Selangkah sahaja lagi sebelum MCA dan Gerakan turut membenarkan wakil rakyatnya menyokong hudud, setelah mereka bersetuju membenarkan Adun Umno Kelantan menyokong hudud di DUN Kelantan
MCA dan Gerakan tinggal selangkah sahaja sebelum membenarkan wakil rakyatnya menyokong hudud di Dewan-dewan Undangan Negeri lain, setelah mereka bersetuju membenarkan Adun Umno Kelantan menyokong usul pelaksanaan hudud di DUN Kelantan beberapa hari lagi.
Apabila Adun Umno Kelantan menyokong pelaksanaan undang-undang hudud PAS Kelantan dalam sidang DUN Kelantan pada 18 atau 19 Mac, itulah dia hari ‘D-Day’ buat MCA, kerana itu pastinya sesuatu yang tidak pernah dibayangkan oleh pendiri parti MCA dan Gerakan seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin dan Tun Dr Lim Chong Eu akan terjadi dalam MCA dan Gerakan – untuk bersetuju secara langsung atau tidak langsung, secara jelas atau diam-diam bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara sekular.
Apabila MCA dan Gerakan bersetuju dengan sokongan Adun Umno Kelantan terhadap pelaksanaan hudud oleh PAS di Kelantan, MCA dan Gerakan akan membuat teladan yang membenarkan Adun Umno di negeri-negeri lain untuk turut bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud.
Kita kemudiannya tinggal setapak sahaja lagi sebelum wakil rakyat MCA dan Gerakan sendiri menyokong pelaksanaan hudud di Dewan-dewan Negeri yang lain.
Sekiranya MCA dan Gerakan tidak mempunyai bantahan terhadap sokongan Adun Umno untuk pelaksanaan hudud di Dewan-dewan Undangan Negeri, bagaimana kepimpinan MCA dan Gerakan akan membantah Adun-Adunnya sendiri daripada mengambil langkah terakhir itu dan menyokong sendiri pelaksanaan hukum hudud di DUN masing-masing?
Jelas sekali Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan keseluruhan pimpinan MCA dan Gerakan tidak memikirkan kesan jangka panjang taktik Machiavellian mereka untuk memberi sokongan secara senyap terhadap Adun Umno Kelantan dan mengingkari dasar-dasar Barisan Nasional (dan sebelumnya Perikatan) bahawa hudud adalah bertentangan dengan prinsip asas Perlembagaan Malaysia seperti yang dipersetujui oleh para pengasas negara daripada semua kaum dan agama di negara ini sebelum tercapainya Merdeka pada tahun 1957 dan pembentukan Malaysia pada tahun 1963.
Sekiranya pemimpin nasional MCA dan Gerakan mempunyai prinsip, komitmen dan wawasan, saya ingin meminta mereka mengadakan mesyuarat tergempar, bukan sahaja di peringkat jawatankuasa pusat MCA dan Gerakan tetapi juga Majlis Tertinggi Barisan NAsional sendiri untuk mengukuhkan kembali prinsip pembinaan negara – yang akan pastinya dicabul sekiranya Adun Umno Kelantan menyokong pelaksanaan hudud dalam sidang DUN Kelantan nanti.
Tetapi saya tidak akan berbuat demikian, mengetahui had-had, kelemahan dan kegagalan kepimpinan MCA dan Gerakan masa kini.
Mereka malah sebenarnya memberikan reputasi buruk terhadap ‘kesederhanaan’, dengan menyatakan sokongan terhadap kesederhanaan sedangkan mereka sebenarnya bersedia mengkhianati prinsip asas kesederhanaan oleh pengasas parti mereka, seperti Tun Tan Cheng Lock , Tun Tan Siew Sin dan Tun Dr Lim Chong Eu.
Rakyat Malaysia yang moderat, tanpa mengira kaum dan agama, mahu semua parti politik untuk berpolitik secara berpendirian tetap, konsisten dan berprinsip.
Persetujuan MCA dan Gerakan membenarkan Adun Umno Kelantan menyokong pelaksanaan hudud oleh PAS Kelantan adalah suatu pelanggaran prinsip asas MCA, Gerakan dan Barisan Nasional.
Sekiranya DAP bersetuju dengan Adun PAS Kelantan untuk menyokong pelaksanaan hudud selepas pembentukan Pakatan Rakyat pada tahun 2008, ia juga merupakan pelanggaran prinsip DAP dan juga Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
Namun DAP terus tetap pendirian, konsisten dan berprinsip dalam pendiriannya bahawa undang-undang hudud serta pelaksanaannya adalah bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga Perlembagaan Persekutuan.
Namun MCA, Gerakan bersama-sama dengan Umno, telah tersesat dari asas pembentukan parti mereka, di mana undang-undang hudud dan pelaksanaannya adalah bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan.
Mampukah pemimpin serta presiden MCA dan Gerakan memberi justifikasi pengkhianatan mereka terhadap prinsip asas dan pendirian parti masing-masing?
Adalah amat dangkal, mementingkan diri dan satu pengkhianatan terhadap prinsip bagi generasi kepimpinan MCA dan Gerakan sekarang untuk terlibat dalam permainan Unity Government oleh pengkomplot Umno bagi mempergunakan hudud untuk memecahbelah, menggugat dan menghancurkan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Umno/BN dalam PRU ke-14 akan datang.
Di persimpangan ini, masihkah sempat untuk mereka menarik diri?