Adakah Najib bersedia untuk mendedahkan dan mengecam pegawai Kementerian Kewangan yang membenarkan Arul dan Shahrol ponteng daripada siasatan PAC ke atas skandal 1MDB hari ini?
Orang ramai telah letih, tidak percaya malah menyampah dengan sandiwara skandal RM42 bilion 1MDB dalam tempoh empat tahun lalu. Sehinggakan jaminan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa presiden merangkap pengarah eksekutif kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy serta bekas CEO 1MDB Shahrol Halmi akan memberi kenyataan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC), tidak mampu meredakan kemarahan orang ramai terhadap kedua-duanya yang bertindak menghina Parlimen dengan tidak menghadiri siasatan PAC yang dijadualkan hari ini.
Kenyataan Najib bahawa pegawai-pegawai 1MDB itu akan bertemu PAC dan tidak akan melarikan diri adalah hanya cakap kosong, apabila pasangan 1MDB itu boleh sahaja mengelak siasatan PAC ke atas 1MDB hari ini dengan alasan mengarut kononnya mereka ada tugasan di luar negara. Sedangkan bukan sahaja mereka bahkan Kementerian Kewangan sendiri tidak boleh mendedahkan di negara mana Arul dan Shahrol berada hari ini, dan apa pula komitmen yang lebih penting daripada siasatan PAC itu.
Adakah Kementerian Kewangan telah berbohong kepada PAC bahawa kononnya Arul dan Shahrol mempunyai tugasan lebih penting di luar negara sehingga tidak dapat menghadiri siasatan PAC sepertimana Najib telah berbohong dalam jawapan parlimennya mengenai deposit US$1 bilion dari Kepulauan Cayman ke dalam sebuah bank di Singapura?
Nampaknya begitulah, memandangkan alasan yang diberikan Najib mengenai ketidakhadiran pasangan 1MDB itu ke siasatan PAC bukanlah tugasan luar negara, tetapi kononnya pegawai-pegawai 1MDB itu ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Alasan ‘ada urusan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu’ jelas berbeza dengan alasan ‘mempunyai tugasan luar negara’ yang memustahilkan mereka untuk hadir bagi siasatan PAC.
Tambahan pula, kemampuan Arul untuk memberi respon segera melalui kenyataan media sepanjang dua hari lalu terhadap isu yang dibangkitkan berkenaan tindakan pasangan tersebut mengelak siasatan PAC menimbulkan persoalan sama ada Arul benar-benar berada di luar negara.
Perdana Menteri harus memastikan bahawa permohonan maaf dibuat segera kepada PAC sekiranya ada yang telah berbohong tentang ketidakhadiran pasangan tersebut ke siasatan PAC hari ini.
Rakyat Malaysia berhak tahu kenapa 1MDB perlu ‘selesaikan sesuatu terlebih dahulu’ sebelum siasatan PAC ke atas skandal 1MDB sekiranya semua transaksi dan operasinya jujur dan bersih, memandangkan 1MDB telah menjadi sasaran penelitian orang ramai sejak beberapa tahun lalu.
Boleh Najib menjelaskan kenapa kedua-dua Arul dan Shahrol meminta penangguhan 30 hari sebelum muncul untuk siasatan PAC, dan apakah bendanya yang ‘perlu diselesaikan terlebih dahulu’ di 1MDB?
Walaupun Najib kini berada di Jepun, beliau jelas sedang mengikuti perkembangan 1MDB dengan begitu rapat.
Jika demikian keadaannya, Najib mesti bersedia untuk mendedahkan serta mengecam pegawai Kementerian Kewangan yang telah membenarkan Arul dan Shahrol ponteng daripada siasatan PAC ke atas skandal 1MDB hari ini – walaupun persoalan siapa yang memberi kebenaran bagi menghina Parlimen oleh pasangan 1MDB ini boleh melibatkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, atau Perdana Menteri sendiri.