Seruan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mengatasi puak pemisah dan perpecahan yang mahu mengganggu-gugat keharmonian Malaysia dan bersatu padu membina sebuah Malaysia Baharu yang bertaraf antarabangsa dengan ciri-ciri perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti
Dua minggu lagi kita akan meraikan Hari Kebangsaan ke-62 pada tanggal 31 Ogos dan sebulan lagi kita akan merayakan pula Hari Malaysia ke-56 pada 16 September.
Dengan itu, mari kita mulakan Bulan Malaysia Baharu bermula esok sehingga 16 September, bagi mengatasi puak pemisah dan perpecahan yang mahu mengganggu-gugat keharmonian Malaysia dan bersatu padu membina sebuah Malaysia Baharu yang bertaraf antarabangsa dengan ciri-ciri perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Jika kita lakukan ini, Bulan Malaysia Baharu 2019 akan menjadi sebuah lembaran penting dalam usaha kita untuk membina Malaysia Baharu, yang bertitik awal daripada kemenangan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei, 2018.
Seperti yang sering saya ulangi, misi nasional ini akan mengambil tempoh lebih dari satu kitaran pilihan raya untuk dicapai, kerana Malaysia Baharu tidak mampu terbina dalam tempoh yang singkat.
Rakyat Malaysia perlu mengambil alih misi yang besar ini untuk membina Malaysia Baru yang bercirikan perpaduan, kebebasan, keadilan, kecemerlangan dan integriti demi melonjakkan nama Malaysia sebagai sebuah negara bertaraf dunia, berdasarkan lima janji utama Pakatan Harapan dalam Manifesto PRU14, iaitu:
- Meringankan beban rakyat;
- Reformasi institusi dan politik;
- Menjana pembangunan yang mampan dan saksama;
- Pemulihan taraf Sabah dan Sarawak seperti mana dalam Perjanjian Malaysia 1963, dan;
- Mencipta Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan dipandang tinggi di mata dunia.
Ada yang tidak menyangka bahawa kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya - gabungan empat parti dengan perbezaan sejarah, ideologi dan hala tuju - mampu bertahan sehingga kini, namun, terbukti mereka salah - gabungan ini tetap teguh dan bersatu untuk memandu negara, meskipun menghadapi pelbagai cabaran, ke arah sebuah Malaysia Baharu, iaitu sebuah misi nasional yang akan mengambil tempoh lebih dari satu kitaran pilihan raya umum untuk dicapai.
Kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya mampu mengharungi pelbagai cabaran sejak 15 bulan lalu dalam misinya untuk membina sebuah Malaysia Baharu. Namun ini hanya ujian kecil, kerana ada ujian yang lebih besar iaitu untuk kekal tabah, bersatu dan setia terhadap misi nasional untuk membina sebuah Malaysia Baharu dengan memenangi bukan sahaja PRU14, malah PRU15 bagi memastikan tugas nasional itu selesai dengan jayanya.
Kerajaan Pakatan Harapan tidak boleh tersasar daripada objektif untuk membina sebuah negara bertaraf dunia yang bercirikan perpaduan, keamanan, keadilan, kecemerlangan dan integriti.
Bolehkan Malaysia, sebelum PRU16, mencapai objektif tersebut?
Ini impian saya dan saya mencabar seluruh rakyat Malaysia untuk memasang impian yang lebih luhur untuk Malaysia, dan apa yang lebih penting, menyerahkan segala jiwa dan raga untuk mencapai impian itu.
Pemimpin politik yang mempunyai impian yang luhur untuk Malaysia harus bersedia untuk berkorban, meskipun dipandang serong kerana melakukan perkara yang tepat, adil dan murni.
Saya dimomokkan oleh sesetengah orang Melayu sebagai “Syaitan Besar” yang kononnya mahu menghapuskan hak dan masa depan orang Melayu, dan dituduh kononnya memegang kuasa yang begitu besar sehinggakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya tunduk sebagai pak turut saya.
Tetapi, dalam masa yang sama, saya dimomokkan oleh sesetengah orang bukan Melayu bahawa kononnya saya mengkhinati orang Cina dan hak orang India malah kononnya menjadi “anjing suruhan” Mahathir!
Bagaimana mungkin seorang individu boleh memegang watak yang begitu bercanggah? Mungkin ini sesuatu yang tidak pernah difikirkan mereka yang berterusan menyebarkan penipuan, pembohongan, berita palsu, ketakutan dan kebencian, melaga-lagakan kaum dengan kaum, agama dengan agama.
Serangan demi serangan itu tidak mempunyai asas, tidak kira dari sesetengah orang Melayu ataupun bukan Melayu.
Sekarang, saya dituduh pula sebagai hipokrit dan cauvinis gara-gara mengkritik pendakwah Zakir Naik yang menyalahgunakan kebaikan yang diberikan Malaysia dengan menyasarkan serangan terhadap rakyat Malaysia berbangsa Cina dengan melabel mereka sebagai “tetamu lama”, selepas mempersoalkan kesetiaan masyarakat India di Malaysia.
Saya dituduh kononnya hanya mengkritik Zakir Naik selepas beliau melabel orang Cina di Malaysia sebagai “pendatang” dan kononnya saya tidak buka mulut sewaktu rakan India kita menjadi sasarannya.
Penuduh tidak bertanggungjawab seperti ini malas menyemak fakta, saya sebelum ini pernah mengkritik Zakir Naik atas serangan tidak berasasnya terhadap masyarakat India di negara ini, atau lebih awal dari itu, saya telah menyatakan sokongan terhadap surat terbuka yang dikarang Anas Zubedy yang antara lain memuatkan empat sebab mengapa Zakir Naik perlu meninggalkan negara ini dengan rela hati.
Pelbagai tuduhan juga direka dengan membangkitkan persoalan mengapa isu Zakir Naik hanya dibiarkan untuk ditangani oleh dua “Menteri India”, Gobind Singh dan M. Kulasegaran, sedangkan ia tidak benar sama sekali.
Pertamanya, Gobind dan Kula dalam Kabinet bukan sebagai “Menteri India” tetapi Menteri Malaysia.
Kedua, isu Zakir Naik bukan hanya kebimbangan Gobind dan Kula, sebaliknya turut menjadi kebimbangan enam Menteri DAP, yang dipimpin Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, untuk dibincangkan dan dipersetujui sebelum dibawa ke Kabinet, semalam.
Ketiga, Kabinet tidak memutuskan kebimbangannya hanya kerana serangan Zakir terhadap orang Cina, kerana laporan Malaysiakini berhubung serangan Zakir itu hanya diterbitkan selepas mesyuarat Kabinet.
Saya memuji Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman atas contoh baik yang ditunjukkan beliau sebagai seorang rakyat Malaysia Baharu, dengan menyokong gesaan supaya Zakir Naik diusir atas kenyataannya terhadap orang India dan Cina di negara ini.
Seperti yang ditegaskan Syed Saddiq, orang Cina di negara ini bukan “tetamu” tetapi warganegara Malaysia yang cintakan negara dan kesetiaan mereka terhadap tanah air ini tidak harus dipersoalkan.
Saya juga memuji kenyataan Syed Saddiq: “Saya tahu ramai orang Cina dan India yang sanggup mati demi negara yang mereka cintai ini. Tidak masuk akal untuk menganggap rakyat Malaysia itu adalah tetamu saya. Mereka adalah keluarga saya. Cukup-cukuplah.”
Enam menteri dan tujuh timbalan menteri DAP berusaha untuk menangani pelbagai isu yang berbangkit di negara ini, sama ada tentang Zakir Naik, Jawi atau Lynas.
Menteri dan timbalan menteri DAP memegang jawatan bukan kerana mahukan habuan atau keistimewaan tetapi kerana ia menyediakan mereka satu peluang untuk memenuhi matlamat nasional Malaysia Baharu.
Saya gembira dan bangga kerana menteri dan timbalan menteri DAP memperlihatkan kebolehan mereka dengan baik, dan mereka tidak pernah alpa bahawa mereka memegang jawatan tersebut semata-mata demi berkhidmat untuk rakyat, bukan untuk diri mereka sendiri.