menimbulkan banyak kesan buruk. PH menang empat pilihan raya kecil (PRK) semasa tempoh ini.
- Empat bulan pertama tahun ini, euforia perubahan semakin surut, kekecewaan mula timbul apabila banyak perkara kelihatan tidak berubah dan kerosakan, ketidakadilan, serta salah guna kuasa yang berlaku sejak enam dekad lalu tidak mampu dirungkai dalam tempoh 100 hari atau setahun, ditambah dengan fenomena kempen “Malu Apa Bossku” -- tempoh di mana kerajaan PH tidak boleh melakukan apa-apa dengan betul seperti peristiwa penarikan diri Malaysia daripada Statut Rom. PH kalah tiga PRK dalam tempoh ini.
- Pada Mei dan awal Jun, arus mula berubah arah atas tiga faktor utama: sambutan ulang tahun pertama kerajaan PH di Putrajaya dengan tema “Kemakmuran Bersama”, kemenangan tipis dalam PRK Sandakan pada 11 Mei yang mana menghancurkan dua mitos dalam politik Malaysia -- bahawa kerajaan PH dan Warisan di Putrajaya dan Sabah hanya kerajaan sepenggal, dan kekebalan kempen tidak tahu malu “Malu apa, bossku” -- dan tempoh perbicaraan yang panjang membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
- Namun tempoh pulih ini amat singkat, kerana sebelum pertengahan Jun hingga Ogos, timbul pula empat isu lain, iaitu rakaman video, tulisan jawi di sekolah rendah Cina dan India, Zakir Naik dan Lynas, yang disatukan untuk memberi persepsi bahawa kerajaan PH diambang kemusnahan.
Semoga perayaan sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia ke-56 pada 16 September membawa Malaysia ke fasa politik kelima yang penuh semangat, harapan, dan optimisme terhadap pembinaan sebuah Malaysia Baharu sebagai sebuah negara bertaraf dunia dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia dan menjadi antara negara yang menduduki tangga 30 teratas di dunia dalam tempoh sedekad menjelang tahun 2028, sebuah Malaysia yang menjadi juara Perikatan Peradaban yang inklusif dan merangkumi semua, sekaligus menafikan tesis “Clash of Civilizations” yang dikatakan sebagai tema global abad ke-21.
Rakyat Malaysia mesti mengembangkan pemahaman berhubung media sosial bagi mengupayakan diri untuk mengesan pembohongan, kepalsuan, berita tidak benar dan ucapan kebencian supaya kita semua mampu menolak godaan dan seruan puak oportunis yang terdesak yang ingin mencetuskan kecurigaan, keraguan, rasa tidak percaya, ketakutan dan kebencian, melagakan kaum dengan kaum, agama dengan agama, budaya dengan budaya dan tamadun dengan tamadun di Malaysia.
Mari kita buktikan kepada mereka yang cuba menghasut perlagaan di antara kaum dan agama di negara ini -- yang mahu menjunamkan negara kita ke dalam kancah pergolakan, ketidakstabilan, dan huru hara dan memusnahkan harapan untuk Malaysia menjadi negara yang disegani di mata dunia -- yang mereka salah sama sekali.
Walaupun saya tidak menjangka akan berpeluang melihat perubahan kerajaan yang bersejarah, aman dan demokratik pada 9 Mei 2018, demi kepentingan anak-anak dan cucu-cucu kita, kita mesti mengerakkan setiap tenaga untuk memastikan PH berjaya dalam misi kebangsaan untuk menetapkan semula dasar membina negara bagi membina satu Malaysia baharu yang berteraskan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti Malaysia Baharu sejajar dengan lima janji utama Manifesto PRU14 PH.
Kita tidak boleh berpuas hati atau mengambil remeh, kerana ini adalah satu-satunya peluang dalam sejarah negara untuk membawa negara ke landasan yang tepat dengan ciri-ciri perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Saya percaya bahawa di dalam setiap hati rakyat Malaysia, inilah yang majoriti rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, mahukan.
Ya, saya percaya ada peluang untuk kerajaan PH menang PRU15 pada tahun 2023 dan meneruskan misi yang belum selesai iaitu membentuk Malaysia Baharu.
Mari kita pikul misi membina sebuah Malaysia Baharu ini bersama-sama.