Memandangkan Najib telah mengakui mempunyai kepentingan langsung dalam kes Altantuya, beliau patut menarik diri daripada sebarang proses memutuskan sama ada perlu ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berkenaan pembunuhan Altantuya demi mengelak konflik kepentingan

Apa yang kurang menarik perhatian dalam FAQ Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu ialah pengakuan jelas bahawa beliau mempunyai kepentingan langsung dalam kes tersebut, meski menggunakan bahasa penafian yang begitu lunak, dengan menafikan bahawa beliau mempunyai sebarang kaitan dengan isu tersebut dan juga Sumpah Laknatnya.

Kepentingan langsung dalam kes Altantuya yang sudah berusia sembilan tahun itu ditemukan dalam perenggan ketiga FAQ berkenaan isu Altantuya, yang menyebut:

“What is important is that the judgment brings justice to everyone, most importantly to the family of the victim, to the accused and even to me.”

Kes pembunuhan Altantuya yang telah dimuktamadkan di Mahkamah Persekutuan pada bulan Januari dengan hukuman mati ke atas dua tertuduh, bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar menjadi tajuk yang semakin penuh kontroversi di peringkat dalam dan luar negara kerana ia telah gagal memberikan keadilan kepada semua pihak termasuk keluarga mangsa, dua individu tertuduh dan juga Najib sendiri.

Ini adalah kerana kes sembilan tahun pembunuhan Altantuya tidak menjawab dua persoalan besar yang mempunyai kepentingan awam, iaitu:

  • Siapa yang mengarahkan supaya Altantuya dibunuh; dan
  • Sama ada terdapat konspirasi senyap selama sembilan tahun yang melibatkan pihak polis, Peguam Negara dan juga badan kehakiman serta pihak-pihak lain bagi mengelak siasatan terhadap motif pembunuhan Altantuya.

Dalam keadaan ini, memandangkan FAQ Najib adalah tidak lain sekadar pengakuan terbuka bahawa beliau mempunyai kepentingan dalam kes ini, beliau patut menarik diri daripada semua proses membuat keputusan sama ada untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas pembunuhan Altantuya.

Adakah Najib bersedia untuk mengumumkan bahawa beliau sedar akan wujudnya konflik kepentingan dan tidak akan terlibat dalam apa jua proses membuat keputusan tentang sama ada perlu ditubuhkan RCI bagi menyiasat pembunuhan Altantuya dan memastikan i) sama ada sesiapa, dan jika ya siapa, yang telah mengarahkan supaya Altantuya dibunuh; dan ii) Sama ada terdapat konspirasi senyap selama sembilan tahun yang melibatkan pihak polis, Peguam Negara dan juga badan kehakiman serta pihak-pihak lain dalam hal motif pembunuhan Altantuya.

Selanjutnya, sama ada Perdana Menteri akan membenarkan Kabinet atau Parlimen untuk memutuskan secara bebas sama ada RCI terhadap pembunuhan Altantuya wajar ditubuhkan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah