Memandangkan rang undang-undang pindaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 masih belum dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk dikaji, dicadangkan supaya sebarang pembentangan di Dewan Undangan Negeri Kelantan bulan ini ditangguhkan
Dalam masa satu malam sahaja, kedudukan politik Datuk Seri Najib Razak nampaknya telah mengalami perubahan buruk, terutamanya dengan laporan Sunday Times London pada hari Ahad 1 Mac 2015 mengenai laporan terperincinya bersama laman web Sarawak Report mengenai skandal RM42 bilion 1MDB telah lengkap dan mereka telah memperolehi akses kepada ribuan dokumen dan email berkait 1MDB, termasuk usahasamanya dengan syarikat minyak yang tidak begitu terkenal, PetroSaudi International sejak tahun 2009.
Sesuai dengan tajuk berita yang digunakan oleh Asian Sentinel, “Emails Blow Malaysia’s 1MDB Fund Wide Open”, siasatan bersama oleh Sunday Times dan Sarawak Report telah menggagalkan usaha 1MDB pada hujung tahun lalu untuk mengumpulkan kesemua komputer, komputer riba pekerjanya dan servernya untuk memadamkam kesemua email berkaitan.
Petang ini, dalam wawancara email bersama Malaysikini, pengarang Sarawak Report yang juga pengasasnya Clare Recastle Brown mengesahkan bahawa beliau memiliki dalam simpanannya ‘ribuan dokumen’ mengenai urusan 1MDB dan peranan usahawan Taek Jho Low dalam 1MDB; yang menurutnya bukan bahan yang dipalsukan mahupun diperolehi dengan cara menggodam.
Walaupun semua ini serangan politik terhadap Najib, beliau kekal sebagai paradoks seorang Perdana Menteri yang lemah dengan inisiatif dasar yang gagal, tetapi terus menjadi presiden Umno yang kuat kerana tidak ada lawan dari Umno yang cukup kuat untuk menggugat kedudukannya – tidak seperti pendahulunya Tun Abdullah Badawi yang merupakan Perdana Menteri dan juga Presiden Umno yang lemah, memudahkan beliau ditukar ganti.
Pun begitu, dinamika politik dan ketidakseimbangan dari dalam dan luar Umno akan menambah kesengitan, dan menumpukan kepada bukan sahaja mesyuarat bahagian Umno yang bakal berlangsung pada 8 Mac, tetapi juga persidangan DUN Kelantan pada 18 Mac.
Semakin besar tekanan politik ke atas Najib yang timbul akibat skandal politik, ekonomi, kewangan dan keluarganya, semakin bertambah Machiavellian lah tindakan pemimpin dan strategis Umno untuk mengalih perhatian umum daripada permasalahan politik mereka, yang bermakna komplot dan konspirasi untuk menggugat, memecahbelah dan menghancurkan PAS dan Pakatan Rakyat seperti mendukung Kerajaan Perpaduan (UG) Umno dan PAS serta umpan palsu sokongan Adun Umno Kelantan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud PAS di DUN Kelantan bulan ini.
Pakatan Rakyat tidak boleh terjerat dengan tipu muslihat pemimpin dan strategis Umno pada ketika ini, di saat Najib sebenarnya sedang bergulat demi hayat politiknya sendiri (tidak kiralah bagaimana kuat dan kukuh pun penampilan politik beliau) atau tewas kepada komplot dan konspirasi Umno terutamanya dalam hal UG dan umpan palsu bagi membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan.
Saya telah menerima Aturan Mesyuarat untuk sidang satu bulan Parlimen bermula 9 Mac hingga 9 April, dan tidak ada pun rang undang-undang persendirian mengenai pelaksanaan hudud.
Walaupun terdapat laporan bahawa sidang DUN Kelantan akan berjalan pada 18 Mac, pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 masih belum dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk dikaji, sepertimana yang telah diputuskan oleh pimpinan Pakatan Rakyat daripada DAP, PKR dan PAS dalam mesyuarat pada 8 Februari.
Memandangkan kita kesuntukan masa untuk mengkaji rang undang-undang pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 itu, saya mencadangkan supaya sebarang pembentangan pindaan terbabit di DUN Kelantan bulan ini ditangguhkan, bukan sahaja untuk memberikan masa yang cukup untuk cadangan pindaan tersebut dikaji, bahkan lebih penting lagi untuk memutuskan talian hayat kepada Najib dan Umno, dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk melanjurkan permainan politik UG dan hudud mereka, yang hanya dilakukan demi menyelamatkan diri mereka, serta menggugat, memecahbelah dan menghancurkan perpaduan Pakatan Rakyat yang menjadi ancaman untuk menggantikan Umno/BN di Putrajaya menjelang PRU ke-14 nanti.