Pimpinan PAS salah besar, kerana adalah tanggungjawab seluruh parti rakyat Malaysia di dalam gabungan Pakatan Harapan untuk menjuarai agenda Melayu-Islam dan bukan-Melayu-Islam untuk menunjukkan bahawa usaha membentuk negara bukanlah permainan zero-sum

Sepanjang perjalanan 9 jam dari Kuala Lumpur ke Qingdao - dengan transit selama dua jam di Fuzhou - untuk lawatan seminggu ke China, saya terus memikirkan tentang pergolakan politik di Malaysia, tujuh bulan selepas keputusan bersejarah rakyat Malaysia dalam PRU ke-14 pada 9 Mei 2018.

Tidak ramai yang menjangkakan perubahan politik yang begitu besar pada 9 Mei - malah mantan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja menjangkakan akan memenangi mandat untuk dilantik semula sebagai perdana menteri, beliau turut menjangkakan gabungan UMNO-BN akan kembali ke Putrajaya dengan majoriti dua-pertiga yang telah kehilangan selama satu dekad sejak 2008.

Namun kini, nampaknya hampir semua orang menjangkakan segala penyakit, kesilapan dan kerosakan sepanjang enam dekad pemerintahan UMNO-BN diperbaiki, kalau bukan dalam tempoh 100 hari, mungkin dua atau lima tahun - dan ini adalah mustahil, kerana misi membentuk Malaysia Baharu akan mengambil masa lebih daripada kitaran satu pilihanraya umum, bahkan mengambil masa satu atau dua dekad!

Apa yang penting adalah Malaysia memiliki peluang untuk melaksanakan suatu anjakan kritikal bagi membetulkan dasar-dasar pembentukan negara bagi menyelamatkan Malaysia daripada melaju ke arah sebuah demokrasi yang palsu, kakistrokrasi, negara yang berpecah belah, negara yang gagal, dan sebuah kleptokrasi global; demi mengembalikan Malaysia sebagai sebuah negara kelas tinggi dan sebuah Ekonomi Harimau yang bersatu-padu, harmoni, demokratik, adil dan menghormati kedaulatan undang-undang serta urustadbir yang baik.

Sepertimana tidak ramai yang menjangkakan perubahan bersejarah pada 9 Mei 2018, ramai juga tidak menjangkakan kerajaan gabungan Pakatan Harapan akan dapat bertahan - paling tidak, transisi lancar jadual Pakatan Harapan untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih sebagai perdana menteri kelapan dari Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan penggal.

Pada mulanya, pimpinan UMNO begitu yakin bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan hancur berkecai dalam tempoh dua tahun - namun jadual kehancuran ini kemudiannya telah disemak semula menjadi lima tahun, dengan harapan bahawa gabungan ini akan tumbang menjelang PRU ke-15.

Namun, belum sempat lima tahun, UMNO telah meletup terlebih dahulu, apabila ia kehilangan 18 daripada 54 Ahli Parlimen yang dilantik pada 9 Mei, dan ramai lagi dijangka meninggalkan parti tu, yang menjadi satu lagi sejarah bagi UMNO dalam tempoh 69 tahun - menjadikan UMNO jatuh martabatnya setaraf PAS sebagai parti wilayah; malah mungkin mempunyai bilangan kerusi yang kurang berbanding PAS. Daripada tahap mempunyai 56.7% Ahli Parlimen pada 1964 dan 49.7% pada tahun 2004, UMNO akan hanya memiliki kurang 10 peratus daripada jumlah 222 orang wakil rakyat di Parlimen?

Ini mungkin sebab kenapa PAS sudah pun mendakwa menjadi satu-satunya parti yang membawa agenda Melayu-Islam, apabila Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan menyatakan:

"Kalau dulu kita lihat dari segi kekuatannya dan jumlah ahli, memang UMNO yang menjuarai perjuangan agenda untuk Melayu Islam, apatah lagi mereka dahulu berada dalam kerajaan.

"Sekarang ini mereka bukan lagi kerajaan dan ketika ini ramai pemimpin dan wakil rakyat mereka meninggalkan parti menyebabkan struktur UMNO di beberapa peringkat sudah runtuh."

Tetapi pimpinan PAS ternyata sangat salah kerana PAS tidak boleh diberikan monopoli untuk menjuarai agenda Melayu-Islam di Malaysia.

Ini kerana dalam Malaysia Baharu, adalah menjadi tanggungjawab seluruh parti politik rakyat Malaysia dalam gabungan Pakatan Harapan, sama ada PKR, Bersatu, Amanah atau DAP, untuk menjuarai agenda Melayu-Islam dan bukan Melayu-Islam bagi menunjukkan usaha membina negara yang cemerlang dalam sebuah masyarakat majmuk bukanlah suatu permainan ‘zero sum’ tapi merupakan formula menang-menang untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kita masih merasakan gema keputusan bersejarah pada 9 Mei 2018 dengan berkecainya UMNO, yang sepanjang 60 tahun telah menuntut hak untuk memerintah Malaysia.

Apa yang serharusnya membimbangkan rakyat Malaysia ialah beralihnya terhadap politik toksik penuh pembohongan, kebencian, ketakutan, kaum dan agama yang memuncak dalam perhimpunan anti-ICERD pada 8 Disember 2018. Ada pro dan kontra terhadap perhimpunan anti-ICERD itu - antara pro-nya, negara sedang bergerak teguh menuju sebuah negara demokratik di mana rakyat boleh bersuara dan berhimpun dengan aman dan mematuhi undang-undang; namun antara kontra-nya, ia menjadi bukti betapa jauhnya kesanggupan para pengamal politik pembohongan, kebencian, ketakutan, kaum dan agama demi kepentingan politik peribadi mereka, yang akan membawa padah kepada negara.

Saya masih menanti jawapan daripada Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang sama ada beliau akan melancarkan kempen antarabangsa bagi menyelamatkan umat Islam daripada konspirasi Freemason, memandangkan 99 peratus daripada umat Islam seluruh dunia menetap di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD, termasuk 55 daripada 57 negara anggota OIC, seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emirah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Palestin, Algeria, Maghribi, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Adakah Malaysia menjadi penyelamat umat Islam seluruh dunia, termasuk umat Islam di pusat dunia Islam di Arab Saudi, atau adakah Malaysia telah menjadi bahan ketawa dunia, termasuk dunia Islam?

Mujurlah Malaysia telah membuat keputusan bersejarah memilih perubahan kuasa secara demokratik dan aman pada 9 Mei 2018.

Seperti yang ditulis mantan ketua pengarang New Straits Times, Dr Munir Majid; “tahap rasuah yang telah didedahkan amat mengejut” sejak 9 Mei 2018, namun pemerhatian paling baik Dr Munir ialah:

“Pun begitu, bukan seluruh rakyat Malaysia berasa malu. Bukan mereka yang menyokong Barisan walaupun bukti-bukti menimbun terhadap rasuah yang sistemik dan menjalar. Bukan mereka yang terus menyokong Barisan, terutamanya UMNO, malah sehingga kini. Bukan mereka yang berada di puncak mahupun kaki bukit rasuah yang menggunung di Malaysia.”

Tidak juga di dalam UMNO - seperti yang diperlihatkan dengan meletupnya UMNO. Tidak juga di PAS - seperti yang diperlihatkan melalui kesungguhan pimpinan PAS mengambil kesempatan daripada kehancuran UMNO.

Skandal 1MDB yang begitu besar, yang menghumban Malaysia ke lembah binasa apabila dikutuk dunia sebagai kleptokrasi global, mesti menjadi pengajaran buat seluruh rakyat Malaysia, bahawa kita tidak boleh lagi membiarkan negara digadai demi ketamakan kuasa dan kekayaan sesiapa, dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama serta generasi masa depan mesti didahulukan berbanding kepentingan individu atau kelompok tertentu, tidak kiralah betapa tinggi pun kedudukan kuasa mereka.

Kita sedang menghampiri penghujung tahun, masanya telah tiba untuk bermuhasabah dan membina azam baru.

Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk memperkukuh komitmen mereka terhadap Malaysia Baharu, menyelamatkan negara daripada menuju demokrasi palsu, kakistokrasi, negara gagal, negara pecah belah dan kleptokrasi global, dan memulihkan negara sebagai sebuah negara berkelas tinggi, sebuah Ekonomi Harimau yang bersatu-padu, harmoni, demokratik, adil dan mendaulatkan undang-undang serta urustadbir yang baik.

Seluruh rakyat Malaysia mesti membina perspektif gambaran besar dan berjangka panjang dengan komitmen, stamina dan kegigihan untuk terus berjuang bagi mencapai misi tersebut tanpa mengira ia mengambil masa satu atau dua dekad.

Kita harus memberi masa agar lebih ramai rakyat Malaysia boleh menyertai misi membina Malaysia Baharu - kita tidak boleh mengalah daripada komitmen terhadap keadilan, kebebasan, demokrasi, integriti dan martabat insan untuk semua.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri