Adakah pemikiran kepimpinan PAS yang diketuai Hadi begitu jumud sehinggakan mereka tuli dengan hujah, fakta dan kebenaran seperti yang ditunjukkan oleh penentangan PAS terhadap pilihan raya kerajaan tempatan dan sokongan yang dinyatakan mereka terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dalam kleptokrasi global.

Saya terkejut apabila membaca ucapan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di London di mana beliau memberitahu rakyat Malaysia di sana yang beliau menolak pilihan raya kerajaan tempatan kerana berpendapat ia harus bersifat inklusif supaya kawasan bandar tidak dikuasai oleh hanya suatu kaum sahaja.

Beliau berkata:

"Bila penduduk tertentu kuasai bandar, sudah tentulah bandar-bandar besar, seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang, Seremban, Johor Bahru semua dikuasai kaum Cina DAP.

"Kalau satu kaum saja yang menguasai akan timbul 13 Mei balik, kita mengalami peristiwa berdarah 13 Mei.”

Saya terkejut kerana tiga tahun lalu saya dan Hadi pernah bertukar pandangan berkenaan isu pilihan raya kerajaan tempatan, di mana saya bertanya kepada beliau mengapa beliau mendakwa DAP bersifat cauvinis kerana mahukan pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan.

Dalam respons saya kepada sidang media Hadi di Batu Pahat di mana beliau dipetik sebagai menyifatkan DAP “cauvinis” kerana mahu menghidupkan semula pilihan raya majlis tempatan, saya melahirkan rasa hairan dalam kenyataan di Ipoh pada 13 Julai 2015, mengenai kurangnya daya “kreativiti dan keaslian” pemikiran Hadi berhubung isu itu.

Saya berikan empat sebab bagi menjawab tuduhan tidak berasas Hadi, seperti berikut:

Pertama, adalah satu pembohongan apabila mendakwa bahawa DAP kononnya mahu mengawal sepenuhnya negara menerusi pilihan raya kerajaan tempatan, dengan membuat andaian yang ia adalah cara untuk kaum Cina menguasai politik pasca Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) atas alasan 60% kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) diwakili DAP.

Pembohongan itu mengarut dan tidak berasas atas tiga sebab:

(I) DAP tidak mengawal 60% kerusi DUN pada PRU13, kerana tiga komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS (Sehingga PR dibubarkan pada Muktamar PAS pada 3 Jun 2015) menang kurang 50% kerusi DUN pada PRU13. Keseluruhan jumlah dan peratusan kerusi DUN yang dimenangi tiga komponen PR pada PRU13 adalah sebanyak 229 kerusi atau 45% daripada 505 keseluruhan kerusi DUN.

(ii) DAP tidak pernah menjadi parti untuk kaum Cina atau mana-mana kaum atau agama tertentu, kerana sejak penubuhannya pada 1966, DAP komited terhadap matlamat untuk menjadi sebuah parti rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama. Malah, DAP adalah parti politik Pan-Malaysia pertama di Malaysia, dengan cawangan di seluruh negeri.

(iii) Menghidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan merupakan objektif DAP sejak penubuhannya pada 1966. Saya menyampaikan sekurang-kurangnya dua ucapan utama di Parlimen berkenaan pengembalian kerajaan tempatan semasa tiga tahun sidang Parlimen dari 1971 hingga 1974 - iaitu penggal pertama saya dilantik sebagai Ahli Parlimen.

Kedua, adalah mengelirukan dan tidak bertanggungjawab apabila mengatakan bahawa pengembalian semula pilihan raya majlis tempatan akan menguntungkan kaum Cina dan meminggirkan kaum Melayu. Kenyataan ini tidak mengendahkan hakikat mengenai penstrukturan semula kerajaan tempatan dan proses urbanisasi kaum Melayu sejak lima dekad lalu, di mana Malaysia mempunyai 148 pihak berkuasa tempatan, kira-kira 90% yang mana mempunyai majoriti kaum Melayu melebihi 50% populasi, sementara hanya dua atau tiga peratus daripada 148 pihak berkuasa tempatan mempunyai majoriti kaum Cina, sementara baki 13 terdiri daripada pelbagai kaum, tujuh daripadanya didominasi kaum Cina sementara enam kaum Melayu.

Ketiga, sokongan terhadap pilihan raya kerajaan tempatan tidak menjadikan seseorang itu “komunis” atau “cauvinis” kerana pilihan raya kerajaan tempatan juga dijalankan di Indonesia, Turki dan Iran. Adakah Hadi mengatakan bahawa Presiden Jokowi dan Erdogan dan bekas Presiden Iran Ahmadnejad atau Indonesia, Turki dan Iran bersifat “komunis” atau “cauvinis”.

Keempat, dakwaan bahawa DAP secara sepihak dan sesuka hati mahukan pilihan raya kerajaan tempatan dimasukkan dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat adalah tidak berasas. Hakikatnya, pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan ada dalam manifesto kebangsaan Pakatan Rakyat dan manifesto negeri PR Selangor untuk PRU13.

Sudah saya katakan bahawa PAS dan DAP berpisah daripada Pakatan Rakyat kerana pencabulan terhadap Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan penghinaan Hadi terhadap prinsip operasi konsensus PR, kerana mahu menggunakan kuasa veto ke atas keputusan yang dipersetujui sebulat suara oleh kepimpinan PR walaupun PAS ketika itu dikendalikan oleh bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Tiada jawapan ataupun respons daripada Hadi kerana sememangnya saya bercakap berdasarkan fakta dan kebenaran, dan Hadi tidak mampu membalas hujah saya.

Ini sebabnya mengapa saya terkejut apabila Hadi ke London untuk menggunakan hujah sama yang mana telah saya jawab sejak tiga tahun lalu.

Malah, hujah bahawa pengembalian pilihan raya kerajaan tempatan akan menguntungkan kaum Cina dan merugikan kaum Melayu amat tidak masuk akal jika diambil kira situasi sekarang.

Seperti yang saya katakan pada tiga tahun lalu, berdasarkan Bancian 2010, daripada 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia (terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya, 37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah, hanya dua atau tiga peratus pihak berkuasa tempat mempunyai majoriti kaum Cina, iaitu Sibu (Cina 63.4% Melayu/bumiputra 35.7% India 0.4% Lain-lain 0.5%); Kuching Selatan (Cina 62.5% Melayu/bumiputra 36.4% India 0.6% Lain-lain 0.5%) and Pulau Pinang (Cina 56.4% Melayu 33.7%; India 9.5% Lain-lain 0.4%).

Pihak berkuasa tempatan dengan majoriti kaum Melayu melebihi 50% jumlah populasi adalah sebanyak 132 atau 89.2% daripada 148 pihak berkuasa tempatan, dengan baki 13 lagi terdiri daripada pelbagai kaum, dengan tujuh didominasi kaum Cina dan enam didominasi kaum Melayu.

Dalam Bancian 2020 yang akan dilaksanakan kira-kira setahun akan datang, akan berlaku lebih perubahan komposisi kaum mengikut demografi pihak berkuasa tempatan dalam memberi kelebihan kepada orang Melayu. Ini disumbang oleh kadar kelahiran tinggi kaum Melayu berbanding bukan Melayu.

Pengembalian semula pilihan raya tempatan setelah 53 tahun digantung adalah penting dalam pembinaan bukan sahaja demokrasi, namun pembinaan negara plural di Malaysia.

Ia tidak ada kena mengena dengan kaum, agama, atau Raja-raja, sebaliknya tentang merit, jalan raya dan sampah (Rates, Roads and Rubbish) walaupun skop tanggungjawab kerajaan tempatan kini sudah lebih meluas dan pesat berkembang, ermasuk perkhidmatan komuniti seperti perpustakaan dan taman, pelancongan, pembaharuan bandar, perkhidmatan kesihatan komuniti, sistem pengangkutan yang baik dan kawalan pencemaran.

Kerajaan tempatan yang dilantik akan memperkasakan masyarakat dengan hak demokratik bagi membolehkan mereka menyertai pentadbiran demokratik pada tahap ketiga dalam menjadi sebahagian elemen penting proses pembuatan keputusan berkenaan dengan persekitaran mereka - memberikan mereka pengalaman pentadbiran demokratik di peringkat akar umbi.

Bolehkan kepimpinan PAS yang diketuai Hadi berhenti melihat pilihan raya kerajaan tempatan dari kaca mata politik toksik dan jahat yang berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan, sebaliknya daripada pandangan demokrasi kerajaan tempatan?

Atau adakah pemikiran kepimpinan PAS yang diketuai Hadi begitu jumud sehinggakan mereka tuli dengan hujah, fakta dan kebenaran seperti yang ditunjukkan oleh penentangan PAS terhadap pilihan raya kerajaan tempatan dan sokongan mereka terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang terlibat dalam kleptokrasi global.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri