Inisiatif UNAOC di peringkat domestik dan antarabangsa adalah penawar terbaik untuk kebangkitan sentimen kebencian, ketakutan dan tidak bertolerasi yang semakin menjadi-jadi melalui penyalahgunaan media sosial
Semalam, Indonesia telah menyekat akses Internet di Papua berikutan kebimbangan bahawa kenyataan perkauman dan jelek yang dimuat naik di dalam talian (online) akan mencetuskan lebih banyak protes keganasan di wilayah tersebut.
Tunjuk perasaan dan rusuhan menyebabkan beberapa bandar di Papua lumpuh minggu ini, dengan bangunan-bangunan dibakar dan pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan tercetus di wilayah paling timur negara Indonesia itu.
Pemberontakan terhadap pentadbiran di Jakarta telah berlarutan untuk beberapa dekad di wilayah kepulauan tersebut, yang mana berkongsi sempadan dengan negara Papua New Guinea.
Indonesia memperlahankan perkhidmatan internet beberapa hari lalu bagi mengelak penyebaran berita tidak benar, komen provokatif dan perkauman yang menyasarkan populasi etnik Melanesia di Papua. Namun, ia hanya disekat sepenuhnya pada lewat malam semalam.
Awal bulan ini, apabila Perdana Menteri India, Narendra Modi bertindak memansuhkan Perkara 370 Perlembagaan India yang memberikan Jammu dan Kashmir (J & K) status istimewa dalam Kesatuan India, akses Internet disekat untuk kali yang ke-53 tahun ini.
Di India, tahun lalu, terdapat 65 sekatan dilakukan, manakala 176 sekatan berlaku sepanjang lapan tahun lalu, termasuk larangan selama enam bulan pada tahun 2016.
Beberapa bulan lalu, Sudan menyekat akses ke media sosial bagi mengelakkan perusuh daripada membentuk gerakan; dan Chad menyekat akses ke media sosial bagi membungkam suara-suara penentangan terhadap rancangan presidennya untuk kekal berkuasa sehingga 2033.
Tahun lalu, 25 buah kerajaan telah menyekat akses internet. Di seluruh dunia, sekatan seumpama itu meningkat sebanyak 188 pada tahun lalu, peningkatan dari 75 pada tahun 2016.
Di seluruh dunia, pemerintah mendapat suatu idea baharu - iaitu untuk menutup internet - pun begitu, idea seperti ini tidak selalunya berkesan dan mungkin akan mendatangkan masalah yang lebih teruk.
Menutup akses internet sudah tentunya akan menguntungkan para autokrat
Mereka boleh menggunakan sekatan seumpama itu untuk menapis pandangan dan berita yang tidak disenangi mereka, menyekat pandangan ahli politik lawan, menghalang aktivis daripada berkumpul, dan menyekat perbincangan mengenai kepincangan kerajaan. Sebagai contoh, selepas pengundi membuang undi mereka pada tahun lalu dalam sebuah pilihan raya yang secara meluas dilihat sebagai kotor, kerajaan Republik Demokratik Congo menyekat semua akses internet selama hampir tiga minggu atas alasan untuk mengelakkan “rusuhan”.
Walapun dalam sebuah negara yang berdemokratik, pendekatan sekatan seumpama itu tampak memikat. Ketika puak pengganas membunuh lebih 250 orang di Sri Lanka pada April, pihak berkuasa negara tersebut telah menutup akses ke pelbagai perkhidmatan media sosial selama lebih seminggu. Tindakan itu mungkin dilihat wajar ketika itu kerana aplikasi media sosial boleh mempercepatkan penyebaran maklumat tidak benar, dan mencetuskan lebih banyak keganasan.
Masalahnya, tidak ada sebarang bukti keberkesanan sekatan seumpama itu. Sekatan-sekatan ini tidak meredakan kemarahan yang berpotensi melahirkan perbuatan keganasan, dan pihak pencetus kekacauan akan mencuba pelbagai cara untuk memintas sekatan tersebut dengan menggunakan sebagai contoh VPN (rangkaian persendirian maya) atau teknologi yang lain - atau menggunakan cara lama iaitu dengan penyebaran khabar angin.
Malaysia tidak wajar mengikut tindakan-tindakan negara yang menyekat akses internet, tetapi kita perlu mengambil teladan daripada negara-negara lain dalam menangani penyalahgunaan internet yang membolehkan kumpulan ekstremis mencetuskan ketakutan, kebencian dan tidak toleransi menerusi hantaran fitnah dan mengapi-apikan di Internet bagi memusnahkan fabrik masyarakat yang berbilang latar belakang.
Kita mesti menyedarkan rakyat Malaysia tentang kemunculan berita tidak benar dan ucapan-ucapan kebencian yang semakin menjadi-jadi di media sosial sejak minggu lalu, yang dilihat sengaja dimainkan semata-mata untuk mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama di negara ini.
Setiausaha politik saya, Syahredzan Johan telah membangkitkan beberapa insiden, di mana bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik, yang telah dimanipulasi untuk mewujudkan persepsi bahawa bendera negara telah dicemari.
Saya sendiri telah lama dimomokkan oleh sesetengah ekstremis Melayu kononnya mahu menghapuskan hak dan kepentingan orang Melayu di Malaysia, sementara pada masa yang saya, saya dimomokkan oleh ekstrimis bukan Islam kononnya saya mahu menggadaikan hak dan kepentingan orang Cina dan India di Malaysia.
Pada Rabu lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah menyampaikan titah ucapan pada waktu yang sangat sempurna di Dialog Ketamadunan Malaysia-China yang kedua berkenaan dengan Islam dan Konfiusianisme semalam yang diadakan sempena ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik Malaysia-China
Malaysia adalah satu tempat pertembungan empat tamadun besar dunia — Islam, Cina, India, dan Barat — dan merupakan satu cabaran kepada semua rakyat Malaysia untuk memanfaatkan perkara ini dalam membina sebuah negara yang hebat dan dunia yang lebih baik.
Keyakinan Sultan Nazrin terhadap satu Malaysia yang berbilang kaum sebagai satu tempat untuk dialog di antara pelbagai agama dan kepercayaan sepatutnya dicontohi oleh rakyat Malaysia bagi membolehkan kita semua memainkan peranan yang lebih besar di pentas antarabangsa dalam menggalakkan kesefahaman, toleransi, dan keharmonian ketika kebencian dan konflik mula menunjukkan dirinya di serata dunia.
Sultan Nazrin telah merujuk kepada inisiatif Perikatan Tamadun (UNAOC) yang ditubuhkan 14 tahun yang lalu dengan sumbangan bersama daripada Sepanyol dan Turki dengan tujuan untuk menggalakkan dialog antara budaya dan agama sebagai alat untuk mencapai kepelbagaian, keterangkuman, dan toleransi berasaskan prinsip saling menghormati.
Saya sentiasa percaya bahawa Malaysia yang terdiri daripada komuniti yang datang daripada pelbagai latar belakang kaum, agama, dan budaya sebagai tempat pertembungan empat tamadun besar, sesuai untuk memainkan peranan utama dalam inisiatif UNAOC ini.
Saya percaya inisiatif UNAOC ini, sama ada di peringkat domestik dan antarabangsa, untuk menggalakkan kesefahaman, toleransi, dan saling hormat menghormati di antara pelbagai kaum etnik, agama, dan budaya, adalah penawar terbaik kepada kebangkitan sentimen kebencian, ketakutan dan tidak toleransi yang semakin menjadi-jadi seiring dengan penyalahgunaan media sosial di mana-mana di seluruh dunia.