Kemenangan Azizah yang begitu mengkagumkan di pilihanraya kecil Permatang Pauh membuka jalan untuk beliau dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang
Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang begitu mengkagumkan di pilihanraya kecil Permatang Pauh membuka jalan untuk beliau dipilih semula sebagai Ketua Pembangkang.
Jenuh pemimpin Umno/BN berhujah dengan andaian bahawa PRK Permatang Pauh adalah peluang sekali seumur hidup untuk menawan kerusi tersebut, yang telah menjadi induk perubahan politik dan konsep ketuanan rakyat sepanjang 17 tahun lampau.
Walaupun Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi telah menjanjikan kejutan pada awal PRK ini, kempen Umno/BN yang paling kotor dan tidak jujur dalam sejarah pilihanraya Malaysia dengan mengeksploitasi dan menyalahgunakan media sosial dengan pembohongan dan fitnah, akhirnya gagal dan langsung tidak menambah kepada bahagian undi yang diperolehi Umno secara keseluruhan.
Umno/BN harus berterima kasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya, kerana sekiranya hari mengundi ditetapkan pada hujung minggu dan lebih ramai pengundi luar pulang mengundi serta peratus keluar mengundi mencecah 80% dan bukannya 74% seperti semalam. Azizah pastinya tidak akan bermasalah untuk mendapatkan majoriti yang lebih besar berbanding majoriti 11,721 undi yang dimenangi Anwar Ibrahim dalam PRU tahun 2013 (di mana peratus keluar mengundi adalah setinggi 88.2%).
Kemenangan Azizah di PRK Permatang Pauh adalah isyarat bahawa jalan ke hadapan haruslah diiringi politik keterangkuman – yang mendakap kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan daerah – bukannya politik eksklusif dan pecah-belah yang mengungguli satu kaum atau agama, mahupun politik tidak amanah, sama ada dengan menyebarkan pembohongan atau menyampaikan mesej politik yang berbeza kepada komuniti-komuniti yang berlainan seperti yang dilakukan oleh jurukempen Umno/BN dalam PRK kali ini.
Begitu banyak sandiwara politik dipentaskan sewaktu PRK Permatang Pauh yang telah mencetuskan publisiti dan keterujaan, namun hasilnya menunjukkan bahawa para pengundi mempunyai akal sihat yang tidak mudah dibuai oleh gembar-gembur media mahupun sandiwara tersebut.
Demikian pengajaran yang harus diambil oleh parti-parti Pakatan Rakyat daripada PRK Permatang Pauh – bahawasanya wujud keperluan segera untuk mendapatkan semula keyakinan, harapan dan kepercayaan majoriti pengundi seluruh negara yang telah mengundi Pakatan Rakyat sewaktu PRU ke-13.
Tidak ada masa depan bagi Pakatan Rakyat sekiranya ketiga-tiga parti komponen tidak dapat mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia yang telah meletakkan harapan dan kepercayaan tinggi kepada Pakatan Rakyat.