Tangguhkan perbahasan tujuh rang undang-undang anti-pengganas ke sidang Parlimen seterusnya yang bermula 18 Mei, dan tubuh Jawatankuasa Pilihan Khas untuk mengkaji dan membuat cadangan
Hari ini tangkapan ke atas dua lagi pengarang, penerbit The Edge Ho Kay Tat dan ketua eksekutif The Malaysian Insider Jahabar Sadiq, setelah tiga pengarang senior TMI Lionel Morais, Amin Shah Iskandar dan Zulkifli Sulong ditangkap semalam adalah tindakan terbaru oleh pihak polis dalam minggu lalu serta merupakan sebuah kempen untuk menimbulkan ketakutan di negara ini.
Tangkapan ini menimbulkan satu persoalan yang membimbangkan – sama ada pihak polis dan kerajaan hari ini boleh diamanahkan dengan kuasa tanpa had, sepertimana yang mereka kehendaki melalui undang-undang anti-pengganas.
Persoalan ini timbul pada waktu yang tepat, ketika Parlimen dipersembahkan dengan tujuh rang undang-undang anti-pengganas, yang akan memberi kuasa tanpa had kepada pihak Eksekutif untuk melakukan penahanan tanpa bicara yang tidak boleh dicabar di mahkamah.
Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah contoh paling baik di mana begitu ramai sekali tahanan ISA dikurung kerana tidak melakukan sebarang jenayah kecuali mempunyai pendirian politik yang berbeza dengan mereka yang berkuasa – contoh kezaliman ini ialah tangkapan beramai-ramai di bawah ISA melalui Ops Lalang, yang bukan sahaja memangsakan Ahli-ahli Parlimen Pembangkang dan pimpinannya, tetapi juga masyarakat sivil dan pihak media.
Malah, dengan lebih 100 tangkapan oleh pihak polis dalam seminggu ini, kita boleh bertanya sama ada negara sedang melihat pementasan semula Ops Lalang.
Saya pernah menjadi mangsa ISA ketika Ops Lalang dalam tahun 1987.
Saya ingat ketika saya ditahan buat kali kedua di bawah ISA dan dihantar ke Kem Tahanan Kamunting pada tahun 1987 bersama tahanan-tahanan Ops Lalang yang lain, kami menemukan tahanan-tahanan ISA yang telah dilupakan oleh pihak berkuasa; ada yang ditahan lebih sepuluh tahun, ada yang lebih 13 tahun dan seorang lagi lebih 16 tahun.
Hasil usaha kami menampilkan ketidakadilan dan pelanggaran hak asasi ini di dalam dan luar Parlimen lah maka tahanan-tahanan ISA ini akhirnya dibebaskan.
Ini salah satu hasil yang amat mengejutkan bagi penahanan tanpa bicara yang tidak diperiksa dan tidak boleh dicabar.
Bagi mengelak kezaliman dan pelanggaran hak asasi manusia ini berulang kembali, saya menyeru Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbahasan tujuh rang undang-undang anti-pengganas ke sidang Parlimen seterusnya yang bermula 18 Mei, dan pada masa yang sama menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas secara rentas-parti untuk mengkaji dan membuat cadangan ke atas rang undang-undang anti-pengganas tersebut sebelum 18 Mei.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara harus menghentikan kempen ketakutan ini, membebaskan segera kelima-lima pengarang TMI kerana tidak ada sebab siasatan polis terhadap mereka tidak boleh dilakukan tanpa perlu pihak polis menunjuk hebat dan mengurung mereka, sepertimana yang telah disaksikan oleh negara ketika pihak polis menyalahgunakan kuasa menahan Ahli-ahli Parlimen dan ADUN, sehingga digari, dirantai, dimalukan dan dikurung secara paksa dalam lokap-lokap polis, sedangkan sekiranya pihak polis bertindak efisyen, layanan polis yang begitu kasar dapat dielakkan.