Kenapa pihak polis terus tewas dalam usahanya membanteras kumpulan militan IS – Adakah IS telah berjaya membangunkan struktur kepimpinan di Malaysia dengan perekrut sepenuh masa untuk mencari laskar baru bagi menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq?

Semalam pihak polis telah mengumumkan bahawa seorang penjawat awam yang dikatakan salah seorang anggota IS paling senior di Malaysia bersama seorang suri rumah tangga yang telah merekrut seorang gadis berusi 14 tahun menyertai pergerakan militan itu merupakan antara tiga orang yang ditahan oleh Bukit Aman.

Penjawat awam berusia 39 tahun itu ditahan oleh Bahagian Anti-Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur pada hari Isnin manakala suri rumah tangga tersebut ditangkap di Muar pada hari Sabtu.

Saspek ketiga – seorang peniaga berusia 22 tahun – turut ditangkap di Perak pada hari Isnin.

Penjawat awam tersebut, yang disifatkan oleh pihak polis sebagai ‘anggota senior IS yang mempunyai hubungan langsung dengan warga Malaysia di Syria’ dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya untuk merekrut anggota bagi memastikan rangkaian pengganas tempatan berjalan lancar.

Berita ini amat mengejut. Setakat mana senioriti penjawat awam yang ditangkap itu, dan siapakah pula pemimpin IS yang lebih senior di Malaysia?

Rakyat Malaysia berhak bertanya: Kenapa pihak polis terus tewas dalam usahanya membanteras kumpulan militan IS – Adakah IS telah berjaya membangunkan struktur kepimpinan di Malaysia dengan perekrut sepenuh masa untuk mencari laskar baru bagi menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq?

Nampaknya sementara Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sibuk melawan bayang-bayang musuh dengan menyisir media sosial memberikan arahan melalui Twitter kepada anggota polis Unit Hasutannya untuk mengganggu dan menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO, beliau nampaknya membiarkan musuh-musuh nyata, pemimpin IS dan aktivisnya di Malaysia bebas merekrut laskar pengganas bagi melanjutkan aktiviti ganas IS di Syria dan Iraq.

Adakah pihak polis mengetahui bilangan rakyat Malaysia yang telah melolosi pemantauan pihak polis dan meninggalkan negara untuk menyertai IS di Syria dan Iraq?

Pada bulan Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa ancaman IS terkawal.

Beliau berkata bahawa kumpulan-kumpulan militan sedang cuba untuk berpadu tenaga membentuk pakatan pengganas namun mereka tidak akan berjaya di Malaysia kerana pihak berkuasa tidak akan membenarkan kumpulan-kumpulan ini bertapak di Malaysia.

Pada Ogos tahun lalu, pihak polis berkata bahawa antara Januari dan Jun mereka telah menahan 19 individu termasuk dua orang wanita kerana terlibat dalam aktiviti militan, dan bahawa sekurang-kuranya 50 orang rakyat Malaysia dipercayai sedang berada di Syria, berperang bersama-sama pengganas IS.

Bagaimanapun, menjelang penghujung Januari tahun ini, sokongan bagi pengganas IS kian meningkat, dengan sejumlah 120 orang yang menyokong IS ditahan di penjara Tapah dan Bentong, dan terpaksa ditahan dalam sel khas bagi menghalang mereka daripada menyebarkan ideologi mereka dan melatih yang lain untuk menjadi pengganas. Pihak berkuasa percaya 67 orang rakyat Malaysia telah menyertai perjuangan IS di Syria dan Iraq.

Dua minggu lalu, Zahid ada memberi isyarat bahawa IS begitu tersusun di Malaysia sehinggakan ia boleh berkomplot untuk menculik hartawan dan melakukan rompakan bank bagi mendapatkan dana, dan kini pendedahan terbaru menunjukkan bahawa IS telah mendapat kelebihan baru dalam struktur dan organisasinya di Malaysia dengan penangkapan seorang penjawat awam yang merupakan seorang anggota senior IS.

Semua ini tanda-tanda kegagalan operasi polis untuk membanteras IS daripada menyebarkan jaringan pengganasnya di Malaysia.

Apa yang paling memalukan bagi seluruh rakyat Malaysia ialah kegagalan dan prestasi menyedihkan pasukan polis dalam memastikan keselamatan negara ini terjadi ketika Ketua Polis Negara sedang bersenang-senang hari bermain Twitter dan mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO yang sedang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun dan memberikan pendapat secara aman, demokratik dan mematuhi undang-undang – sambil membiarkan sahaja mereka yang berpotensi menjadi pengganas; yang tidak ada masalah melibatkan diri dalam perbuatan memenggal kepala, menyalib dan merejam pesalah dengan batu secara terbuka.

Ketua Polis Negara seharusnya lebih profesional dan berhenti bermain Twitter serta mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis NGO malah kartunis seperti Zunar, dan menumpukan kepada ancaman keselamatan oleh IS di Malaysia.

Amat menyedihkan sekali apabila Zahid telah mengambil sikap bahawa Ahli Parlimen bukan sahaja perlu menerima tetapi menyokong cadangan Akta Pencegahan Pengganas (PoTA), “kecuali kalau mereka mahu melihat aktiviti pengganas berlaku di sini.”

Zahid tidak berhak menuntut kebebasan mutlak dalam menangani IS, dan beliau tidak patut meragui patriotisme mana-mana Ahli Parlimen atau rakyat Malaysia yang mungkin tidak bersetuju dengan cadangan PoTA sebagai cara paling berkesan untuk menangani ancaman keganasan IS.

Adalah terlalu awal untuk membincangkan PoTA memandangkan Ahli Parlimen dan orang awam belum pun melihat akta cadangan tersebut.

Kenapa Ahli Parlimen masih tidak diberikan naskhah cadangan PoTA sedangkan Parlimen bakal bersidang hari Isnin nanti?

Apa yang wajar dilakukan oleh Parlimen apabila ia kembali bersidang pada hari Isnin ialah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai keganasan, yang bukan sahaja wajar memantau usaha-usaha polis untuk membanteras keganasan, tetapi juga membincangkan secara mendalam cadangan PoTA tersebut dan memberikan laporan dan cadangannya sebelum rang undang-undang PoTA dibahas di Parlimen.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah