Kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihanraya Negeri Sarawak 7 Mei lalu adalah sebab kenapa Najib boleh memberi lampu hijau kepada Hadi untuk mengutamakan rang undang-undang persendiriannya mengenai hudud di Parlimen pada Khamis lalu
Kemenangan besar Barisan Nasional pada Pilihanraya Negeri Sarawak 7 Mei lalu adalah sebab kenapa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak boleh memberi lampu hijau kepada presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang untuk mengutamakan rang undang-undang persendiriannya mengenai hudud di Parlimen pada Khamis lalu.
Najib boleh bertindak tanpa menghiraukan pendangan parti-parti komponen dan pemimpin BN selain Umno kerana Najib percaya bahawa wujud kembalinya sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.
Kecoh-kecoh pimpinan parti komponen BN selain Umno, tidak kira MCA, MIC, Gerakan atau parti-parti dari Sabah dan Sarawak, menyatakan protes mereka kepada usul Hadi nampaknya langsung tidak penting, jika dibandingkan dengan tiga perkara latar:
- Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tidak akan bangun selepas waktu rehat tengah hari di Parlimen Khamis lalu untuk mengubah aturan usul bagi memberi keutamaan kepada usul Hadi mendahului usul-usul kerajaan kecuali dengan arahan Perdana Menteri sendiri.
- Mengutamakan usul hudud Hadi adalah keputusan Barisan Nasional, kerana Azalina adalah menteri kerajaan Barisan Nasional dan bukannya Umno, serta ini adalah kali pertama (dan pasti bukannya yang terakhir) pemimpin Umno membuat keputusan bagi pihak Barisan Nasional, dengan atau tanpa kebenaran mahupun maklumn parti-parti BN yang lain.
- Memandangkan mesyuarat Kabinet pada hari Jumaat tidak membuat teguran ke atas tindakan Azalina di Parlimen untuk memberi keutamaan kepada usul hudud Hadi (sebenarnya memanglah tiada teguran kerana Azalina bertindak atas arahan Najib), suatu tauladan berbahaya telah dimulakan, memperteguh hegemoni Umno dalam BN, di mana 13 parti komponen BN yang lain hanya mempunyai nilai dan peranan sebagai perhiasan semata-mata.
Apa yang terjadi di Parlimen Khamis lalu juga membuktikan tiga perkara:
- Bahawa Umno dan 13 parti komponen Barisan Nasional telah berhenti menjadi parti yang boleh dipercayai, kerana mereka pernah berjanji bahawa apa yang berlaku di Parlimen Khamis lalu tidak akan pernah berlaku, tetapi ia tetap berlaku juga - tanpa sebarang tegahan atau teguran Kabinet terhadap sang Menteri.
- Meski terdapat 14 menteri bukan-Umno dan dua menteri bebas di dalam Kabinet seramai 35 orang, menteri-menteri bukan-Umno tidak mempunyai peranan mahupun nilai dalam Kabinet kerana kedudukan mereka dalam Kabinet hanyalah sebagai perhiasan. Perjanjian Najib-Hadi untuk memberi keutamaan kepada usul rang undang-undang persendirian Hadi di Parlimen pada hari Khamis telah menjadi bukti paling kukuh terhadap realiti politik Malaysia yang amat menyedihkan ini.
- Konspirasi Umno-PAS, atau lebih tepat lagi konspirasi Najib-Hadi untuk memberi keutamaan kepada usul rang undang-undang persendirian hudud akan menjadi isu terbesar di pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, supaya skandal kewangan global Najib - skandal RM55 bilion 1MDB - boleh dikesampingkan dan dibayangi, biarpun siasatan antarabangsa sedang berlangsung dan tindakan ke atas bank-bank dan individu yang terlibat dengan pengubahan wang 1MDB serta korupsi sedang dilakukan.