Hasil mesyuarat Kabinet berkenaan 1MDB semalam nampaknya seakan telah diatur oleh perencana publisiti utama Najib, Paul Stadlen dengan hanya satu objektif – menghindar akauntabiliti daripada skandal RM42 bilion 1MDB sepanjang satu bulan Parlimen bersidang bermula Isnin hadapan

Hasil mesyuarat Kabinet berkenaan 1MDB semalam nampaknya seakan telah diatur oleh perencana publisiti utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Paul Stadlen dengan hanya satu objektif – menghindar akauntabiliti daripada skandal RM42 bilion 1MDB sepanjang satu bulan Parlimen bersidang bermula Isnin hadapan.

Jika benar, ini pastinya kali pertama mana-mana Kabinet di dunia menjadi seperti lembu dicucuk hidung oleh seorang pakar publisiti untuk melakonkan sebuah skrip yang sudah diatur sebelum mesyuarat Kabinet bermula, yang tidak menyumbang kepada integriti mahupun kebijaksanaan menteri-menteri di Malaysia.

Kabinet telah memutuskan, setelah 1MDB dan juruauditnya memberikan taklimat mengenai situasi semasa syarikat itu dan memberi respon kepada beberapa soalan oleh Menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, bahawa syarikat pelaburan negara yang sarat menanggung hutang itu tidak melakukan sebarang kesalahan.

Adakah kesemua 35 Menteri Kabinet semalam benar-benar tahu apa yang mereka lakukan dan benar-benar faham apa yang berlaku di 1MDB sepanjang enam tahun lalu ketika mereka menyatakan bahawa 1MDB tidak mempunyai sebarang masalah?

Adakah mereka diberikan sebarang dokumen mengenai 1MDB untuk dibaca dan difahami sebelum mesyuarat Kabinet?

Adakah mereka telah diberi akses kepada ‘ribuan’ dokumen transaksi dan email 1MDB yang dikatakan telah diperolehi London Sunday Times dan Sarawak Report, walaupun terdapat usaha-usaha oleh 1MDB pada hujung tahun lalu untuk mengumpulkan kesemua komputer, komputer riba pekerjanya dan server pelayan syarikatnya bagi memadamkan semua transaksi dan email tersebut?

Pun begitu, selepas mesyuarat Kabinet semalam yang telah memberikan rekod bersih kepada 1MDB, kesemua 35 menteri dalam Kabinet Najib kini terlibat secara kolektif dan secara individu dalam hal ehwal 1MDB dan tidak boleh memberi alasan bahawa mereka tidak tahu apa-apa.

Kesemua 35 menteri ini sudah boleh menjelajah ke seluruh negara dan menjawab seribu satu persoalan mengenai segala karut-marut yang meliputi 1MDB sepanjang enam tahun lalu, memandangkan mereka beriya-iya mahu menjadi pembela 1MDB.

Sekiranya Kabinet telah memberikan rekod bersih kepada 1MDB, Perdana Menteri dan Menteri-menteri Kabinet mesti bersedia untuk bangun dan mempertahankan 1MDB, walaupun mereka nampaknya tidak bersedia, sepanjang satu bulan Parlimen bersidang pada 9 Mac hingga 9 April.

Ini sahajalah rasional arahan Perdana Menteri kepada Ketua Audit Negara untuk memeriksa akaun 1MDB sambil menambah bahawa, “sekiranya sebarang salah laku dibuktikan, undang-undang akan dikuatkuasakan tanpa pengecualian.”

Pastinya terlalu awal untuk Kabinet menyatakan bahawa 1MDB tidak melakukan sebarang kesalahan walhal Ketua Audit Negara masih belum memeriksa akaun 1MDB.

Tetapi inilah dia tujuan rencana yang diatur Kabinet semalam – supaya Kabinet memberikan rekod bersih kepada 1MDB dan menghalang serta mencegah sebarang soalan di Parlimen yang bakal bersidang selama sebulan, dengan mengatakan bahawa sebarang soalan mengenai 1MDB perlu ditunda sehingga siasatan Ketua Audit Negara selesai, dan laporan mengenainya dikeluarkan.

Saya bersedia untuk dibuktikan salah.

Najib mesti menyatakan bahawa beliau dan menteri-menterinya tidak akan mengelak atau membantutkan soalan parlimen mengenai skandal 1MDB dalam sidang Parlimen akan datang, dengan menyatakan bahawa semua persoalan tentang 1MDB harus menanti hasil siasatan Ketua Audit Negara dan tindakan susualan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC).

Najib dan Menteri-menterinya mesti memberi komitmen bahawa mereka tidak akan mengelak soalan parlimen mengenai bagaimana Kabinet boleh memberikan rekod bersih kepada 1MDB sedangkan Ketua Audit Negara pun masih belum memeriksa akaun 1MDB.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah