Kita semua haruslah membina suatu keyakinan diri yang baharu, satu semangat Malaysia Boleh, untuk kita melawan segala momokan dan ancaman yang dibuat-buat bagi mencapai era kegemilangan untuk Malaysia
Saya telah mengadakan perjumpaan dengan rakyat dan pelajar Malaysia semasa lawatan saya ke Salem semalam.
Daripada negara orang, saya telah mengikuti perkembangan semasa di tanah air, termasuklah kontroversi mengenai pengenalan seni khat jawi kepada pelajar darjah empat melalui kurikulum pendidikan Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
Beberapa persoalan telah timbul dan telahpun dijawab berkenaan dengan isu ini, antaranya:
- Adakah menjadi kewajipan kepada pelajar-pelajar di SJK Cina dan Tamil untuk mempelajari tulisan jawi di bawah rancangan baru ini? Tidak, kerana Kementerian Pelajaran tidak berhasrat untuk melaksanakan ujian atau peperiksaan untuk seni khat ini.
- Bilakah rancangan untuk memperkenalkan seni khat jawi ini diputuskan? Pada tahun 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional.
- Adakah kementerian berhasrat untuk mendengar pendapat-pendapat lain mengenai perkara ini? Pihak Kementerian Pelajaran akan meneruskan pelaksanaan rancangan ini, tetapi pandangan daripada pelbagai pihak akan terus didengari untuk memastikan terdapatnya pertimbangan yang adil.
Mungkin soalan yang lebih penting untuk ditanya adalah: Adakah seseorang yang belajar tulisan jawi itu mengkhianati bahasa dan budaya orang Cina?
Pada saya, jawapannya adalah tidak.
Semasa saya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1969, saya telah belajar tulisan jawi dengan sendiri di dalam tahanan. Perkara ini tidak mengurangkan identiti saya sebagai seorang Cina, malah ia telah membantu saya untuk lebih memahami erti menjadi seorang rakyat Malaysia.
Apakah bentuk pembinaan negara yang sesuai dalam konteks sebuah negara yang berbagai bahasa, kaum, budaya, dan agama -- asimilasi atau integrasi?
Pada tahun 1994, Dr Mahathir dalam tahun ke-13 beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia, telah mengumumkan bahawa dasar asimilasi kerajaan Barisan Nasional yang diamalkan sebelum ini tidak bersesuaian dengan konteks negara berbilang kaum seperti di Malaysia dan integrasi budaya seharusnya menjadi asas pembinaan negara.
Tetapi, selain daripada asimilasi dan integrasi, terdapat satu cara yang ketiga yang lain, di mana komuniti-komuniti ini dibiarkan untuk hidup secara berasingan di bawah satu sistem politik yang sama.
Di mana orang Cina hidup di dalam dunianya sendiri, tanpa berinteraksi langsung dengan orang daripada kaum yang lain, dan begitu juga dengan orang Melayu dan India.
Saya tidak berjuang untuk sebuah Malaysia seperti ini.
Malaysia yang saya mahu lihat adalah satu negara di mana orang Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban keluar daripada kepompong masing-masing untuk berinteraksi dengan satu sama lain, untuk belajar, menghargai, dan menerima hakikat yang Malaysia ini adalah satu negara yang berbilang kaum -- di mana seorang Cina tidak dianggap mengkhianati kaum dan budayanya kerana seni halus jawi yang dipelajarinya, seorang Melayu tidak dianggap mengkhianati kaumnya kerana seni tarian Bharatanayam-nya, ataupun seorang India dianggap pengkhianat bangsa kerana kemahiran seni kaligrafi Cinanya.
Dalam kata lain, seorang rakyat Malaysia Cina bukanlah 100 peratus Cina, tetapi mempunyai dimensi tambahan yang boleh digelarkan sebagai dimensi tambahan Malaysianya, begitu juga bagi seorang Melayu dan India.
Seperti yang saya katakan di Chennai semalam, satu soalan yang penting untuk semua rakyat Malaysia: Siapakah “mereka” di dalam konteks Malaysia?
Adakah “mereka” ini orang Cina dan India kepada seorang Melayu; orang Melayu dan India kepada seorang Cina: dan orang Melayu dan Cina kepada seorang India?
Jika inilah jawapannya, jelas sekali kita belum berjaya dalam membina satu identiti negara, kerana “mereka” itu sepatutnya bukan seorang rakyat Malaysia, biarpun sama ada daripada Indonesia, China, India, atau mana-mana pun pelusuk dunia sekalipun.
Menteri Pendidikan, Maszlee Malik telah mengatakan yang pengenalan seni khat jawi untuk pelajar tahun 4 bukanlah bertujuan untuk mengIslamkan para pelajar di SJK Cina dan Tamil.
Beliau berkata, kita tidak boleh melihat pengenalan jawi sebagai satu bentuk asimilasi budaya kerana usaha ini bertujuan untuk membolehkan para pelajar untuk mengenali budaya dan warisan seni di negara ini.
Sebagai contoh, terdapat tulisan jawi di mata wang ringgit Malaysia, di Jata Negara, dan jata-jata negeri.
Saya mengaku, sebelum ini saya tidak menyedari kewujudan tulisan jawi di mata wang ringgit ini. Selepas menyedari perkara ini, saya melihat kepada mata wang Rupee India dan menyedari terdapatnya bukan sahaja skrip rasmi tulisan Hindi, tetapi juga bahasa-bahasa daerah seperti Tamil, Telugu, Marathi, Urdu, Malayanam, Gujarati, Bengali, Punjadi, dan Kannada.
Pada masa yang sama, saya setuju dengan pandangan yang menekankan kepentingan reformasi pendidikan bagi membolehkan para pelajar daripada Malaysia untuk mendapatkan keputusan atas purata dan dikelaskan dengan satu pertiga teratas dunia.
Malaysia kelihatan seperti terperangkap di dalam satu situasi yang luar biasa yang jika tidak ditangani, hanya akan membawa kita semua ke kancah perpecahan, kemunduran, dan kegagalan untuk memanfaatkan nilai dan kualiti terbaik daripada pelbagai tamadun yang bertumpu di Malaysia untuk membina sebuah bangsa Malaysia yang dihormati di mata dunia.
Situasi ini adalah apabila di mana orang Melayu, Cina, India, Kadazan, dan Iban berasa terancam dengan satu sama lain.
Semua komuniti berasa seakan-akan budayanya akan dihapuskan.
Tetapi siapakah yang menimbulkan perasaan ini?
Bukan sahaja pelbagai kaum ini merasakan ancaman terhadap kewujudannya, Islam juga berasakan terancam dan pada masa yang sama agama bukan Islam juga berasa terancam.
Oleh itu, rakyat Malaysia mestilah membangunkan satu kesedaran diri baharu untuk mencapai cita-cita kita semua, satu semangat Malaysia Boleh, untuk kita melawan segala momokan dan ancaman yang dibuat-buat bagi membolehkan kita dan negara ini maju dalam semua bidang yang diceburi manusia dan mencapai satu era kegemilangan Malaysia.