Sokongan terbuka PAS kepada MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menguatkan lagi gesaan kepada pengundi Balakong untuk keluar beramai-ramai membuang undi bagi memastikan “Satu Undi menolak MCA, Umno dan PAS” pada 8 September
Sokongan terbuka PAS kepada MCA pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong menguatkan lagi gesaan saya buat pengundi Balakong pada malam Ahad lalu untuk keluar mengundi beramai-ramai pada Sabtu 8 September 2018 bagi melakar sejarah dan menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan menggunakan undi mereka untuk menolak politik tidak bertanggungjawab dan oportunis oleh MCA, Umno dan PAS.
Malaysia baru sahaja meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu, dan ia merupakan sebuah sambutan yang amat bermakna dan berbeza dengan enam dekad lalu.
Rakyat Malaysia yang tidak peduli atau tidak kesah dengan Hari Kemerdekaan sebelum ini kelihatan begitu teruja dengan kelahiran Malaysia Baharu, tanah tumpah di mana rakyat Malaysia boleh berbangga menjadi rakyat Malaysia.
Walaupun Pakatan Harapan secara aman dan demokratik menggantikan Umno/BN di peringkat Kerajaan Persekutuan, pemimpin dan pengkomplot Umno/BN sedaya upaya ingin menjatuhkan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 berlangsung pada 2023, atau lebih awal lagi, mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang.
Kini pemimpin PAS, yang menyatakan sokongnya kepada calon MCA untuk PRK Balakong, menyertai pemimpin dan pengkomplot Umno/BN dalam konspirasi tidak bertanggungjawab dan oportunis untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Di satu sudut, pemimpin MCA menuduh DAP kononnya mengabaikan hak dan kepentingan kaum Cina di Malaysia, sementara pemimpin Umno dan PAS bersubahat menyerang DAP dan Pakatan Harapan kononnya mengkhianati kepentingan dan hak kaum Melayu.
Bagaimana objektif yang bercanggah dan bertentangan itu dapat dicapai direalisasikan pada masa yang sama, tidak pernah sama sekali dijelaskan oleh pemimpin MCA/Umno/PAS.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, pada kempen MCA di PRK Balakong semalam, menyerang Setiausaha Agung DAP merangkap Menteri Kewangan Lim Guan Eng kerana menganggap dirinya sebagai seorang Menteri Kewangan untuk semua rakyat Malaysia dan bukan hanya mewakili satu kumpulan etnik sahaja.
Pemimpin MCA, bagaimanapun, tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang pada Sabtu lalu menganjurkan Himpunan Melayu Bangkit di Pasir Salak di mana bekas Timbalan Menteri Umno dan Ahli Parlimen Pasir Salah Datuk Tajuddin Abdul Rahmah membuat ucapan tidak masuk akal, provokatif dan mengapi-apikan dengan membuat tuduhan bahawa kononnya orang Melayu kehilangan kuasa selepas PRU14 dan kononnya kerajaan telah digantikan dengan pihak yang dikawal oleh bukan Melayu.
Tuduhan bahawa kaum Melayu akan hilang kuasa politik menyerupai dakwaan MCA bahawa DAP dan Pakatan Harapan kononnya mengabaikan hak kaum Cina di Malaysia.
Kini, MCA mengorak langkah dengan bekerjasama dengan PAS untuk memusnahkan DAP dan Pakatan Harapan.
Saya menyeru pengundi di Balakong untuk membuang undi mereka pada 8 September ini dengan objektif serampang tiga - Satu Undi, Tiga Mesej - untuk menolak MCA, Umno dan PAS.
Kita memerlukan agen semak dan imbang dalam sistem demokrasi yang matang, tetapi MCA tidak boleh memainkan peranan itu, melainkan jika parti itu benar-benar bersedia untuk mengakui kesalahan lalu, khususnya dalam membantu dan bersubahat dengan Najib berhubung jenayah dan pengkhianat terhadap negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.
Kini MCA mendakwa bahawa kononnya hak dan kepentingan kaum Cina akan diabaikan oleh DAP dan Pakatan Harapan!
Pengundi Balakong tidak harus mengundi Umno yang mendakap ‘dasar bumi hangus’ dan bagi menghentikan serta-merta politik kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan yang jahat dan toksik.
Mesej ketiga adalah untuk menolak jalur ekstrimis yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang meminta ahli PAS supaya mengundi calon MCA.
Benarkan pengundi Balakong untuk membuat keputusan mereka dengan membuang undi demi masa depan Malaysia dan menolak komplot jentera Umno/BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan mengembalikan rejim Umno/BN yang korup dan menyalah guna kuasa.