Malaysia bukan sahaja memerlukan Menteri Kewangan yang baru, bahkan juga seorang Menteri Pendidikan bertaraf dunia
Desakan supaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan Menteri Kewangan, yang diketuai Ahli Parlimen Kluang yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAP Liew Chin Tong, kini mencapai satu tahap baru berikutan kenyataan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menarik dukungannya terhadap cara Najib mengendalikan skandal RM42 bilion 1MDB, dengan tiga pendirian:
- Bahawa Ketua Audit Negara mesti mengaudit secara bebas akaun 1MDB sehingga 2009, ketika 1MDB dimulakan, dan bukan setakat akaun 2013, bersekali dengan audit forensik bagi memastikan tidak wujud rasuah dalam transaksi 1MDB.
- Bahawa Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) memulakan siasatan terhadap 1MDB tanpa perlu menunggu dapatan Ketua Audit Negara.
- Tidak ada sebarang usaha menyelamatkan 1MDB dengan cara menjual tanah Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia yang diperolehi daripada kerajaan dengan harga murah.
Pun begitu, negara bukan sahaja memerlukan seorang Menteri Kewangan yang baru, tetapi juga Menteri Pendidikan yang baru, ini menjadi satu keperluan yang ditekankan selepas ucapan Muhyiddin hari ini ketika menyatakan rasa terkejutnya terhadap prestasi hambar pelajar Malaysia dalam penilaian antarabangsa, walaupun berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk memperbaiki sistem pendidikan.
Apa yang lebih memeranjatkan tentang rasa terkejut Muhyiddin itu ialah, hanya selepas 15 bulan beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan baru beliau terkejut dengan prestasi menyedihkan anak-anak Malaysia berusia 15 tahun dalam tiga subjek matematik, sains dan pembacaan dalam penilaian PISA 2012, sedangkan hasil penilaian tersebut telah diterbitkan 15 bulan lalu, pada awal Disember 2013.
Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 15 bulan Menteri Pendidikan menyatakan rasa terkejutnya atau pun memberikan ulasan terbuka mengenai hasil penilaian PISA 2012.
Sepanjang 15 bulan lalu, apa yang Muhyiddin buat?
Malah sehingga kini pun Muhyiddin nampaknya masih belum mampu memahami betapa seriusnya pencapaian menyedihkan pelajar Malaysia apabila dibandingkan dengan rakan-rakan seusia dari negara lain, sama ada dalam PISA atau TIMSS.
Bercakap dalam suatu majlis di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam, Muhyiddin berkata:
"Pandai, namun diletakkan dalam ujian antarabangsa seperti TIMSS dan Pisa, ia bukan satu rahsia dan kedudukan kita dikatakan satu pertiga di bawah dan bukan di atas.
"Saya selaku menteri pendidikan terperanjat dilapor begitu, namun saya perlu terima walaupun sudah dikatakan baik namun belum cukup baik."
Tidak ada pengakuan kegagalan yang lebih jelas di pihak sebagai Menteri Pendidikan sepanjang enam tahun lalu.
Kenapa Muhyiddin masih lagi menjadi Menteri Pendidikan?
Muhyiddin nampaknya tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah mempengerusikan penyusutan standard pendidikan yang berpanjangan di kalangan pelajar Malaysia sepanjang enam tahun lalu, dan masalahnya bukan sekadar prestasi pelajar yang jatuh di kedudukan sepertiga terbawah berbanding di kedudukan sepertiga teratas dari segi pencapaian dalam penilaian pelajar antarabangsa, tetapi juga tiga masalah lain yang dihadapi oleh pelajar Malaysia.
Tiga masalah yang dihadapi oleh pelajar Malaysia, sebagaimana yang disebut oleh laporan PISA dan TIMMS adalah:
- Malaysia tersekat di kedudukan sepertiga terbawah dari kalangan negara yang terlibat dalam penilaian antarabangsa dan tidak membuat sebarang peningkatan menuju tingkat sepertiga teratas dari kalangan negara-negara yang dinilai.
- Walaupun berada di kedudukan sepertiga terbawah, Malaysia sedang dipintas oleh negara-negara lain dalam kumpulan tersebut, seperti Kazakhstan dan Thailand.
- Namun keputusan yang paling tidak menyenangkan dalam PISA 2012 ialah bertambahnya jurang antara Malaysia dan negara-negara berprestasi cemerlang. Kesenjangan dalam skor antara murid 15 tahun di Malaysia berbanding rakan seusianya di Singapura, Korea Selatan, Hong KOng dan Shanghai semakin melebar sejak penilaian PISA sebelum ini. Berasaskan perbezaan 38 markah di skala PISA bersamaan satu tahun persekolahan, kesenjangan tersebut kian melebar ke tahap di mana seorang murid 15 tahun di Shanghai, Singapura dan Korea Selatan menunjukkan prestasi seolah-olah mereka telah mendapat lebih empat ke lima tahun persekolahan berbanding rakan seusia mereka di Malaysia.
Berdasarkan rekod menyedihkan sepanjang sepuluh tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan ini sahaja, beliau seharusnya meletakkan jawatan.
Tambahan lagi, rakyat Malaysia tidak akan lupa bahawa Muhyiddin lah yang mendakwa bahawa anak-anak Malaysia mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding kanak-kanak di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.
Tetapi Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bukanlah jawapan untuk menyelesaikan masalah pendidikan negara.
Idris baru-baru ini mendakwa bahawa pendidikan Malaysia ‘bertaraf dunia’, yang kemudiannya dinafikan oleh ranking Times Higher Education terbaru bagi tahun 2015 di mana sekali lagi, universiti Malaysia gagal tersenarai antara universiti terbaik dunia - walaupun senarai 100 universiti paling berprestij di dunia itu turut memuatkan dua universiti dari Singapura, 43 universiti dari Amerika Syarikat, 12 dari UK, 6 dari Jerman dan 5 dari Australia.
Malaysia tidak memiliki pendidikan bertaraf dunia, tidak kira pendidikan rendah, menengah mahupun peringkat tinggi.
Tetapi baiklah kita mulakan dahulu dengan Menteri Pendidikan bertaraf dunia - kedua-dua Muhyiddin dan Idris telah membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai kebolehan untuk menjadi Menteri Pendidikan bertaraf dunia.
Ramai lagi rakyat Malaysia yang mampu menjadi Menteri Pendidikan bertaraf dunia, bagi memulakan usaha membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia bagi semua rakyat Malaysia. Persoalannya ialah sama ada mereka yang layak menjadi Menteri Pendidikan bertaraf dunia itu diberi peluang untuk menunjukkan kebolehan mereka.