Soalan tambahan mengenai pendirian Hadi dan Ahli Parlimen PAS berhubung ICERD

Semalam, saya bertanya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tentang apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh beliau apabila beliau mengatakan bahawa semua umat Islam harus menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sedangkan Perjanjian itu telah diratifikasi oleh negara-negara yang mewakili 99% daripada 1.9 bilion umat Islam di dunia, termasuk negara-negara seperti Arab Saudi, Iran, Iraq, Mesir, Jordan, Yaman, Oman, Qatar, UAB, Algeria, Pakistan, Turki, Tunisia, Maghribi, Indonesia dan Bangladesh.

Sementara kita menunggu jawapan daripada Hadi untuk soalan semalam, bolehkah kiranya beliau turut menjelaskan persoalan mengapa 55 daripada 57 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) sudah meratifikasi ICERD, kecuali Malaysia dan Brunei. Adakah terdapat anggapan bahawa 99% daripada 1.9 bilion umat Islam, yang menetap di 55 daripada 57 negara OIC, telah terpesong dan bukan orang Islam seperti mana yang dimahukan Hadi?

Sekiranya ratifikasi ICERD bermaksud mengecam umat Islam untuk kehidupan yang tidak adil dan menindas, bolehkah Hadi jelaskan mengapa 48 dari 50 negara di mana umat Islam membentuk majoriti penduduk telah meratifkasi ICERD?

Ahli Parlimen UMNO dan PAS terus menimbulkan keraguan terhadap ICERD di Parlimen, sehingga mencipta hari yang paling hitam dalam sejarah 50 tahun Parlimen Malaysia pada Isnin lepas, apabila mereka menentang dan mengabaikan arahan Speaker dan menjerit dan berteriak dengan tidak henti-henti untuk menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy daripada menjawab dan menyampaikan ucapannya semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 - perkara yang pertama kali berlaku dalam sejarah setengah abad Parlimen Malaysia.

Saya mahu mengingatkan Ahli Parlimen Umno dan PAS yang tidak bertanggungjawab mengenai kata-kata pujangga Volataire: “Aku tidak bersetuju dengan apa yang kamu kata, tetapi aku akan pertahankan bermatian-matian hak kamu untuk bercakap tentangnya”! (I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right to say it”!)

Jika kita tidak menerima semangat Voltarian ini, maka kejadian hitam yang berlaku di Parlimen pada Isnin lalu akan menjadi lebih teruk seperti peristiwa pergaduhan dan serangan fizikal pada Speaker yang berlaku di Parlimen lain!

Adakah ini yang dimahukan oleh rakyat Malaysia?

Apa yang menarik minat rakyat Malaysia adalah mengapa Ahli Parlimen Umno dan PAS berganding bahu mengganggu Waytha dengan mengungkit semula sebuah video yang memaparkan kritikan keras terhadap kerajaan Barisan Nasional dan direkodkan lebih 10 tahun yang lalu.

Waytha berkata aktiviti aktivisme yang dilakukan beliau sepanjang sepuluh tahun lalu dikenali secara meluas di seluruh dunia, bahkan BN dan Umno telah mendekati beliau pada 2013 bagi mencari cara menangani isu yang membelenggu masyarakat India.

Waytha berkata kerajaan Umno dan seluruh masyarakat Malaysia menyedari sepenuhnya apa yang dilakukannya semasa tempoh lima tahun pengasingannya di United Kingdom, namun mereka tetap melantiknya sebagai timbalan menteri pada 2013.

Waytha dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri selepas BN memenangi Pilihan Raya Umum 2013. Beliau kemudiannya melepaskan jawatan tersebut pada tahun berikutnya.

Selepas beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen UMNO (beberapa daripada mereka adalah Menteri pada masa itu) dan Anggota Parlimen PAS termasuk Hadi mengungkit video yang dibuat Waytha sepuluh tahun lalu.

Bolehkah Ahli Parlimen UMNO dan PAS menjelaskan hipokrasi politik sedemikian?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri