Menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan garis politik untuk bersatu menyokong kempen SSS Anwar untuk menyelamat tiga perkara – Selamatkan Anwar, Selamatkan Pakatan Rakyat dan Selamatkan Malaysia
Ketika Nurul Iman, anak kelima daripada enam anak-anak Anwar Ibrahim, bercakap sebentar tadi mengenai ketidakadilan, cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Anwar, yang dipenjarakan pada usia 67 tahun, untuk kali keempat dalam tempoh 47 tahun perjuangannya demi keadilan, kebebasan, maruah manusia dan juga urus-tadbir yang baik, saya terkenang penahanan pertama saya di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) 46 tahun lalu pada tahun 1969.
Nurul berusia lapan tahun ketika Anwar lebam matanya setelah dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan serta ditahan di bawah ISA, suatu harga yang cukup mahal dibayar olehnya kerana berani melawan korupsi, kronisme dan nepotisme Perdana Menteri autokratik ketika itu, Tun Mahathir Mohamad.
Ketika saya ditangkap buat pertama kali pada bulan Mei 1969, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga baru sahaja berusia lapan tahun. Anak-anak saya yang lainnya berusia tujuh, lima dan tiga tahun masing-masing.
Apabila rusuhan kaum 13 Mei 1969 tercetus di Kuala Lumpur, saya berada di Sabah. Saya tidak berada di Kuala Lumpur selepas pilihanraya umum pada 10 Mei 1969; namun ini tidak menghalang propagandis dan tentera siber Umno daripada meneruskan kempen pembohongan mereka di media sosial melalui Twitter dan Facebook menuduh saya berada di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mei, mengepalai perarakan kemenangan dan melemparkan slogan-slogan anti-Melayu yang mencetuskan rusuhan 13 Mei.
Saya berucap di sebuah rapat umum di Kota Kinabalu pada malam 13 Mei 1969 ketika saya dimaklumkan mengenai rusuhan kaum yang telah tercetus di Kuala Lumpur.
Saya terkandas di Kota Kinabalu dan beberapa jam kemudian dikeluarkan dari Sabah oleh Ketua Menteri Sabah waktu itu, Tun Mustapha; ekoran kritikan tajam saya terhadapnya dalam rapat umum di Kota Kinabalu ketika membantu seorang calon parlimen bebas.
Saya terus berhubung dengan rakan-rakan parti dan ahli keluarga yang menasihatkan saya supaya tidak pulang ke Semenanjung kerana saya sudah diseranai-hitam di bawah ISA dan pastinya akan ditangkap sekiranya pulang. Mereka menasihatkan saya supaya keluar negara buat sementara waktu sehingga krisis tersebut selesai.
Saya baru sahaja dilantik pada 10 Mei 1969 sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka, dan saya rasa bertanggungjawab kepada pengundi Bandar Melaka dan rakyat Malaysia untuk tidak melarikan diri dan kekal bersama mereka di saat negara dan rakyat berhadapan kesulitan, tidak kiralah apa harga yang saya perlu bayar dari segi kebebasan mahupun nyawa.
Saya pulang ke Semenanjung tiga hari kemudian dan terus ditahan di lapangan terbang Subang, dan memulakan persinggahan pertama saya di bawah tahanan ISA.
Anwar pula telah dinasihatkan oleh teman-temannya di Turki, Indonesia dan Amerika Syarikat untuk tidak pulang ke Malaysia kerana beliau pastinya dipenjarakan atas pertuduhan Liwat II, tetapi beliau merasakan beliau tidak boleh melarikan diri dari Malaysia bahkan harus pulang ke tanah air untuk berhadapan apa sahaja kemungkinan yang menanti, oleh sebuah sistem kehakiman yang dianggap tidak mencapai standard minimum antarabangsa.
Kenapa saya pulang ke Semenanjung Malaysia pada 1969 untuk berhadapan penahanan ISA?
Kenapa Anwar tidak menerima nasihat teman-teman antarabangsanya dan melarikan diri daripada negara bagi mengelak pemenjaraan – lima tahun penjara diikuti lima tahun lagi penafian hak siviknya yang menghalang beliau daripada memegang jawatan lantikan malah tidak boleh mengundi, sehinggalah beliau berusia 77 tahun?
Ini kerana kami adalah patriot Malaysia yang menyerahkan jiwa raga kepada usaha memperbaiki negara, supaya anak cucu kami boleh berbangga menjadi warganegara sebuah negara yang mempunyai keadilan, kebebasan, maruah dan urustadbir yang baik.
Nurul Iman dan suaminya Feirdhauz telah menyertai kami dalam jelajah lima tempat di Bukit Gambir, Grisek, Kundang Ulu, Labis dan Segamat hari ini bukan sahaja untuk menyampaikan ucapan tahun baru Cina Anwar kepada seluruh rakyat Malaysia dari penjara Sungai Buloh, tetapi juga sebahagian daripada kempen SSS (Sokongan, Simpati dan Solidariti) daripada DAP buat Anwar Ibrahim.
Bagi pihak anak-anak Anwar, generasi kedua anak-anak Anwar ini mempunyai satu mesej yang jelas dan konsisten – mereka tidak akan berehat sehinggalah Anwar kembali bebas!
Nurul Izzah di Kajang, Nurul Nuha di Pulau Pinang, dan adik beradik yang lain. Mohd Ihsan, Nurul Ilham dan Nurul Hana menjelajah seluruh pelosok negara dan dunia demi mendapatkan keadilan buat bapa mereka.
Anwar telah tewas dalam mahkamah di Malaysia, namun beliau masih menang di mahkamah lain yang lebih tinggi – mahkamah rakyat Malaysia dan mahkamah pendapat antarabangsa.
Pada PRU ke-14 dalam masa tiga tahun lagi, pengundi Malaysia akan menjadi hakim; dan sekiranya mereka bersatu menolak Umno/BN dan melantik Pakatan Rakyat menjadi kerajaan persekutuan di Putrajaya, maka pentasnya telah tersedia untuk Anwar mendapatkan keadilan dan kebebasan.
Kempen SSS bukan sahaja untuk Anwar tetapi juga untuk mengembalikan keadilan, kebebasan dan maruah buat semua rakyat Malaysia.
Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan garis politik untuk menyokong kempen SSS Anwar, kempen March to Freedom dan semua program yang bertujuan memulihkan rasa hormat kepada diri sebagai warga sebuah negara Malaysia yang demokratik, di mana wujud keadilan dari segi ekonomi, hak asasi manusia, kedaulatan undang-undang dan urus tadbir yang baik.
Kempen SSS Anwar didedikasikan kepada tiga objektif – Selamatkan Anwar, Selamatkan Pakatan Rakyat dan Selamatkan Malaysia!