Mengapa peguam Jho Low mengancam penjual buku di Australia, UK dan AS dengan tindakan undang-undang berhubung penjualan “Billion Dollar Whale” sedangkan kedua-dua Najib dan Jho Low tidak mengambil tindakan serupa untuk menghentikan penjualan buku tersebut dan 'The Sarawak Report' oleh Clare di Malaysia?

Akhbar yang berpangkalan di Australia, The Australian, hari ini menerbitkan satu laporan bertajuk "Law threat to harpoon Billion Dollar Whale" yang melaporkan mengenai usaha Jho Low menerusi peguamnnya untuk menghentikan penjualan buku tentang 1MDB, "Billion Dollar Whale" hasil tulisan wartawan Wall Street Journal, Tom Wright dan Bradley Hope.

Dilaporkan bahawa peguam Low, Mark O’Brien Legal menulis kepada penjual buku di Australia bagi mengancam untuk menyaman mereka, kecuali mereka bersetuju untuk tidak menjual buku berkenaan dan menurunkan sinopsis buku tersebut dari laman sesawang mereka.

The Australian memetik pemilik bersama kedai buku Pages and Pages yang terletak di Mosman dekat utara Sydney, Jon Page sebagai berkata beliau menerima dua pucuk surat daripada peguam Low tetapi menegaskan akan terus menjual buku tersebut selepas mendapat jaminan daripada penerbit.

Terdahulu, dilaporkan bahawa peguam Loh menghantar surat ancaman kepada kedai buku di seluruh dunia sebagai usaha untuk menghalang pengedaran buku terbaharu mengenai skandal 1MDB.

The Guardian melaporkan bahawa tiada satu pun penerbit UK bersetuju untuk menerbitkan Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World kerana bimbang dikenakan tindakan di bawah undang-undang fitnah bertulis (libel laws).

Dilaporkan juga bahawa penerbit buku dari AS, Hachette berasa terganggu dengan ancaman terhadap penjual buku.

Keputusan untuk mengancam pengedar dan penjual buku tersebut dan bukannya penerbit dan penulisnya adalah cubaan untuk "memintas proses perundangan" menerusi undang-undang libel, dan berisiko menetapkan duluan yang akan menakut-nakutkan penjual buku.

Di Malaysia, tidak ada sebarang tindakan diambil oleh Jho Low atau Datuk Seri Najib Razak dengan ugutan untuk memulakan tindakan undang-undang bagi menghentikan jualan “Billion Dollar Whale” atau “The Sarawak Report – the Inside Story of the 1MDB Expose” hasil tulisan Clare Rewcastle Brown.

Clare menggelar Najib sebagai seorang "pencuri terbesar" dalam buku karangannya itu.

Rakyat Malaysia berhak untuk bertanya kepada kedua-dua mereka: Mengapa peguam Jho Low mengancam penjual buku di Australia, UK dan AS dengan tindakan undang-undang berhubung penjualan “Billion Dollar Whale” sedangkan kedua-dua Najib dan Jho Low tidak mengambil tindakan serupa untuk menghentikan penjualan buku tersebut dan "The Sarawak Report" oleh Clare di Malaysia?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri