Langkah terbaik dan paling tepat untuk diambil oleh Najib ialah mendapatkan undi percaya apabila Parlimen kembali bersidang Isnin nanti

Langkah terbaik dan paling tepat untuk diambil oleh Datuk Seri Najib Razak ialah mendapatkan undi percaya selaku Perdana Menteri apabila Parlimen kembali bersidang Isnin nanti.

Walaupun belum pernah ada dahuluan usul tidak percaya dalam Parlimen Malaysia sepanjang 56 tahun lalu, terdapat dahuluan bagi usul undi percaya terhadap Perdana Menteri, yang telah diusulkan di Dewan Rakyat pada 27 Januari 1976 oleh Hussein Onn (ketika itu Dato’) apabila beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ketiga selepas kematian Tun Razak.

Sebelum ini juga terdapat cadangan supaya Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat membentangkan usul tidak percaya kepada Perdana Menteri apabila Parlimen kembali bersidang 18 Mei nanti, terutamanya memandangkan skandal RM42 bilion 1MDB yang kian membelon bakal melibatkan bukan sahaja semua rakyat Malaysia hari ini, tetapi juga generasi akan datang.

Selain daripada soal kesesuaian, kerana besar kemungkinan usul sedemikian dalam keadaan sekarang bukan sahaja sukar melepasi Aturan Mesyuarat untuk dibahas dan diputuskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat, malah kini terdapat masalah tambahan di mana agak sukar untuk mendapatkan sokongan penuh kesemua Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Memandangkan tidak ada sesiapa yang percaya dengan sandiwara yang dipentaskan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam yang kononnya ‘keadaan tidak pernah sedemikian baik dalam Umno’ dan ‘sokongan untuk Najib tidak pernah sebegitu kuat’ atau pernyataan Najib bahawa ‘tidak ada sesiapa yang boleh memisahkan saya dan Muhyiddin’ dan bahawa ‘mereka yang memfitnah kami, tidak sayangkan Umno’ – yang menjadikan bukan sahaja bekas-bekas menteri Umno, malahan juga bekas Perdana Menteri yang paling lama berkhidmat sebagai pengkhianat Umno – sebagai Perdana Menteri minoriti pertama dalam negara, Najib wajar membawa usul percaya di Parlimen pada hari Isnin demi membuktikan kepada negara dan dunia bahawa beliau masih menikmati kepercayaan majoriti Ahli Parlimen negara ini.

Adakah Najib cukup berani untuk membawa usul percaya di Parlimen pada hari Isnin nanti atau adakah beliau risau akan berlaku sesuatu yang tidak diduga dan beliau tewas dalam undian percaya pada hari Isnin nanti serta tidak lagi menjadi Perdana Menteri?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah