Adakah Rahman Dahlan bersedia untuk menunjukkan hala tuju kepada UMNO dengan mengutuk tindakan Najib Razak berhubung skandal 1MDB yang telah memalukan nama Malaysia dengan gelaran kleptokrasi global?

Kenyataan bekas penyokong setia Datuk Seri Najib Razak yang pernah menyandang jawatan Menteri dan merupakan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bahawa tindakan wakil rakyat UMNO Sabah keluar parti adalah disebabkan hala tuju tidak jelas parti tersebut selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya 9 Mei lalu, adalah satu kenyataan yang tepat.

Adakah Rahman Dahlan bersedia untuk menunjukkan hala tuju kepada UMNO dengan mengutuk tindakan Najib Razak berhubung skandal 1MDB yang telah memalukan nama Malaysia dengan gelaran kleptokrasi global?

UMNO hilang arah tuju kerana ia hilang kompas moral, dan tidak ada seorang pun, meskipun selepas kekalahan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14, berani untuk menyatakan bahawa Najib dan kleptokrasi 1MDB yang dicetuskannya adalah penyebab utama kemusnahan UMNO.

Sebaliknya, pemimpin UMNO yang ada sekarang masih mahu bergantung kepada 1MDB.

Dilaporkan bahawa sejumlah RM470 juta dari akaun bank peribadi Najib dan didapati berpunca daripada dana 1MDB, telah dilencongkan ke kantung komponen Barisan Nasional untuk kegunaan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-13, seperti berikut:

UMNO – RM 417,414,000
MCA – RM 16,500,000
MIC – RM 20,550,000
BN – RM 3,550,000
SUPP – RM 3,500,000
LDP – RM 3,500,000
UPKO – RM 2,000,000
PBRS – RM 1,000,000
PPP – RM 700,000
Gerakan – RM300,000

Ini adalah penyelewengan serius ke atas dana awam untuk kegunaan komponen Barisan Nasional pada 2013 kerana wang tersebut adalah milik 1MDB.

Adakah UMNO dan bekas komponen dan komponen BN (termasuk UMNO, MCA dan MIC) bersedia untuk menebus maruah mereka berhubung skandal 1MDB dan memulangkan semula RM470 juta yang diterima mereka ke kantung dana awam kerana ia sebenarnya adalah wang hasil daripada penyelewengan ke atas 1MDB?

Bukan sahaja pemimpin UMNO hilang kompas moral untuk mengaku bahawa Najib dan skandal 1MDB adalah malapetaka kepada negara, mereka malah menerima Najib sebagai pemimpin de facto UMNO - seperti yang dapat dilihat dengan kehadiran Najib pada perhimpunan Anti-ICERD pada Sabtu, yang mana menjadi perhimpunan menyokong Najib dan skandal 1MDB.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri