Siapa yang boleh menjadi Perdana Menteri bagi sebuah pakatan kerajaan baru di Malaysia, demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan?

DAP menyokong penuh pendirian 25 orang Melayu ternama mantan penjawat awam (G25) yang menggesa Putrajaya menjunjung Perlembagaan Persekutuan, dan bahawasanya pelaksanaan undang-undang hudud bermakna negara telah meninggalkan jalan kesederhanaan yang telah menjadi pilihan negara sejak ia Merdeka pada tahun 1957 dan kemudian setelah tertubuhnya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Kenyataan G25 menyebut:

“Pengenaan undang-undang hudud PAS akan memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia telah meninggalkan jalan kesederhanaan” (The imposition of PAS' hudud laws will signify to the world that Malaysia has abandoned the moderate path.)

“Kita akan dilihat sebagai sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang berasaskan agama, yang boleh melalui pelbagai ragam tafsiran para ulama’ yang juga manusia biasa yang berbuat silap”

(We will be seen as a country governed by religious laws which are subjected to the vagaries of interpretation of the ulama who are also fallible human beings.)

Saya bukan seorang Muslim tetapi saya berbekalkan petikan ilmuan Islam yang diberi kumpulan G25 berkenaan hal ini, terutamanya Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, yang mengatakan bahawa pelaksanaan Syariah mestilah ditadbir oleh ijtihad, bagi menentukan bagaimana ia mahu dikuatkuasakan hari ini, kerana tidak boleh menggunakan ketetapan dari teks lama untuk diaplikasikan kepada masyarakat moden.

G25 menyatakan bahawa masalah yang diutarakan Sheikh Qaradawi ialah bahawa hudud dilaksanakan sebelum syarat-syarat pelaksanaannya dipenuhi, termasuklah:

  • Menonjolkan Islam sebenar, di mana masyarakatnya beriman dan bertaqwa,
  • Memastikan keperluan ekonomi rakyat dipenuhi,
  • Menyediakan peluang pekerjaan kepada semua; dan
  • Mengurangkan jurang pendapatan dan memastikan kemiskinan lenyap sama sekali.

Berikutan penjelasan Sheikh Qaradawi ini, mereka kemudiannya bertanya sama ada mana-mana negeri di Malaysia boleh mendakwa bahawa mereka telah memenuhi kesemua syarat bagi membolehkan pelaksanaan hudud?

Timbalan Menteri Besar Kerajaan Negeri PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah awal-awal lagi telah menolak pendirian ini, sambil mendakwa adalah mustahil untuk melaksanakan hudud hanya apabila sesebuah negeri bebas daripada kemiskinan.

Menjawab kritikan bahawa Kelantan hanya patut melaksanakan hudud setelah masalah kemiskinan diselesaikan, Nik Amar bertanya, “Di mana dalam dunia ini ada negara seperti itu?”

“Ia semacam utopia, utopia ini sesuatu yang tidak dapat dicapai, ia mustahil.”

Sebelum Pilihanraya Umum ke-13 pada bulan Mei 2013, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah menjelajah ke seluruh negara dan berkata bahawa hudud hanya boleh dilaksanakan sekiranya syarat-syarat yang secukupnya dipatuhi, sambil memberi contoh bahawa sekiranya tidak ada undang-undang gaji minima atau penyelesaian masalah kemiskinan dan pengangguran, syarat pelaksanaan hudud tidak wujud sama sekali.

Adakah Hadi bersalah mengejar utopia atau adakah beliau tidak berlaku jujur dengan janjinya kepada pengundi?

DAP juga bersetuju dengan kenyataan kumpulan G25 bahawa pelaksanaan hudud melanggar Persetujuan 20 Perkara dan 18 Perkara yang telah dirunding oleh Kerajaan Persekutuan dengan Sabah dan Sarawak masing-masing, sebelum pembentukan Malaysia.

Bagi Sabah, perkara pertama menyebutkan bahawa “Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Sabah, dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Sabah.”

Begitu juga dalam Perjanjian 18 Perkara Sarawak ada ditekankan bahawa semua orang berhak beribadat menurut kepercayaan dan kehendaknya.

Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan akan dicabul dengan serius sekiranya undang-undang hudud PAS dilaksanakan.

Malah, sekiranya Najib mengumumkan bahawa Umno/BN menyokong usul persendirian oleh Presiden PAS Hadi Awang, Najib pastinya kehilangan semua kredibiliti dan mandat dalam soal inisiatif antarabangsanya, Global Movement of Moderates - sesuatu yang terus didukungnya di forum-forum antarabangsa termasuk di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu beberapa tahun lalu.

Ini sebabnya kenapa godaan konspirator UG Umno terhadap PAS dengan berumpankan pelaksanaan hudud di Kelantan boleh sahaja menjadi senjata yang menikam diri sendiri, ia mampu menghancurkan kedua-dua Pakatan Rakyat dan juga Barisan Nasional.

Selagimana Najib masih bergelut dan terhalang daripada menyatakan secara jelas pendirian yang dipegang oleh lima Perdana Menteri sebelumnya, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah; bahawasanya undang-undang hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesuai dengan sebuah negara yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia; maka tibalah masanya untuk meneroka kemungkinan siapa pula yang akan menjadi Perdana Menteri baru bagi sebuah kerajaan gabungan untuk ‘Selamatkan Malaysia’ demi mempertahankan Perlembagaan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah