Kini sedang beredar di media sosial satu bahan lawak yang mengatakan bahawa Najib Razak hadir pada himpunan Anti-ICERD pada Rabu kerana mahu menjadikannya himpunan itu sebagai himpunan IC(uri)E(engkau)R(amai-ramai)D(efend), iaitu suatu bentuk sokongan terhadap pemerintahan kleptokratik beliau dan skandal rasuah yang membelenggu 1MDB
Kini sedang beredar di media sosial satu bahan lawak yang mengatakan bahawa Datuk Seri Najib Razak hadir pada himpunan Anti-ICERD pada Rabu kerana mahu menjadikannya himpunan itu sebagai himpunan IC(uri)E(engkau)R(amai-ramai)D(efend), iaitu suatu bentuk sokongan terhadap pemerintahan kleptokratik beliau dan skandal rasuah yang membelenggu 1MDB.
Tidak mungkin, kerana sukar untuk percaya bahawa ribuan yang berhimpunan di Dataran Merdeka pada Sabtu lalu menyokong Najib dan rekod kleptokratiknya, termasuk skandal kleptokratik 1MDB yang dikenali di seluruh dunia.
Kehadiran Najib pada perhimpunan Anti-ICERD baru-baru ini paling dipersoal, lebih-lebih apabila beliau disahkan, bersama-sama bekas Pengerusi 1MDB Arul Kanda Kandasamy, bakal didakwa esok atas dakwaan meminda laporan 1MDB yang dikeluarkan Ketua Audit Negara.
Sehari selepas himpunan Anti-ICERD, New York Times menerbitkan sebuah laporan panjang bertajuk *_“A Yacht, a Monet, a See-Through Piano: The U.S. Collects on a Fugitive’s Shopping Spree”_*, yang menceritakan mengenai skandal kleptokratik 1MDB.
“Dana yang sedang menjadi siasatan utama, dipanggil sebagai dana 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB, sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia biasa. Ia meminjam berbilion dolar wang daripada bank dan meminjam daripada pelabur, kononnya untuk membiayai projek seperti usaha sama dengan sebuah syarikat minyak Arab Saudi serta pengambilalihan loji kuasa.
“Bagaimanapun pihak pendakwa raya berkata 1MDB telah menjadi sebuah skim pengubahan wang haram yang bersifat 'mega, tidak tahu malu dan terang-terangan', di mana berbilion wang dilencongkan ke dalam akaun bank pegawai kanan, termasuk bekas perdana menteri Najib Razak, keluarganya dan rakan subahatnya serta Encik Low.”
Mungkinkah akan ada himpunan Anti-Kleptokrasi selepas ini, dan adakah dua penceramah utama himpunan Anti-ICERD iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hadi Awang sudi untuk berucap pada himpunan seumpama itu bagi mengutuk skandal 1MDB.
Sudah tentu tidak.
Hari ini adalah hari terakhir sidang belanjawan Parlimen untuk Dewan Rakyat.
Sepanjang 20 hari pembukaan sidang Parlimen ke-14 pada Julai/Ogos dan 30 hari sidang belanjawan pada Oktober, November, Disember, tidak ada seorang pun Ahli Parlimen Pembangkang dari UMNO dan PAS menyatakan pendirian mereka berhubung sama ada skandal 1MDB merupakan malapetaka kepada negara dan sama ada Najib harus dipertanggungjawabkan kerana menjadikan Malaysia sebuah kleptokrasi global.
Untuk beberapa tahun lalu, Malaysia dihantui dan dibayangi oleh skandal RM50 billion 1MDB, menjadikan hutang negara meningkat sehingga RM1 trilion ringgit. Adakah ini pembohongan dan fitnah?
Jika Malaysia mahu menjadi negara bertaraf dunia, rakyat Malaysia harus meninggalkan politik toksik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan agama, apatah lagi pembohongan bahawa kononnya skandal 1MDB adalah konspirasi dunia terhadap Malaysia atau pembohongan bahawa kononnya ICERD anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-raja Melayu dan kononnya sebuah “agenda Freemason” untuk memusnahkan Malaysia dan Islam.