Adakah Amanat Hadi-2 bersifat politik toksik dan berniat jahat serta berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan akan digunakan untuk memusnahkan Malaysia sebagai negara toleransi, harmoni, serta diwarnai kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya?

Di ambang sambutan Krismas, rakyat Malaysia disajikan dengan politik toksik dan berniat jahat yang berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan bagi memusnahkan ciri-ciri Malaysia sebagai sebuah negara yang bertoleransi, harmoni dan diwarnai dengan kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya, susulan kenyataan amaran bersifat primitif oleh Ketua Pemuda PAS dan anak Presiden PAS, Mohamad Khalil Abdul Hadi supaya orang Islam tidak menyambut perayaan Krismas pada esok hari atau membuat hantaran ucapan Krismas di Facebook kerana sambutan itu bertentangan dengan ajaran Islam.

Malaysia diingatkan semula mengenai pengumuman Hadi baru-baru ini bahawa semua orang Islam harus menentang ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Beliau mendakwa ICERD adalah "agenda Freemason" dengan niat untuk musnahkan agama, negara dan masyarakat Islam, sedangkan 99 peratus daripada 1.3 bilion orang Islam di dunia yang tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Palestin, Algeria, Maghribi, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Adakah Malaysia akan menjadi penyelamat orang Islam di dunia, termasuk orang Islam di negara Islam seperti di Arab Saudi, dan melancarkan kempen antarabangsa untuk mendesak 1.3 bilion orang Islam supaya menolak ICERD dan juga menunjukkan perangai buruk terhadap agama-agama lain di dunia ini, termasuk 2.1 bilion penganut Kristian, 900 juta penganut Hindu dan 400 juta peganut Buddha?

Adakah PAS mahu perang dunia bersifat keagamaan? Atau keamanan, toleransi dan keharmonian dunia berdasarkan toleransi dan keamanan dalam kewujudan bersama semua agama di dunia ini?

Di laman webnya semalam, Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan membuat ucapan Krismas kepada penganut agama Kristian di negara itu dalam satu perutusan. Dalam perutusan tersebut, beliau menekankan mengenai kepelbagaian budaya di Turki dan peranan sejarah Anatolia dalam "menjadi tempat berlindung kepada mereka yang melarikan diri daripada konflik, penganiayaan, perang, dan penindasan."

Beliau berkata: "Kita, sebagai penganut tradisi purba yang berlandaskan rasa hormat terhadap pemikiran, kepercayaan dan hak asasi, menganggap semua agama dan budaya yang ada di negara ini sebagai aset berharga.

"Kesefahaman ini, yang menjadi asas keamanan, keselamatan, perpaduan dan solidariti negara, adalah kuasa terbesar yang kita ada yang membolehkan kita wujud bersama secara aman di masa akan datang.

"Saya berharap sambutan Krismas ini, perayaan yang disambut warga Kristian daripada berbeza mahzab, tradisi, dan gereja selari dengan kepercayaan mereka, akan menguatkan lagi solidariti di negara kita. Saya mengucapkan Selamat Hari Natal.”

Adakah Hadi, sama ada ayahnya atau anaknya atau kedua-duanya, menganggap Erdogan sebagai bukan seorang Islam tulen?

Adakah ini akan jadi Amanat Hadi-2 yang bersifat politik toksik dan berniat jahat serta berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan untuk memusnahkan Malaysia sebagai negara bertoleransi, harmoni, serta diwarnai kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri