Konsultan mahal mana yang bertanggungjawab merangka kenyataan FAQ Perdana Menteri yang nampak begitu dibuat-buat, merosakkan dan memberi tanda-tanda mengakui bahawa wujudnya persepsi awam yang begitu serius bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan Altantuya

Rasanya bukan saya seorang yang jenuh berfikir tentang kenyataan FAQ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di blognya mengenai dakwaan tentang isu Altantuya. Makin difikirkan, makin terkejut kita dibuatnya.

Konsultan mahal mana yang bertanggungjawab merangka kenyataan FAQ Perdana Menteri yang nampak begitu dibuat-buat, merosakkan dan memberi tanda-tanda mengakui bahawa wujudnya persepsi awam yang begitu serius bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu.

Saya maksudkan kenyataan ini:

“What is important is that the judgment brings justice to everyone, most importantly to the family of the victim, to the accused and even to me.”

Saya tidak percaya bahawa Najib boleh membuat kenyataan sedemikian atas kerelaannya sendiri, kerana ia kedengaran terlebih cerdik, dengan mendakwa bahawa Mahkamah Persekutuan pada bulan Januari lalu dalam memutuskan kes pembunuhan Altantuya menjatuhkan hukuman mati ke atas dua tertuduh, bekas komando polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar; dengan sekali harung telah memberi keadilan kepada keluarga Altantuya, pihak tertuduh dan “saya sendiri,” kata Najib.

Tak mungkin Najib begitu naif sehingga percaya bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menjatuhkan hukuman mati ke atas dua bekas komando polis itu sudah cukup untuk menjadi penutup kepada keluarga mangsa.

Jika tidak, takkanlah bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan tiga lagi ahli keluarganya akan meneruskan tindakan saman RM100 juta terhadap Kerajaan Malaysia berikutan kematian Altantuya, yang ditembak mati dan mayatnya kemudian diletupkan dengan bahan letupan C4 di kawasan hutan Shah Alam pada 7 November 2006.

Lebih mengejutkan lagi ialah apabila Najib boleh terfikir bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut akan diterima oleh kedua-dua tertuduh dan keluarga mereka sebagai balasan setimpal atas jenayah yang telah mereka lakukan. Jika tidak, takkanlah Sirul Azhar kini akan berada di pusat tahanan imigresen Villawood di Sydney bagi mendapatkan suaka di Australia atas alasan dijadikan kambing hitam lantaran bertindak mengikut arahan ketika beliau dan Azilah melakukan jenayah itu pada tahun 2006.

Adakah Najib akan membenarkan Azilah memberitahu Parlimen dan negara tentang pendapatnya tentang pengakuan Sirul dijadikan kambing hitam kerana kedua-dua bertindak mengikut arahan untuk membunuh Altantuya.

Namun apa yang paling memeranjatkan ialah penegasan ketiga, bahawa penghakiman Mahkamah Persekutuan telah memberi keadilan kepada Najib sendiri?

Bagaimana ini boleh berlaku, selain daripada menjadi satu isyarat pengakuan wujudnya persepsi awam yang serius bahawa Najib terlibat dalam pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu sembilan tahun lalu?

Adakah Mahkamah Persekutuan telah secara konklusif dan tanpa syarat menolak sebarang kemungkinan bahawa Najib atau orang lain dengan apa cara pun terlibat dalam pembunuhan Altantuya, seperti memberi arahan supaya warga Mongolia itu dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan peledak C4?

Pastinya tidak, kerana isu ini telah dielak dengan berhati-hati ketika perbicaraan Azilah dan Sirul yang memakan masa sembilan tahun.

Inilah sebabnya kenapa isu siapa, kalau pun ada sesiapa, telah mengarahkan pembunuhan Altantuya kekal menjadi isu yang hidup dan nyata, dan akan terus hidup, selagimana persoalan ini tidak dijawab dan diselesaikan.

Sebagai Perdana Menteri, Najib mesti memastikan bahawa persoalan siapa, kalau pun ada sesiapa, yang telah mengarahkan pembunuhan Altantuya mesti dijawab, dan memandangkan Najib telah mengisytiharkan bahawa beliau tidak terlibat dalam pembunuhan Altantuya dan tidak tahu apa-apa tentangnya, malah telah membuat Sumpah Laknat, beliau patutnya tiada masalah untuk melaksanakan siasatan penuh bagi mendapatkan jawapan tentang persoalan ini.

Najib pastinya tahu bahawa membuat Sumpah Laknat bukanlah gantian bagi proses soal jawab mahkamah, kerana sebaliknya bolehlah kita hapuskan sahaja sistem kehakiman ini dan bergantung penuh kepada sistem Sumpah Laknat bagi menangani jenayah.

Jika Najib benar-benar peduli untuk memastikan keadilan dilaksanakan untuk dirinya dan juga institusi negara, terutamanya kedaulatan undang-undang dan kredibiliti serta reputasi Perdana Menteri dalam kes pembunuhan Altantuya, beliau dan Kabinetnya tidak patut berlengah lagi dan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja dengan dua terma rujukan: i) Siapa arahkan pembunuhan Altantuya; dan ii) Sama ada wujud konspirasi senyap selama sembilan tahun yang melibatkan pihak polis, Peguam Negara dan badan kehakiman serta pihak-pihak lain bagi mengelak daripada menyiasat motif pembunuhan Altantuya?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah