Adakah Arul dan Shahrol mempunyai alasan kukuh untuk ponteng daripada siasatan PAC mengenai 1MDB yang telah dijadualkan hari ini? Adakah Najib (dan kalau bukan, siapa) telah membenarkan mereka ponteng hari ini?

Banyak persoalan timbul sepanjang 24 jam lalu sejak berita tersebar bahawa presiden merangkap pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO 1MDB Shahrol Halmi tidak akan hadir ke siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) yang dijadualkan hari ini.

Antara soalan utama termasuklah:

  1. Adakah Arul dan Shahrol mempunyai sebarang alasan kukuh untuk tidak hadir ke siasatan PAC yang dijadualkan hari ini sedangkan kedua-duanya telah diberikan notis dua minggu sebelum siasatan?
  2. Sekiranya siasatan PAC yang dijadualkan hari ini bertembung dengan temujanji luar negara mereka yang begitu penting, kenapa PAC tidak dimaklumkan segera selepas mereka menerima panggilan PAC pada 6 Mei? PAC hanya dimaklumkan melalui surat daripada Kementerian Kewangan pada 22 Mei bahawa kedua-dua orang terbabit tidak dapat hadir.
  3. Di mana Arul dan Shahrol sekarang di luar negara? Apa pula temujanji penting yang mereka hadiri ini? Tidak bolehkah temujanji ini dijadual semula bagi memberi keutamaan kepada siasatan PAC?
  4. Adakah Najib sebagai Perdana Menteri atau Menteri Kewangan mengetahui bahawa mereka berdua ponteng siasatan PAC hari ini, dan jika beliau (kalau bukan, siapa) memberi lampu hijau supaya kedua-duanya ponteng siasatan PAC hari ini?
  5. Adakah Najib atau mana-mana pihak dari Kementerian Kewangan (nyatakan siapa) meminta kedua-dua individu ini menjadualkan semula temujanji luar negara mereka memandangkan temujanji mereka bersama PAC adalah lebih penting bagi menjawab semua persoalan dan syakwasangka terhadap skandal 1MDB yang merupakan skandal kewangan terbesar dalam negara? Jika tidak, kenapa?
  6. Adakah Najib (jika bukan, siapa) yang telah mengizinkan mereka ponteng hari ini?

Kita barangkali menyangkakan bahawa Najib, dan terutamanya Lembaga Pengarah 1MDB, akan mengalu-alukan siasatan PAC yang dijadualkan hari ini bagi menghentikan segala keraguan dan persoalan mengenai integriti, ketelusan dan urustadbir korporat yang telah menghantui syarikat pelaburan strategik kerajaan itu sepanjang lima tahun lalu, sejak Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara Tony Pua melancarkan serangan pertama mengenai skandal kewangan negara itu sejak 2009.

Demikianlah sepatutnya, memandangkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas bahawa skandal 1MDB adalah apa yang disebut pepatah Inggeris sebagai “last straw to break the camel’s back” dan boleh mengakibatkan kejatuhan kerajaan Umno/BN. Begitu juga dengan penglibatan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam kempen menuntut jawapan kepada ‘kehilangan RM27 bilion’ 1MDB dan dakwaan baru Mahathir bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berbohong dalam jawapan parlimennya dan mendesak pihak polis menjalankan siasatan terhadap deposit US$1 bilion 1MDB dari Kepulauan Cayman ke sebuah bank di Singapura.

Dengan latar yang sebegini, 1MDB sepatutnya mengejar PAC untuk disiasat segera bagi membuktikan bahawa ia adalah model urustadbir korporat, berbanding bertindak ponteng daripada siasatan PAC yang telah dimaklumkan dua minggu lebih awal.

Semua mata akan memandang mesyuarat Kabinet Jumaat ini, sama ada para Menteri akan bersedia memikul tanggungjawab kolektif ke atas skandal 1MDB dan mendesak jawapan kepada seperti lima persoalan di atas - dan sama ada Lembaga Pengarah 1MDB akan dipecat dan disiasat polis.

Tanpa mengira sama ada Kabinet bersedia memikul tanggungjawab kolektif ke atas skandal 1MDB, pembayar cukai Malaysia berhak mendapat jawapan segera bagi persoalan-persoalan ini.

Memandangkan Kementerian Kewangan telah menulis surat kepada PAC untuk membenarkan kedua-dua eksekutif 1MDB ini ponteng daripada siasatan PAC yang dijadualkan hari ini, Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri atau Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mesti menjawab persoalan-persoalan di atas.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah