Seruan agar 80% pengundi Balakong keluar mengundi pada pilihanraya kecil 8 September menyokong Malaysia Baharu dan menolak rancangan UMNO/BN untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan bagi mengembalikan rejim rasuah dan salahguna kuasa UMNO-BN
DAP dan Pakatan Harapan mempertaruhkan Wong Siew Ki sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong bagi meneruskan prestasi cemerlang mendiang Eddie Ng sebagai ADUN Balakong.
Walaupun pengundi Balakong tidak mengharapkan prestasi Wong sama seperti Ng yang menunjukkan contoh baik sebagai wakil rakyat, sesetengah daripada pengundi berkata mereka sudah cukup berpuas hati sekiranya Wong boleh mencapai tahap 60% daripada prestasi yang ditunjukkan Ng. Kerja keras yang dilakukan Wong sepanjang kempen PRK dengan menyantuni seberapa banyak penduduk di kawasan tersebut adalah bukti jelas bahawa Wong mempunyai keazaman yang kuat untuk melakukan yang terbaik dan mengatasi 60% jangkaan pengundi.
Pada PRK DUN Sungai Kandis, peratusan keluar mengundi adalah di bawah paras 50% walaupun pada Pilihan Raya Umum (PRU) 9 Mei, jumlah pemilih yang keluar mengundi di Sungai Kandis adalah lebih tinggi iaitu 86%. Pada PRU lalu, jumlah pemilih yang keluar mengundi di Balakong adalah lebih tinggi iaitu 87%.
Wong merayu kepada pengundi di Balakong supaya keluar mengundi pada 8 September supaya kadar peratusan keluar mengundi sebanyak 60% dapat dicapai. Bagi saya, jumlah ini tidak cukup tinggi. Oleh itu, saya mahu menyeru pengundi di Balakong agar melakar sejarah dengan keluar mengundi beramai-ramai, sekali gus mencatatkan kadar peratusan keluar mengundi melebihi 80%. PRK Balakong bukan sekadar medan untuk memilih seorang ADUN, sebaliknya mempunyai kepentingan yang lebih besar di peringkat nasional.
Malaysia baru sahaja meraikan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos lalu, dan ia adalah sebuah sambutan yang amat bermakna dan berbeza dengan enam dekad lalu.
Rakyat Malaysia yang tidak peduli atau tidak hirau dengan Hari Kemerdekaan sebelum ini kelihatan begitu teruja dengan kelahiran Malaysia Baharu, tanah tumpah di mana rakyat Malaysia boleh berbangga menjadi rakyat Malaysia.
Walaupun Pakatan Harapan secara aman dan demokratik menggantikan Umno/BN di peringkat Kerajaan Persekutuan, pemimpin dan pengkomplot Umno/BN sedaya upaya ingin menjatuhkan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2023, atau lebih awal lagi, mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ini terbukti dengan penganjuran Himpunan Melayu Bangkit yang dikelola oleh Umno Pasir Salak semalam, yang menyaksikan bekas Timbalan Menteri Umno dan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Tajuddin Abdul Rahman menghamburkan kenyataan tidak masuk akal, provokatif dan mengapi-apikan dengan membuat tuduhan bahawa kononnya orang Melayu kehilangan kuasa selepas PRU14 dan kononnya kerajaan telah digantikan dengan pihak yang dikawal oleh bukan Melayu.
Ini adalah kenyataan biasa pemimpin Umno, yang berakar dari bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, yang dilaung-laungkan sebelum PRU14.
Adakah kini saya sudah menjadi Perdana Menteri Malaysia, seperti yang dituduh Najib dan pemimpin Umno sebelum PRU14?
Adakah Islam sudah digantikan dengan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia, seperti yang didakyah propaganda yang dimainkan pemimpin Umno/BN, yang mendakwa kononnya DAP mempunyai agenda Kristian selepas Pakatan Harapan memiliki kuasa - satu tuduhan yang mengarut kerana saya sendiri bukan penganut agama Kristian.
Adakah Malaysia sudah menjadi negara Republik, seperti yang sering didakwa pemimpin Umno bahawa kononnya DAP mahu menghapuskan institusi Raja-raja Melayu?
Dakwaan bahawa kononnya orang Melayu akan hilang kuasa politik, Islam akan berada di kedudukan bahaya serta institusi Raja-raja Melayu akan dimansuhkan adalah pembohongan, ia bukan sahaja menghina malah tindakan jenayah yang mahu memusnahkan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum. DAP telah berkali-kali menegaskan dukungannya terhadap perkara asas Perlembagaan Malaysia.
Pemimpin Umno seperti Tajuddin menganggap DAP sebagai musuh, dan beliau benar dalam hal ini, sama benar seperti Tajuddin adalah musuh kepada sebuah Malaysia yang bersatu padu, harmoni, demokratik, adil, progresif dan makmur, seperti kata-kata Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman, yang berkata ia mampu menjadi “suar cahaya dalam dunia yang sukar dan terganggu”.
Umno menjalankan Kursus Asas Pembangkang Berkesan - Kem Ilmu di Janda Baik selama tiga hari merangkumi topik termasuk “Simulasi Demonstrasi”, “Mind-setting sebagai Pembangkang” and “Simulasi Laporan Polis”.
Demonstrasi olok-olok di Janda Baik ini menjadi tular di media sosial, sekali gus menjadi bukti bahawa pemimpin Umno/BN mahu menggunakan politik kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan yang jahat dan toksik, mirip dasar bumi hangus (Strategi ketenteraan dengan melakukan pemusnahan segala yang mungkin berguna kepada musuh).
Saya menyeru pengundi di Balakong untuk membuang undi mereka pada 8 September ini dengan objektif serampang tiga mata - Satu Undi, Tiga Mesej - untuk menolak MCA, Umno dan PAS.
Kita memerlukan agen semak dan imbang dalam sistem demokrasi yang matang, tetapi MCA tidak boleh memainkan peranan itu, melainkan jika parti itu benar-benar bersedia untuk mengakui kesalahan lalu, khususnya dalam membantu dan bersubahat dengan Najib berhubung jenayah dan pengkhianat terhadap negara sehingga menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.
Pengundi Balakong tidak harus mengundi Umno yang mendakap ‘dasar bumi hangus’ dan bagi menghentikan serta-merta politik kaum, agama, kebencian, ketakutan dan pembohongan yang jahat dan toksik.
Mesej ketiga adalah untuk menolak jalur ekstrimis yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang meminta ahli PAS supaya mengundi calon MCA.
Benarkan pengundi Balakong untuk membuat keputusan mereka menerusi undi bagi masa depan Malaysia dan menolak komplot jentera Umno/BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan dan mengembalikan rejim Umno/BN yang korup dan menyalah guna kuasa.