Sudah tiga hari saya nantikan bukti yang menunjukkan bahawa ucapan saya di Kota Bharu pada hari Ahad lalu telah ‘menghina Islam, hina hudud, hina Muslim, hina PAS’, tetapi belum kelihatan bayangnya. Tapi tak apa, saya boleh tunggu 48 jam lagi

Sudah tiga hari saya nantikan bukti yang menunjukkan bahawa ucapan saya di ceramah perdana “Kukuhkan Pakatan, Hancurkan Barisan” yang dianjurkan PAS Kota Bharu pada hari Ahad lalu telah ‘menghina Islam, hina hudud, hina Muslim, hina PAS’, tetapi belum kelihatan bayangnya.

Tapi tak apa, saya sedia menanti 48 jam lagi sehingga bukti dakwaan tersebut dikemukakan.

Malah, transkrip ucapan saya di Kota Bharu boleh didapati di internet, di blog, Twitter dan juga Facebook; dan sepatutnya tidak begitu sukar untuk menunjukkan di mana yang saya ‘menghina Islam, hina hudud, hina Muslim, hina PAS’ sekiranya benar saya berbuat demikian.

Saya amat berterima kasih dengan rakan-rakan rakyat Malaysia yang telah memberikan kata-kata semangat bahawa jelas dari transkrip ucapan tersebut bahawa saya tidak membuat sebarang kesilapan dalam ucapan di Kota Bharu itu, seperti yang boleh dilihat di komen-komen berikut di laman Facebook rasmi DAP:

Pelaut Tua sya dgr ucapan lks dari mula sampai habis...apa yg kurang ajarnya....lks tak tentang hudud pun, tak anti islam pun,..soal bolih atau tak bolih laksana hudud dalam negara yg majmuk bolih dibincang kemudian

Afifi Albarr Tak faham, apa yang kurang ajarnya? Dia tak hina Islam, dia tak hina hudud, dia tak hina Muslim, dia tak hina PAS, dia cakap benda-benda yang ulama Islam sendiri cakap.

Norol Hayati Sy pun tak faham...kat mane dlm transcript ucapan lks yg menghina islam dan kenyataan yg kurang ajar? He makes effort to study and understand islam....kita ni yg islam bagilah contoh terbaik dan try to educate non muslim about the beauty of islam...sy rasa malu pulak baca komen2 by nik amar sekiranya betul statement tu dtg dr dia.

Akilah Yusoff Dengar betul2 la apa Kit Siang kata.. Aku tak tahu part mana yg menghina islam tu..

Sekiranya saya ada membuat sebarang kesilapan dalam ucapan saya di Kota Bharupada hari Ahad, sama ada dalam rujukan saya terhadap Sheikh Yusuf Al-Qaradawi ataupun Rashid Ghannoushi, saya bersedia untuk belajar dan diperbetulkan. Tetapi tidak ada pun teguran memperbetulkan saya sepanjang tiga hari lalu.

Saya terperanjat apabila ucapan saya di Kota Bharu itu telah menimbulkan reaksi penuh emosi dan tidak rasional daripada beberapa pimpinan PAS, hatta ada laporan bahawa beberapa pemimpin PAS Kelantan mempertimbangkan untuk mengharamkan pimpinan DAP daripada berceramah di negeri itu.

Tetapi saya akan bersabar selama 48 jam lagi sebelum saya memberi respon kepada beberapa isu yang dibangkitkan berkait ucapan saya di Kota Bharu.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah