Ronald Kiandee harus menarik diri daripada proses siasatan semula yang dijalankan PAC ke atas skandal 1MDB kerana beliau adalah Timbalan Speaker bagi persidangan Parlimen ke-13 yang menolak soalan dan perbahasan berhubung skandal 1MDB

Seperti yang dikatakan oleh calon Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim, tentang kepulangannya ke Parlimen, Tun Dr Mahathir Mohamad akan terus memberi tumpuan kepada tugas-tugas Perdana Menteri sementara beliau fokus kepada pembaharuan Parlimen.

Tiada keraguan lagi bahawa pembaharuan Parlimen di Malaysia sememangnya telah lama tertangguh.

Parlimen ke-13 yang lalu menjadi jenaka antarabangsa dan pentas yang penuh kepura-puraan apabila Ahli Parlimen tidak dibenarkan mengemukakan soalan atau membahaskan skandal 1MDB, sedangkan seluruh dunia menyedari jenayah besar dan keburukan moral skandal tersebut.

Malah, saya telah digantung selama enam bulan sebanyak dua kali pada persidangan Parlimen ke-13 yang lalu, hanya kerana ingin mendapatkan kebenaran mengenai skandal 1MDB.

Pada hari-hari terakhir persidangan Parlimen sebelum ini, saya menjadi "hantu" Parlimen ekoran tindakan Speaker dan kedua-dua Timbalan Speaker yang enggan "melihat" saya walaupun saya secara fizikal berada di hadapan mereka di Dewan Rakyat!

Salah satu pembaharuan Parlimen yang dimulakan Pakatan Harapan pada Parlimen ke-14 ialah melantik Ahli Parlimen Pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Susulan itu, Ahli Parlimen Barisan Nasional, Ronald Kiandee, yang juga bekas Timbalan Speaker, dilantik sebagai Pengerusi PAC selepas Presiden UMNO merangkap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Zahid Hamidi menolak jawatan tersebut.

Sebelum persidangan Parlimen ditangguhkan pada Ogos, ia sebulat suara meluluskan usul yang mengarahkan PAC untuk "menjalankan siasatan semula secara terperinci berhubung pengubahan wang haram dan skandal membabitkan 1MDB dan syarikat-syarikat berkaitannya untuk memulihkan maruah Dewan Rakyat; dan semua maklumat yang berkaitan harus didedahkan kepada umum".

Kiandee harus menarik diri daripada proses siasatan semula yang dijalankan PAC ke atas skandal 1MDB kerana beliau adalah Timbalan Speaker bagi persidangan Parlimen ke-13 yang menolak soalan dan perbahasan berhubung skandal 1MDB, menjejaskan martabat Parlimen Malaysia dan negara, sekali gus menimbulkan persoalan tentang konflik kepentingan.

Kiandee boleh terus menjadi Pengerusi PAC tetapi untuk berlaku adil, beliau tidak harus terlibat dalam proses siasatan semula ke atas skandal 1MDB, dan membenarkan Pengerusi PAC Wong Kah Woh (Ipoh Timor) untuk mengetuai siasatan ke atas skandal 1MDB.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri