Terima kasih Dave, lega rasanya tidak berjuang sendirian ke arah Impian Malaysia

Memang lega rasanya apabila tidak bersendirian dalam perjuangan menuju Impian Malaysia di mana rakyatnya tanpa mengira kaum, agama dan daerah bersatu-padu dalam satu wawasan dan tujuan yang sama demi membangun sebuah negara yang bersatu, demokratik, bebas, adil, mampu bersaing dan makmur bagi semua rakyat Malaysia.

Saya merujuk surat terbuka Dave Anthony kepada saya yang berakhir demikian: “Saudara Kit Siang, suara anda mungkin sendirian walaupun dalam DAP. Tidak mengapa, anda majulah ke depan dan biar suara anda didengari dengan jelas oleh semua rakyat Malaysia. Anda telah memberi kami talian hayat, dan saya pasti akan ada cukup bilangan antara kami yang menyambutnya. Malaysia amat memerlukan seorang pemimpin seperti anda.”

(Saudara Kit Siang, yours may be the lone voice even in the DAP. Never mind, you too step forward and please let your voice ring loud and clear to reach the ears of all Malaysians. You have thrown us a life-line, and I am sure enough of us will take it. Malaysia desperately needs a leader like you.)

Terima kasih Dave, kerana turut memberikan saya talian hayat!

Benar, apa yang saya bangkitkan sepanjang minggu lalu mewakili pandangan saya sendiri dan bukanlah pendirian rasmi DAP, kerana ia tidak pernah dibincangkan di mana-mana lapis badan pembuat keputusan dalam DAP.

Sepanjang minggu lalu, sejak majlis makan malam DAP Bukit Bintang, saya telah memberikan satu cadangan, memandangkan politik Malaysia berada dalam keadaan terawang-awang, bahawa mungkin telah tiba masanya untuk sebuah koalisi baru ‘Selamatkan Malaysia’ ditubuhkan, yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen dari kedua-dua belah Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat yang bersedia mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ini kerana dua pakatan politik di negara ini, Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat, telah mengalami kerosakan yang amat teruk bulan ini lantaran pergerakan dan permainan politik Umno seperti yang dimulakan oleh Menterinya di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Parlimen pada 27 Mac 2014; bahawa Kerajaan Persekutuan bersedia untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri PAS Kelantan untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.

Natijahnya ialah kerosakan yang amat serius dan barangkali tidak dapat dipulihkan di kedua-dua pihak:

  • Pakatan Rakyat: apabila secara bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan prinsip konsensus bahawa tidak ada satu parti atau pemimpin mempunyai kuasa veto dalam pakatan tiga parti, PAS Kelantan meneruskan rancangan membentangkan semula Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 dengan pindaan-pindaan, pada 19 Mac (dengan sokongan Adun Umno Kelantan); serta usul persendirian oleh Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Hadi Awang, berkenaan pelaksanaan hudud. Sehingga sekarang, Ahli-ahli Parlimen PKR dan DAP masih belum melihat usul persendirian Hadi, meskipun Hadi dan PAS telah bersetuju dalam mesyuarat Majlis Pimpinan pada 8 Februari 2015 bahawa cadangan pindaan terhadap Enakmen Jenayah Syariah Kelantan dan sebarang usul persendirian hendaklah dibentangkan kepada Majlis Pimpinan terlebih dahulu untuk dibincangkan.
  • Barisan Nasional, dengan pergelutan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno/BN yang masuk hari kesebelas masih gagal memenuhi janji untuk mengeluarkan kenyataan pada 20 Mac 2015 - sedangkan lima Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah tidak akan teragak-agak untuk memperkukuhkan prinsip pembinaan negara BN dan sebelumnya Perikatan, bahawa undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak sesuai dengan negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Pergelutan 11 hari Najib yang masih gagal menyatakan pendirian jelas sesuatu yang telah menjadi prinsip utama pembinaan negara bagi BN dan sebelumnya Perikatan, adalah satu anjakan besar terhadap dasar pembinaan negara dalam mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Dalam keadaan begini, saya telah mengajak rakyat Malaysia untuk memikirkan sesuatu yang mustahil dan membayangkan sebuah lanskap politik pasca BN dan PR, sekiranya kedua-dua BN dan Pakatan Rakyat tidak mampu diselamatkan.

Mungkinkah BN menyelamatkan integriti, kredibiliti dan legitimasinya? Ya, jika Najib boleh mengatasi kejenuhannya dan berhenti melengahkan pendirian jelas memperkukuhkan kembali prinsip utama asas pembinaan negara yang dipegang oleh BN dan sebelumnya Perikatan bahawa undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, Perjanjian Malaysia 1963 dan tidak sesuai dengan sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia.

Bolehkah PR menyelamatkan integriti, kredibiliti dan legitimasinya? Ya, sekiranya semua parti komponen Pakatan Rakyat kembali menyatakan tekad terhadap Dasar Bersama dan prinsip konsensus bahawa tidak ada satu parti atau pemimpin mempunyai kuasa veto dalam Pakatan Rakyat, dan bahawa kenyataan ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 berkenaan hudud merujuk kepada kisah lama perbezaan pendapat DAP dan PAS mengenai Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 dan bukanlah ‘blank cheque’ untuk membolehkan PAS bertindak secara unilateral tanpa persetujuan daripada ketiga-tiga parti komponen dalam Pakatan Rakyat dalam isu apa sekali pun.

Jika jawapannya negatif bagi kedua-dua persoalan di atas, maka rakyat Malaysia mesti memikirkan secara serius untuk mewujudkan sebuah lanskap politik baru bagi sebuah Kerajaan Persekutuan pasca BN dan PR sebelum Pilihanraya Umum ke-14, dengan keutamaan untuk mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Sekiranya pakatan baru itu mendapat sokongan majoriti 222 Ahli Parlimen, maka kita akan ada Perdana Menteri baru, yang boleh jadi datang dari Semenanjung Malaysia, Sarawak atau Sabah; boleh jadi lelaki atau wanita.

Nama-nama yang saya sebutkan di Kota Kinabalu adalah Anifah Aman (Menteri Luar), Rosnah Rashid Shirlin (Timbalan Menteri Kerja Raya), Abdul Ghapur Salleh (Ahli Parlimen Kalabakan) dari Sabah, dan Datuk Seri Fadillah Yusuf (Menteri Kerja Raya), Datuk Nancy Shukri (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) dan Rohani Abdul Karim (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dari Sarawak.

Cadangan nama-nama ini telah menimbulkan sedikit kekecohan. Satu komen di Facebook saya menyebut: “Saya lebih suka Ketua Menteri Sarawak sekarang (Adenan Satem).”

Bukannya saya tidak setuju, tetapi kita bercakap tentang kumpulan Ahli-ahli Parlimen yang dilantik dalam PRU ke-13 - sebelum PRU ke-14 - dan Adenan Satem bukanlah seorang Ahli Parlimen. Permainannya pastilah berbeza sekiranya Parlimen dibubar dan sebuah pilihanraya baru diadakan.

Saya minta maaf kepada Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, kerana tidak memasukkan beliau ke dalam senarai memandangkan beliau menyokong tindakan Najib melengah-lengahkan kenyataan memperkukuh prinsip dan pendirian 58 tahun Barisan Nasional/Perikatan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.

Saya faham dan saya maafkan kemarahan beliau dalam kenyataan yang dikeluarkannya setelah tidak termasuk dalam senarai saya.

Abdul Rahman cuba mencari modal daripada kenyataan awal saya di Kota Kinabalu pada hari Sabtu bahawa senario politik pasca BN dan PR di Sabah mungkin bermakna Sabah akan mendapat Ketua Menteri yang baru - dengan kembalinya Joseph Pairin Kitingan atau Salleh Keruak sebagai Ketua Menteri; atau Hajiji Noor (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) atau Masidi Manjum (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) boleh menjadi Ketua Menteri yang baru.

Abdul Rahman menuduh saya berangan dan memberi tamparan hebat kepada pemimpin Pakatan Rakyat Sabah kerana memilih pimpinan BN berbanding pemimpin PR Sabah sebagai Ketua Menteri negeri itu, sambil berkata:

“Saya tidak pernah menyangka kenyataan begini kan hadir daripada Lim kerana ia menunjukkan bahawa beliau tidak ada keyakinan dengan Pakatan Rakyat di Sabah. Tanpa disedari, Lim telah melakukan satu kesilapan dan Pakatan patut tutup kedai sahaja kerana ia tidak lagi ada maruah di negeri ini.”

(“I never thought this statement would come from Lim as it shows that he has no confidence for Pakatan Rakyat in Sabah. Unwittingly, Lim has made a blunder and Pakatan should close shop as it has no more dignity in the state.”)

Malangnya Abdul Rahman begitu marah kerana tidak masuk senarai saya sehinggakan beliau tidak membaca apa yang saya katakan dalam sebuah sidang media di Kota Kinabalu tentang isu tersebut pagi semalam dan kenapa saya tidak menamakan pemimpin PKR Sabah, Datuk Lajim Ukin.

Inilah yang telah saya katakan:

“Dengan segera saya telah ditanya kenapa saya tidak namakan pemimpin PKR Sabah Datuk Lajim Ukin. Bukan kerana saya rasa Lajim tidak layak menjadi Ketua Menteri Sabah, tetapi melihat kepada konfigurasi DUN Sabah, jelas bahawa tidak mungkin untuk mendapatkan sokongan bagi seorang calon PR. Jika kita mahu menggunakan keputusan PRU ke-14, maka lain cerita.”

Senarionya pasti berbeza di peringkat Kerajaan Persekutuan dengan sebuah kerajaan pasca BN dan PR yang mempunyai keutamaan mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Ini kerana kerajaan Barisan Nasional di Putrajaya adalah sebuah kerajaan minoriti kerana Pakatan Rakyat lah yang mempunyai sokongan 53% pengundi dalam PRU ke-13 pada Mei 2013.

Inilah sebabnya kenapa saya katakan bahawa kerajaan persekutuan pasca BN dan PR yang mempunyai keutamaan mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang boleh mempunyai Perdana Menteri dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak, boleh jadi lelaki atau wanita, dan seorang Ahli Parlimen dari BN atau PR.

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pilihan Pakatan Rakyat sebagai Perdana Menteri ketujuh sekiranya Pakatan Rakyat berjaya memenangi bukan sahaja majoriti undi tetapi juga majoriti kerusi Parlimen.

Situasi baru akan timbul sekiranya benar laporan bahawa Jawatankuasa Pengampunan telah menolak petisyen permohonan ampun bagi Anwar Ibrahim - kerana itu bukan sahaja bermakna akan berlangsung pilihanraya kecil di Permatang Pauh tetapi juga mengesampingkan Anwar sebagai calon Perdana Menteri sehinggalah beliau diampunkan.

Dalam keadaan itu, siapakah yang mungkin menjadi Perdana Menteri dari Semenanjung Malaysia, sambil turut memikirkan bahawa beliau mestilah komited mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

Bagi Umno, nama yang saya boleh fikirkan adalah Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Nazri Aziz dan Datuk Nur Jazlan Mohamad.

Daripada PKR, calon Perdana Menteri dari kumpulan Ahli Parlimen sekarang adalah Nurul Izzah Anwar, Azmin Ali dan Rafizi Ramli.

Kerajaan Persekutuan baru pasca BN dan PR bukan sahaja mesti mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang tetapi juga memupuk persefahaman dan perpaduan di kalangan rakyat berasaskan prinsip yang memelihara kepentingan bersama.

Perpaduan nasional mestilah mencerminkan semangat solidariti yang sebenar, persefahaman dan kebersamaan antara kaum, budaya dan agama. Ia mesti berjanji untuk membina semula sebuah masyarakat yang bersatu walau berbilang kaum, di mana kaum-kaum yang berbeza boleh hidup bersama dalam aman dan sejahtera.

Ia mempunyai tujuh tugasan utama iaitu:

i. Menumpukan kepada usaha memperbaiki hubungan antara kaum dan agama yang telah merosot

ii. Menyepadukan usaha-usaha semua pihak berkepentingan bagi mengembalikan rasa muhibah, hormat-menghormati dan rasa percaya yang telah lama diamalkan oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

iii. Menggubal undang-undang Akta Hubungan Kaum bagi mempertahankan perpaduan dan keharmonian rakyat, dan menghapuskan diskriminasi antara kaum.

iv. Mendapatkan sokongan dari setiap lapis masyarakat supaya ia dapat berpegang kepada semua prinsip dan dan norma yang patut dijunjung dalam sebuah masyarakat terbuka

v. Berusaha menghapuskan amalan politik perkauman melalui pelbagai cara termasuklah pendidikan, media massa, dialog dan perundingan.

vi. Memupuk budaya Malaysia berasaskan nilai-nilai moral dan kecemerlangan yang diterima semua rakyat Malaysia. Ini memerlukan sikap terbuka terhadap kepelbagaian budaya yang diamalkan pelbagai kaum dan kumpulan etnik di Malaysia. Objektif ini hendaklah dicapai sambil mengambil kira sejarah dan evolusi negara.

vii. Memperbaiki kebajikan Orang Asli, Orang Asal dan semua kumpulan minoriti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak di samping mempertahankan hak-hak asasi, ekonomi dan sosial mereka.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah