Kerajaan Persekutuan mesti percepatkan kerja bantuan dan pembinaan semula pasca bencana banjir bagi memastikan usaha memulihkan Kelantan daripada kehancuran akibat banjir paling teruk dalam sejarah tidak memakan masa sehingga setahun

Melawat semula Kampung Manek Urai Lama dan juga tadi di Kuala Krai bersama Gabungan Impian Kelantan (GIK) yang diketuai Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke beserta ahli-ahli GIK yang lain termasuk Young Syefura (Rara), Dr Tajuddin Shafee dan Vincent Wu; bagaikan melawat kawasan baru selepas perang, yang paling teruk terjejas di Kelantan selepas banjir paling teruk dalam sejarah hujung tahun lalu.

Sepanjang dua minggu sidang Parlimen ini, Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat telah membangkitkan banyak persoalan dan isu berkenaan bencana banjir di Kelantan pada hujung tahun lalu.

Bencana banjir 2014 itu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, tetapi kerosakan seharusnya dapat diminimakan sehingga tidak mengakibatkan kehilangan 25 nyawa, jutaan mangsa banjir dengan suku juta terpaksa dipindahkan; serta membawa kerugian berbilion ringgit, sekiranya plan pengurusan bencana di ketiga-tiga peringkat respon, bantuan dan bina semula dirangka dan dijalankan dengan baik.

Di Parlimen semalam, saya telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan kassim untuk mendapatkan jaminan daripada Kerajaan Pusat bahawa tempoh masa untuk Kelantan benar-benar pulih sepenuhnya daripada kerosakan akibat banjir ini tidak akan sampai satu tahun.

Dalam jawapannya di Parlimen kepada soalan saya tentang amaun yang telah diperuntukkan serta telah diagihkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk kerja-kerja pemulihan di Kelantan, Terengganu dan Pahang selepas banjir tahun lalu; Shahidan turut menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan merancang untuk membina 1,346 buah rumah di negeri Kelantan.

Bagaimanapun, belum ada walau satu pun rumah yang dibina oleh Kerajaan Persekutuan walaupun sudah tiga bulan berlalu sejak bencana banjir tersebut.

Ini sebabnya saya bertanya sama ada Kerajaan Persekutuan akan memakan masa setahun atau lebih sebelum Kelantan dapat dipulihkan sepenuhnya daripada kerosakan dan kehancuran akibat banjir tahun lalu.

Dalam bencana ini, NGO dan orang perseorangan telah tampil membantu mangsa banjir yang ada antaranya tidak mempunyai bekalan makanan, air tempat berteduh, elektrik serta terputus hubungan selama beberapa hari.

Shahidan wajar memberi jaminan di Parlimen minggu depan bahawa lumpuhnya jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam menguruskan bencana tidak akan berulang pada masa akan datang.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah