Tiga pemandangan luar biasa semasa Dr Mahathir menyampaikan ucapan pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen semalam
Terdapat tiga pemandangan luar biasa semasa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 di Parlimen semalam.
Pertama, kerusi kosong di bangku pembangkang yang terletak bertentangan dengan kerusi Perdana Menteri. Kerusi itu kosong kerana Ketua Pembangkang telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dihadapkan ke mahkamah hari ini atas 45 tuduhan rasuah, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Kedua, sebuah lagi kerusi pembangkang yang terletak bersebelahan dengan kerusi Ketua Pembangkang, yang diduduki oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sepanjang Dr Mahathir membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11, Najib tidak langsung mengangkat kepalanya untuk melihat Perdana Menteri, apatah lagi bertentang mata, hanya menunduk ke bawah.
Ketiga, ucapan Dr Mahathir disambut dengan gema ketukan meja oleh majoriti Anggota Parlimen sebagai tanda penghargaan - sebaliknya di bangku pembangkang, perasaan muram kelihatan jelas terpancar di wajah bekas Menteri dan Anggota Parlimen Umno/Barisan Nasional, termasuk Anggota Parlimen tunggal MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, yang kelihatan sangat selesa dalam 'dakapan' pemimpin Umno.
Apakah yang membuatkan pemimpin Umno/BN begitu tidak selesa dan diselubungi suram?
Ia disebabkan oleh penutup ucapan Dr Mahathir, yang berbunyi:
"88. Apa yang saya bentangkan adalah untuk rakyat. Untuk semua rakyat dari Perlis hingga Sabah. Untuk orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut dan Orang Asli dan etnik-etnik lain yang semua bernaung di bawah langit Malaysia.
"89. Kita mahu Malaysia yang bersatu padu. Kita mahu rakyat Malaysia berjaya dan menikmati kekayaan negara. Saya mengajak semua rakyat Malaysia menggalas tanggungjawab ini. Jika semua yang terkandung dalam dokumen ini dilaksanakan, saya yakin Malaysia akan mengaum kembali sebagai Harimau Asia. Imej Malaysia akan bertukar dari sebuah negara kleptokrat kepada sebuah negara demokrasi tulen dengan kerajaan yang bersih, luhur dan berintegriti. Rakyat Malaysia di manamana tempat di seluruh pelusuk dunia boleh memperkenalkan dirinya dengan bangga: Saya rakyat Malaysia.”
Adakah pemimpin Umno/BN, termasuk Najib, Ismail Sabry Yaacob, Mahdzir Khalid, Annuar Musa, Idris Yusof, Noh Omar, Shahidan Kassim dan Wee Ka Siong menentang transformasi Malaysia daripada kleptokrasi global kepada model demokrasi dan pembinaan Malaysia Baru di mana rakyat Malaysia bangga mengaku diri mereka sebagai rakyat Malaysia?
Adakah mereka tidak berpuas hati dengan matlamat untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan semua kumpulan etnik di Malaysia dan sekali lagi mengangkat Malaysia sebagai Harimau Asia?