Nampaknya Dasar Bersama Pakatan Rakyat akan dilanggar oleh PAS Kelantan, dan tiada seorang pun dalam kepimpinan nasional PAS bersedia, mempunyai kemampuan mahupun kuasa untuk mengingatkan Kerajaan Negeri PAS Kelantan supaya menghormati Dasar Bersama tersebut

Nampaknya seakan sudah tidak ada jalan kembali lagi, apabila Dasar Bersama Pakatan bakal dimungkiri oleh PAS Kelantan dalam sidang DUN Kelantan pada hari Rabu.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hampir setiap hari mengulangi bahawa Kerajaan Negeri PAS Kelantan akan meneruskan pembentangan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 12 Mac lalu.

Nampaknya tidak ada sesiapa pun dalam kepimpinan nasional PAS yang bersedia, berkemampuan atau berkuasa untuk mengingatkan Kerajaan Negeri PAS Kelantan bahawa ia sepatutnya menghormati Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Sekiranya hudud merupakan isu kontroversi pada PRU ke-13 pada 5 Mei 2013, Umno dan Barisan Nasional bukan sahaja akan mendapatkan semula majoriti dua-pertiga . malah Pakatan Rakyat juga akan kehilangan Selangor, selain Kedah; manakala Johor akan kembali menjadi kubu kuat Umno/BN.

Pilihanraya umum sebelum-sebelum ini telah membuktikan bahawa isu hudud tidak pernah menjadi penentu kejayaan bagi PAS, dan Terengganu menjadi contoh terbaik.

Dalam PRU ke-10 pada tahun 1999, PAS dan PKR memenangi lapan kerusi parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN di Terengganu, ekoran penentangan terhadap Umno yang timbul daripada mata lebam Anwar Ibrahim serta gerakan Reformasi.

Namun walaupun Enakmen Hudud Terengganu diluluskan pada tahun 2001, PAS dan PKR hanya mampu mengekalkan satu daripada lapan kerusi parlimen, dan hanya 4 daripada 28 kerusi DUN dalam PRU ke-11 pada tahun 2004 – dan turut kehilangan Kerajaan Negeri Terengganu.

Sekiranya hudud menjadi isu kempen utama dalam PRU ke-13 pada tahun 2013, Pakatan Rakyat tidak akan mencapai keputusan pilihanraya di mana ia menang 89 kerusi Parlimen dan 229 kerusi DUN, kerana sebarang peningkatan sokongan Melayu kepada Pakatan Rakyat boleh diabaikan, manakala kehilangan sokongan pengundi bukan Melayu kepada calon Pakatan pula akan menjadi sangat signifikan.

Kehilangan 10% undi bukan-Melayu kepada Pakatan pada PRU ke-13 bermakna Pakatan kehilangan 19 kerusi Parlimen dan 40 kerusi DUN; manakala kehilangan 20% undi bukan Melayu pula bermakna Pakatan kehilangan 43 kerusi Parlimen dan 95 kerusi DUN.

Dalam kedua-dua senario kehilangan 10% dan 20% sokongan pengundi bukan-Melayu, Umno/BN akan berjaya mendapatkan semula kawalan dua-pertiga ke atas Parlimen.

Sekiranya kita kehilangan 20% sokongan pengundi bukan-Melayu, PAS akan berakhir dengan hanya lima kerusi DUN di Selangor berbanding 15, 5 kerusi DUN di Kedah berbanding 9, 1 kerusi di Perak berbanding 5; 2 berbanding 3 di Pahang; serta tiada langsung kerusi di Melaka dan Johor, yang kini masing-masing mempunyai seorang dan empat orang Adun PAS.

DAP, PAS dan PKR telah mencapai keputusan parlimen dan DUN terbaik sewaktu kerjasama tiga pihak pada PRU tahun 1999, 2008 dan 2013 berbanding kesemua PRU sebelumnya.

Bagi PAS terutamanya, daripada sebuah parti tempatan yang terhad kepada kawasan Utara di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, PAS berubah menjadi parti nasional dalam PRU ke-13 dengan wakil rakyat di peringkat Parlimen dan DUN di setiap negeri di Semenanjung Malaysia, kecuali Negeri Sembilan.

Kesemua pencapaian ini tidak akan berlaku sekiranya hudud menjadi isu kontroversi dalam PRU tahun 2013, atau sekiranya Pakatan terpaksa berpecah kerana gagal mempertahankan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Jika demikian keadaannya, Umno dan BN lah yang menang, manakala yang rugi adalah perkembangan sihat demokrasi di Malaysia yang sepatutnya menghalau Umno/BN daripada Putrajaya pada PRU ke-14 kelak.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah